Fitnah
adalah sifat mazmumah (keji) yang memberi kesan buruk kepada diri sendiri dan
orang lain. Fitnah ialah tuduhan melalui cerita, khabar atau kisah yang
diada-adakan atau agak-agak untuk mendatangkan keburukan terhadap seseorang,
keluarga atau kumpulan. Perkataan fitnah berasal dari perkataan Arab bermaksud
kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan.
Perbuatan
fitnah dilakukan sama ada secara perkataan jelas, perli, perumpamaan atau sindiran yang ditujukan kepada orang atau
kumpulan difitnah. Perbuatan fitnah juga boleh berlaku
melalui isyarat anggota badan seperti tangan dan mimik muka.
Fitnah
adalah penyakit hati yang lahir akibat tidak patuh perintah Allah. Individu lemah iman mudah terjebak dengan amalan fitnah. Ada individu
sekadar suka-suka atau mencari kepuasan menyebarkan fitnah.
Keburukan kesan fitnah amat besar. Fitnah
boleh mencetus perpecahan dalam masyarakat, pergaduhan, pembunuhan dan boleh
merebak hingga runtuhnya sebuah kerajaan. Allah menjelaskan bahaya fitnah
melalui firman-Nya bermaksud: “Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada
pembunuhannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 191).
Lanjutan itu, dosa fitnah amat
berat. Dalam surah al-Baqarah ayat 217, Allah berfirman bermaksud: “Fitnah itu
lebih besar (dosanya) daripada membunuh.”
Ramai tidak sedar melakukan fitnah
disebabkan amalan itu sebati dalam masyarakat. Masyarakat berada di ambang kemusnahan apabila fitnah berlaku
berleluasa. Fitnah lahir dalam masyarakat yang tidak berpegang kepada
hukum-hukum agama di mana keburukan dilakukan secara berleluasa dan ilmu
(ajaran Islam) tidak dipatuhi.
Rasulullah sabda bermaksud: “Akan
muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah,
berleluasa sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah” (Hadis riwayat Muslim).
Perbuatan
fitnah juga sebahagian perbuatan mengadu-domba memburukkan pihak lawan dan pada
masa sama untuk menonjolkan diri. Fitnah yang disebarkan mudah menyebabkan
permusuhan dua pihak.
Mungkin
ada pihak ketiga mengambil kesempatan menaburkan fitnah agar keadaan menjadi
semakin celaru dan mencetuskan permusuhan yang lebih tegang.
Wajib bagi setiap Muslim menghalusi
berita yang diterima agar tidak terlibat dalam kancah fitnah. Ini untuk
mengelak fitnah merebak hingga tidak dapat dikawal atau tidak dijangka
kesannya. Sebelum mempercayai sebarang berita, perlu dipastikan kesahihannya
berdasarkan sumber dan faktanya.
Ada individu suka berkata-kata
perkara tidak perlu semata-mata untuk menunjukkan sifat ramah dan mesra,
sedangkan tanpa disedari dia telah terlibat dengan kancah fitnah yang mengheret
dirinya ke jurang dosa dan kebinasaan.
Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran
amat penting bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.
Jangan memperkatakan sesuatu yang kita tidak pasti. Sesungguhnya, diam lebih baik daripada
berkata-kata perkara tidak perlu.
Firman Allah dalam surah al-Hujurat,
ayat 6 bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang
fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya,
supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan
sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara
yang kamu lakukan.”
Banyak buruknya jika mudah menerima
sesuatu berita tanpa diperhalusi kebenarannya.
Beberapa patah perkataan atau ayat tidak benar boleh mendatangkan
musibah besar. Jangan mudah mempercayai berita dari sumber tertentu tanpa usul
periksa.
Sifat jumud dan mudah terpedaya
dengan sesuatu sumber berita membuka peluang untuk orang tidak bertanggungjawab
menyebarkan fitnah.
No comments:
Post a Comment