Saturday, 1 September 2018

Bahasa bercakap lambang peribadi

Cara dan bahasa percakapan seseorang mencerminkan nilai keperibadian dan memberi gambaran keseluruhan kehidupan yang dilalui. Oleh hal demikian, individu yang bijak sentiasa menjaga tutur katanya agar tidak dinilai sebagai kurang sopan, tidak bijak dan gambaran buruk lain.   

Malangnya terdapat individu yang tidak berhati-hati ketika bercakap seperti tidak berasa apa-apa kesalahan mengeluarkan perkataan itu walaupun sedar perbuatan itu menyinggung perasaan atau mendatangkan keburukan kepada individu lain. 
 
Tidak keterlaluan dikatakan ada yang berbangga apabila dilabelkan mempunyai gaya percakapan buruk atau dikatakan ’tidak sayang mulut’

Individu yang menuturkan perkataan tidak baik berasa dirinya hebat dan tidak takut akan implikasi perbuatan itu kerana yakin tidak ada pihak lain yang akan berani menyanggahnya. 
 
Ada juga pihak yang menggunakan kedudukan atau pengetahuan dalam undang-undang dijadikan alasan bahawa apa yang diucapkan itu tidak salah atau tidak boleh dipersalahkan. 

Setiap individu sewajarnya mengambil berat aspek ketelitian percakapan sebagai lambang peribadi yang murni. Hakikatnya, tiada orang yang suka akan mereka yang gemar bercakap lepas dan tidak memikirkan perasaan serta kesannya kepada orang lain. 

Sikap individu yang cenderung meraih populariti dengan cara ‘suka-suka cakap’ dan menjadi senjata memburuk-burukkan pihak lain, sedangkan diri sendiri sentiasa kelihatan tidak sempurna akibat lepas cakap. 
 
Sesungguhnya individu berperibadi mulia akan sentiasa mengucapkan perkataan yang baik dan memberi manfaat kerana tutur kata yang baik diumpamakan seperti mutiara yang disukai semua orang. Tutur kata yang baik menarik minat orang lain mendengarnya dengan perasaan yang ceria, kagum dan mengiyakan. 

Pertuturan yang baik menjadi lambang ketulusan budi dan pekerti seseorang. Sesiapa sentiasa berkata perkara yang benar dan disenangi orang lain, hidupnya dalam kesejahteraan. 
 
Cara terbaik untuk menjaga lidah daripada perkataan tidak baik ialah kurang bercakap atau bercakap perkara perlu saja agar tidak terlepas cakap apabila terlalu banyak bercakap. Jika bertugas dalam organisasi yang memerlukan kita banyak bercakap, maka bercakaplah dengan penuh berhemah dan bijaksana.   

Memang agak sukar untuk berdiam diri terutama ketika berada dikelilingi ahli keluarga, kawan dan rakan setugas kerana khuatir dikatakan sombong, tidak pandai bergaul dan antisosial. 
 
Oleh sebab itu, cubalah membina keyakinan diri dan kebiasaan yang baik ketika bercakap agar perkataan yang diucapkan itu tidak mendatangkan kesan buruk.   

Nenek moyang mengajar agar sentiasa berbudi bahasa, biarpun terhadap seseorang yang ingin ditegur kesilapannya atau orang buruk pekertinya. Orang Melayu biasanya menggunakan bahasa kias untuk menegur atau memperkatakan sesuatu yang tidak pasti. 

Bahasa kias bermakna perkataan disebutkan tidak terus membawa maksud kepada apa hendak diucapkan. Sebaliknya bahasa kiasan amat kuat kesan di sebaliknya, selain terserlah keindahan dan kesopannannya. Jadi, orang yang ditegur tidak terasa hati atau mendatangkan aib walaupun sedar perkataan itu ditujukan kepadanya. 

Yang kurid itu kundi, yang merah itu saga, yang cantik itu budi yang indah itu bahasa. Oleh hal demikian, masyarakat perlu mementingkan penggunaan bahasa sopan di semua peringkat terutama bagi individu bergelar pemimpin kerana mereka sentiasa menjadi perhatian rakyat dan menjadi ikutan ramai.

Dalam budaya kita, anak-anak sentiasa diajar dan diingatkan agar bersopan santun dalam bertutur. 
 
Aspek ini diberi perhatian sejak anak masih kanak-kanak kerana ia menjadi antara asuhan budi paling penting diterapkan di dalam diri kanak-kanak. Kanak-kanak yang terbiasa dengan percakapan yang baik akan terus menggunakannya sehingga dewasa.    

Sesungguhnya, penggunaan bahasa sopan bermaksud tanda hormat terhadap orang yang dilawan bercakap atau mendengarnya. 
 
Sifat hormat menghomati adalah banyak kebaikannya kerana dapat mengelak salah faham dan perasaan tidak senang pihak lain.   

Elakkan kesusahan menimpa diri disebabkan perkataan buruk yang diucapkan. Sepatah perkataan yang diucapakan dapat membawa kepada kerugian dan penyesalan seumur hidup. 
 
Kata pepatah, ‘kata itu lebih tajam daripada mata pedang’ dan ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata merosakkan badan’.

No comments:

Post a Comment