Saturday, 1 September 2018

SYARAT URUS PEMINANGAN

Meminang merupakan permintaan lelaki terhadap perempuan untuk dijadikan isteri. Sebelum urusan peminangan dilakukan terdapat syarat perlu dipatuhi agar tidak menyalahi apa yang ditetapkan oleh Islam dan memudahkan tercapai tujuannya.  

Pertama. Perempuan hendak dipinang bukan menjadi isteri kepada lelaki lain. Sememangnya tidak ada pihak keluarga yang bertindak pergi meminang isteri orang. Tetapi yang sering berlaku ialah lelaki menjalin hubungan dengan perempuan bergelar isteri. 

Dalam istilah yang sering disebut ialah isteri curang atau main kayu tiga. Lelaki yang menjalin hubungan dengan isteri orang sering menyatakan kesediaan untuk mengambil ‘kekasihnya’ sebagai isteri jika dicerikan oleh suaminya. Kenyataan itu juga bermaksud ‘meminang’.

Peminangan itu akan mendorong perempuan meminta cerai daripada suaminya sebagai jalan untuknya berkahwin dengan kekasihnya. Sesungguhnya perceraian amat ditegah dilakukan. Adalah menjadi satu kesalahan besar mana-mana isteri meminta cerai daripada suami tanpa apa-apa kesalahan dilakukan oleh suami.

Perempuan yang masih bergelar isteri haram dipinang oleh mana-mana lelaki lain kerana dia menjadi hak mutlak suaminya. Seorang isteri hanya putus hubungan dengan suami setelah dia diceraikan dan telah tamat edahnya. 
 
Islam amat mementingkan hubungan suami isteri yang baik sepanjang masa. Jadi, isteri ditegah sama sekali menaruh minat kepada lelaki lain. Manakala lelaki pula diharamkan menaruh minat kepada mana-mana perempuan yang masih bergelar isteri. 

Kedua: Perempuan yang hendak dipinang bukan tunangan lelaki lain. Larangan lelaki meminang perempuan menjadi tunangan lelaki lain dinyatakan melalui sabda Rasulullah bermaksud: “Seorang mukmin adalah saudara bagi mukmin yang lain. Oleh itu tidak halal dia membeli pembelian saudaranya, dan tidak halal pula dia meminang pinangan saudaranya itu.” (Hadis riwayat Muslim).

Sesungguhnya seperti mana perempuan yang telah berkahwin, perempuan yang menjadi tunangan orang juga pasti tidak akan dilakukan peminangan oleh keluarga secara rasmi. Apa yang sering berlaku ialah masih ada lelaki menaruh minat terhadap perempuan yang sudah bertunang. 

Alasan bahawa ikatan pertunangan boleh diputusakan bila-bila masa sahaja sering dijadikan alasan oleh lelaki yang ingin merampas tunangan orang. Bahkan, perempuan yang bertunang juga mudah terpikat kepada lelaki lain kerana ikatan pertunangan sekadar satu janji dan bukannya rugi apa-apa jika diputuskan. 

Tambahan pula ada ikatan pertunangan yang sebenarnya tidak disukai oleh perempuan berkenaan. Pertunangan itu sebenarnya di atas kehendak keluarga. Jadi, jika ada lelaki lain ingin memikatnya atau kekasih pilihan, maka memberi semangat untuk memutuskan pertunangan.

Perbuatan meminang atau menjalin hubungan dengan perempuan sudah bertunangan samalah seperti merampas hak orang lain. Sifat sedemikian boleh menyebabkan perbalahan di antara lelaki yang saling ingin memiliki perempuan yang sama. 

Islam amat mementingkan hubungan persaudaran. Maka sesiapa yang memutuskan persaudaraan amat dicela sifatnya. Sesungguhnya ditegaskan tidak beriman seseorang itu sehinggalah dia kasih saudaranya sebagaimana dia mengasihi diri sendiri.     

Bagaimanapun, perempuan yang sudah bertunang boleh dipinang setelah ikatan pertunangan dibatalkan oleh pihak lelaki. Perkara itu mungkin juga berlaku di atas permintaan pihak perempuan dan dipersetujui oleh pihak lelaki. 

Perempuan telah bertunang juga boleh dipinang jika diizinkan oleh tunangnya. Keadaan  ini di mana tunangnya bersedia memutuskan pertunangan jika ada lelaki lain ingin meminang tunangnya. Hakikatnya, pertunangan itu belum diputuskan sehinggalah ada lelaki lain meminang perempuan itu. 

Perkara itu ditegaskan oleh Rasulullah melalui sabda Baginda bermaksud: “Seorang lelaki tidak boleh meminang pinangan lelaki lain, sehinggalah lelaki pertama yang meminangnya membatalkannya, atau mengizinkannya.” (Hadis riwayat Bukhari).

Ketiga. Perempuan yang hendak dipinang tidak dalam edah. Edah ialah masa selepas diceraikan sehingga genap tempohnya yang membolehkan perempuan berkahwin semula. Masa edah ialah tiga kali haid atau 100 hari bagi wanita yang diceraikan atau kematian suaminya.

Dalam masa edah perempuan tidak boleh berkahwin. Wanita yang diceraikan oleh suaminya dengan talak raji (talak satu dan dua), boleh dirujuk kambali oleh suaminya pada bila-bila masa yang dikehendakinya, selagi tempoh edahnya belum tamat. Talak raji ialah talak yang boleh dirujuk semula.

Hal demikian ada dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan (bekas) suami mereka lebih berhak kembali kepada mereka (rujuk), (dalam masa edah raji), jika mereka mengkhendaki pendamainan.” (Surah al-Baqarah, ayat 228).

Manakala isteri ditalak dengan talak bain (talak tiga), juga perlu melalui tempoh edah. Edah bertujuan bagi memastikan dia benar-benar tidak mengandungkan zuriat (dapat pastikan dengan setelah tiga kali suci haid) bekas suaminya. Jika dia mengandung, edahnya dilanjutkan sehingga melahirkan kandungan.

Janda diceraikan dengan talak bain tidak boleh dirujuk atau berkahwin semula dengan bekas suaminya. Bagaimanapun, peluang untuk kedua-duanya berkahwin semula hanya ada setelah wanita itu berkahwin dengan lelaki lain, dan di antara keduanya telah bercampur, kemudian diceraikan pula oleh suami kedua.
 
Perlu ditegaskan, perkahwinan dengan suami baru itu perlu dilakukan dengan niat perkahwinan sebenarnya. Maksudnya perkahwinan yang ingin berkekalan sepanjang hayat. Perceraian (kemudian jika berlaku) tidak terlintas di dalam hati kedua-duanya. 

Amalan ‘cina buta’ seperti dilakukan dalam masyarakat sebenarnya tidak wujud dalam hukum agama. Cina buta jika dirancang dan diniatkan, maka perkahwinan itu tidak sah. Lelaki yang dipertanggungjawabkan sebagai cina buta telah ditetapkan agar menceraikan isteri dalam tempoh tertentu selepas berkahwin. 

Perbuatan itu sama dengan kahwin kontrek atau kahwin mutaah. Kahwin mutaah diharamkan atau tidak sah. Justeru, syarat ‘kahwin’ bagi membolehkan isteri dicerai bain berkahwin semula dengan suami asal tidak sah. 

Bagaimanapun, perkahwinan itu sah jika lelaki yang dijadikan cina buta itu tidak mengetahui perkara sebenarnya. Dia berkahwin dengan niat baik, tetapi dipaksa menceraikan isterinya atau isteri memohon cerai bagi membolehkan berkahwin dengan bekas suami. Namun, terimalah balasan dosa mereka yang sengaja melakukan perbuatan itu. 

Janda ditalak dengan talak bain dan balu kematian suami boleh dipinang dengan cara sindiran ketika masih dalam edah. Maksud sindiran ialah ia tidak dinyatakan secara terus terang. Perbuatan itu sekadar memberi ‘isyarat’ keinginan hati yang mana difahami oleh perempuan itu.

Keempat. Perempuan yang hendak dipinang mestilah sah nikah dengannya atau bukan muhrimnya. Haram bagi seorang lelaki meminang wanita muhrimnya, kerana di antara keduanya diharamkan nikah. 

Perempuan-perempuan yang diharamkan dikahwini ada dijelakan dalam surah an-Nisa ayat 32 bermaksud:  “Diharamkan ke atasmu menikahi ibu-ibumu, anak-anak perempuanmu, saudara-saudara perempuanmu, saudara-saudara perempuan bapamu (ibu saudara sebelah bapa), saudara-saudara perempuan ibumu (ibu saudara sebelah ibu), anak-anak perempuan daripada saudara lelakimu, anak-anak perempuan daripada saudara perempuanmu, ibu-ibu yang menyusukanmu, saudara-saudara perempuan sepersusuan, ibu mertuamu dan anak-anak tirimu yang ibunya sudah kamu campuri, tetapi jika kamu belum mencampuri ibunya, kamu boleh mengahwininya.”

No comments:

Post a Comment