Saturday, 1 September 2018

MANOGAMI LEBIH BAIK

Kaum wanita mudah fobia apabila mendengar mengenai poligami. Sebab itu, kekecohan dalam rumahtangga sering berlaku gara-gara perkataan poligami, walaupun suami sekadar bergurau atau membincangkannya dalam aspek umum. 

Sememangnya isu poligami tidak pernah selesai. Bagaimanapun, masyarakat perlu melihat kekecohan ini dari sudut positif. Elok juga berlaku kecoh sekali sekala dan menjadi bahan perbincangan agar lebih memberi manfaat. 

Apabila timbul isu, banyak pihak yang memberi pendapat pro dan kontra. Perbincangan melibatkan hukum agama, sosial dan ekonomi turut diketengahkan.

Rasulullah menjelaskan kebaikan adanya perbezaan pendapat kerana perkara itu adalah satu proses percambahan ilmu yang memberi banyak kebaikan. Bagaimanapun, perbezaan pendapat yang membawa kepada permusuhan atau sikap degil tidak mahu menerima pendapat pihak lain perlu dijauhkan.

Islam membenarkan lelaki beristeri lebih daripada seorang, sehingga empat pada satu masa. Kebenaran itu banyak hikmahnya. Allah Maha Mengetahui keperluan manusia, bukan sekadar untuk lelaki, tetapi untuk kebaikan wanita juga.

Dalam banyak kes, wanita tidak ada pilihan untuk berkahwin, melainkan dengan lelaki sudah berstatus suami orang.  

Hukum yang telah ditetapkan Allah tidak boleh dipersoalkan. Mempersoalkan hukum melibatkan soal akidah dan keimanan. Tegasnya, wanita tidak boleh sama sekali mengungkitkan atau mempersendakan hukum berkaitan poligami, ditakuti perbuatan itu mencacatkan akidah dan keimanan. 

Perkara ini tidak pula bermakna wanita tidak boleh membincangkan haknya dalam perkahwinan. Institusi perkahwinan penuh dengan peraturan untuk menjamin hak-hak wanita. Perkahwinan adalah jalan penyelesaian nasib malang yang dilalui oleh wanita sebelum kedatangan Islam. 

Islam telah meletakkan wanita pada tahap yang tinggi. Dalam al-Quran terdapat surah dinamakan ‘Wanita-wanita’ (an-Nisa) yang banyak membincangkan hal-hal berkaitan wanita. Satu lagi surah banyak menyebut mengenai wanita ialah ath-Thalak (talak atau perceraian). Sedangkan tidak ada surah khusus membincangkan hak lelaki!

Institusi perkahwinan adalah satu ikatan amanah, bukan sekadar antara suami isteri, tetapi juga amanah dengan Allah. Ikatan perkahwinan memeterai satu perjanjian mematuhi segala peraturan dan tanggungjawab antara lelaki dan perempuan. Suami dan isteri mempunyai tanggungjawab yang berat dalam perkahwinan.

Sungguhpun berkahwin adalah tuntutan naluri semulajadi manusia, amalan itu termasuk dalam tuntutan agama. Maka, setiap perkahwinan perlu dilangsungkan atas kesedaran dan niat mematuhi kehendak agama. 

Justeru, berkahwin bukan satu perkara boleh dipandang mudah. Berkahwinlah dengan niat sebagai ibadat dan ingin menjalankan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya. Sekiranya dirasakan akan berlaku perkara buruk akibatnya, maka wajar difikirkan secara mendalam. 

Berlaku adil mudah disebut tetapi sukar dilaksanakan. Oleh itu, suami yang merasakan tidak mampu berlaku adil, maka lebih baik jangan cuba buka ‘cawangan’ baru. Allah telah mengingatkan betapa sukarnya berlaku adil. 

Firman Allah bermaksud: “Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil antara isteri(mu) walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian.” (Surah an-Nisa, ayat 129).

No comments:

Post a Comment