Saturday, 1 September 2018

CERAI BUKAN BOLEH BUAT MUDAH

Bilangan kes perceraian melibatkan pasangan Islam di Malaysia diakui tinggi biarpun masih terkawal. Pun, timbul persoalan adalah kahwin dan cerai sudah menjadi gaya hidup masa kini? Kahwin belum sampai setahun, telah bercerai. Peliknya, yang sudah kahwin berpuluh-puluh tahun dan mempunyai cucu pun bercerai juga!

Berdasarkan statistik kes perceraian 30 hingga 40 peratus daripadanya berpunca daripada pihak ketiga. Pihak ketiga itu termasuk kekasih lama dan keluarga seperti ibu bapa, adik beradik dan saudara mara.   

Perbuatan pihak ketiga itu dikira sebagai satu jenayah syariah. Perbuatan mereka boleh dituduh mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) di bawah Undang-undang Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan.

Mengikut akta tersebut, pesalah boleh dihukum denda RM1,000 dan penjara jika sabit kesalahan mengganggu perkahwinan pihak lain sehingga menyebabkan perceraian. Namun, akta itu tidak dikuatkuasakan disebabkan kurang pembuktian dan pihak pasangan tidak membuat laporan rasmi berkaitan pihak ketiga itu.

Islam amat menggalakkan perkahwinan sebagai menyempurnakan keperluan tabie manusia yang memerlukan pasangan hidup. Justeru, sesiapa yang berkahwin atas maksud mencari kebaikan dan memenuhi tuntutan agama, maka perkahwinan itu dianggap sebahagian daripada ibadat.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan daripada tanda-tanda kebesaran Allah itu ialah Dia menjadikan untuk kamu isteri-isteri supaya kamu dapat duduk bersama dan Allah jadikan di antara kamu kasih sayang dan rahmat. Sesungguhnya dengan demikian itu, adalah tanda bagi golongan yang berfikir,” (Surah ar-Rum, ayat 21).

Perceraian berpunca kegagalan suami isteri melayari kehidupan berumahtangga seperti mana diharapkan. Mereka tidak mampu untuk memenuhi kehendak pasangan masing-masing. Atau tidak lagi mampu bertahan untuk hidup bersama yang mungkin mendatangkan kesan yang lebih buruk jika perkahwinan itu diteruskan. 

Selain penglibatan pihak ketiga, punca lain perceraian di kalangan pasangan Islam di negara kita ialah gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai suami atau isteri, pegangan agama yang rendah, campur tangan keluarga atau pihak ketiga, berbeza budaya, masalah seksual dan kerjaya.

Sekiranya perkahwinan disukai dalam Islam, sudah tentulah talak pula paling dibenci. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sebenci-benci perkara halal di sisi Allah ialah talak.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Suatu dulu, pasangan yang bercerai menanggung malu. Perceraian akan cuba disembunyaikan daripada pengetahuan ramai, biarpun tidak berupaya melakukan selama-lamanya. Lambat laun, jiran-jiran dan ahli keluarga akan mengetahui juga.

Perasaan malu turut ditanggung ahli keluarga yang lain. Hal ini disebabkan satu tanggapan bahawa pasangan yang bercerai berpunca sesuatu sikap yang tidak baik seperti suami atau isteri curang, mengamalkan sikap tidak baik, masalah tenaga batin dan sebagainya.

Malah, perceraian dianggap sesuatu yang 'salah' dalam masyarakat. Sebab itu, pasangan suami isteri akan cuba sedaya mungkin mengelak daripada berlaku perceraian. Masalah dalam rumahtangga cuba diselesaikan secara bertolak ansur dan bijaksana. Keluarga akan campur tangan mendamaikan pasangan bermasalah agar tidak berakhir dengan perceraian.

Status duda dan janda bukan suatu yang baik pada pandangan masyarakat. Pandangan ini berdasarkan kepada bahawa perceraian berpunca sesuatu yang tidak baik mengenai duda atau janda itu. 

Keluarga yang perihatin tidak mudah menerima bakal ahli keluarga baru dari kalangan duda atau janda. Mereka akan menyelidik apakah punca perceraian yang lalu. Adakah perceraian lalu berpunca daripada sikap bakal menantunya itu. Ini bagi mengelak perkara yang sama berlaku dalam perkahwinan baru nanti. 

Dengan kata lain, duda atau janda dipandang rendah bukan kerana status, tetapi sebab di sebalik mengapa status itu diperoleh. Suami tidak mungkin menceraikan isteri yang baik. Atau, suami yang baik tidak mungkin menceraikan isteri tanpa alasan yang munasabah.

Atas alasan itulah mengapa duda, lebih-lebih lagi janda sentiasa dipandang serong. Keluarga akan cuba menghalang anak teruna mengahwini janda. Pengalaman buruk janda itu tidak mahu berulang pula pada anak teruna yang belum penah mengalami pengalaman hidup berumahtangga.

Manakala duda pula akan disiasat lebih teliti terlebih dahulu sebelum dibenarkan berkahwin dengan anak dara. Manalah tahu punca perceraian dahulu disebabkan sikap tidak baik duda itu. Sikap itu akan berulang pula bila berkahwin baru dan isterinya bakal menanggung nasib yang sama.

No comments:

Post a Comment