Sikap ego pasangan dikenal pasti
mengapa mudah berlaku perceraian dalam masyarakat sekarang. Jika ada masalah
dalam rumahtangga, masing-masing tidak 'takut' untuk bercerai. Masyarakat sudah
terlalu moden. Kahwin boleh, jadi cerai apa salahnya. Itu kata-kata yang
memandang mudah soal perceraian.
Si suami merasakan dia tidak
menghadapi masalah untuk mencari pasangan baru. Mereka boleh mendapatkan isteri
baru di kalangan anak dara yang lebih baik. Tambah pula dia tergolong kacak dan
berkedudukan baik.
Begitu juga dengan si isteri yang
mengambil pendekatan tidak kisah jika selepas itu dia tidak bertemu jodoh lagi.
Walaupun merasakan lepas berstatus janda agak sukar sedikit mencari pasangan
baru, tetapi mereka lebih rela memilih status itu dan terserah kepada jodoh
jika masih berpeluang mendapat pasangan lain.
Bahkan
ramai wanita berpegang kepada prinsip perceraian bukan penamat kehidupan. Malah
ada yang lebih optimis mengatakan perceraian adalah permulaan untuk berubah mencapai
kehidupan yang lebih baik. Memang pemikiran itu
amat libral dan keterlaluan bagi budaya masyarakat kita.
Sekarang ini ramai wanita yang
mempunyai kerjaya yang baik. Bahkan, ramai isteri berkedudukan lebih baik
daripada suami. Bukan setakat itu saja, sumai pula bergantung kewangan dengan
isteri.
Dengan kata lain, wanita tidak lagi
bergantung kepada lelaki untuk menyara hidup selepas perceraian. Bahkan, banyak
hak penjagaan anak diberikan kepada si isteri yang mampu menyara sepenuhnya
perbelanjaan, kalaupun tanpa bantuan daripada bekas suami.
Golongan yang memperjuangan
kepentingan wanita pula seakan berjuang mempermudahkan soal perceraian. Mereka
bukan hendak mempertahankan kaum isteri daripada diceraikan, tetapi kalau
boleh, setiap permohonan cerai yang dikemukakan oleh si isteri perlu diluluskan
segera.
Banyak forum dan seminar yang
membincangkan mengenai keadilan bagi si isteri merumuskan agar proses
permohonan cerai dipermudahkan. Mahkamah Syariah dikatakan gagal melaksanakan
tugas jika melambat-lambatkan proses perceraian. Mereka bukannya berjuang untuk
mempertahankan isteri daripada dijatuhkan talak.
Isteri wajar menuntut cerai jika
ternyata si suami telah gagal melaksanakan tanggungjawab sepertimana yang
diamanahkan terhadapnya. Malah, isteri boleh mengemukakan kepada mahkamah
syariah untuk mendapat pengesahan cerai taklik berdasarkan apa yang dinyatakan
dalam taklik si suami.
Namun, berdosa besar jika si isteri
memohon cerai dengan tanpa alasan yang munasabah. Sabda Rasulullah saw bermaksud:
“Isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa hak, nsecaya diharamkan
baginya mencium bau syurga,” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Ibnu
Hibban dan Hakim).
Mereka seakan berbangga berstatus
Ibu Tunggal. Sekarang ini masyarakat jarang menggunakan perkataan janda bagi
wanita yang bercerai hidup atau balu bagi bercerai mati. Lainlah jika mereka
bercerai tanpa mempunyai anak.
Biasanya masyarakat mudah simpati
dengan gelaran ibu tunggal. Terdapat Persatuan Ibu Tunggal peringkat
kebangsaan, negari, daerah dan kampung. Aktiviti
persatuan mendapat sokongan masyarakat setempat, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan
kerajaan sendiri. Ada ruangan khas dalam majalah atau akhbar yang memfokoskan
mengenai Ibu Tunggal yang berjaya.
Memang benar ramai ibu tunggal
berjaya meneruskan hidup dengan sempurna bersama anak-anak. Malah ada yang
menikmati kehidupan lebih berjaya selepas bergelar Ibu Tunggal. Kehidupan
mereka lebih bahagian dan ceria selepas perkahwinan. Pun, siapa yang tahu dan
dapat menyelami perasaan sebenar ibu tunggal.
Ibu tunggal biasanya berusaha lebih
gigih dan menggunakan sepenuhnya peluang bebas kongkongan daripada suami untuk
berjaya. Mereka ingin memastikan nasib anak-anak tidak terabai. Malah ramai
yang ingin membuktikan kepada bekas suami bahawa mereka boleh berdikari dan
kebahagiaan hidup bukan bergantung kepada lelaki.
Tetapi, apakah matlamat perkahwinan
'mesti' berakhir dengan perceraian. Jika perkahwinan diraikan sebagai hari
paling gembira dan bersejarah, perceraian sepatutnya dianggap malapetaka paling
besar.
Istilah perceraian sepatutnya tiada
dalam kamus perkahwinan. Perceraian adalah jalan terakhir setelah segala usaha
untuk mengekalkan rumahtangga gagal. Rakyat yang baik bermula dari keluarga
yang bahagia.
Pasangan yang dapat bertahan dalam
dunia rumahtangga memberi kelebihan yang besar dari segi pahala. Sabda
Rasulullah SAW bermaksud: “Apabila seorang isteri melakukan solat lima waktu,
berpuasa pada Ramadan, memelihara kehormatan dirinya dan taat kepada suaminya,
nescaya dia masuk ke syurga,” (Hadis riwayat Al-Bazzar).
Dalam hadis lain pula bermaksud:
“Seorang isteri yang meninggal dunia dan suaminya reda terhadap dirinya, maka dia
akan masuk syurga.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Hakim).
Tegasnya, suami isteri perlu
berusaha untuk kekal dalam ikatan perkahwinan sehingga ke akhir hayat. Yang
demikian itu adalah nikmat dan kejayaan hidup yang paling bermakna di dunia
ini. Rugilah sesiapa yang mempersia-siakan jodoh yang telah ditemui, dirosakkan
dengan perceraian.
No comments:
Post a Comment