Saturday, 16 February 2019

HAIWAN DARAT MESTI DISEMBELIH


Haiwan darat mesti disembelih untuk dimakan, kecuali dari jenis yang kecil dan tidak berdarah seperti belalang. Binatang yang disembelih bukan kerana Allah juga haram dimakan.   

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih bukan kerana Allah.” (Surah al-Baqarah, ayat 173).

Menyembelih ialah memotong leher binatang berkenaan hingga putus merihnya. Niat menyembelih kerana Allah dilakukan ketika hendak memulakannya. Jika menyembelih banyak haiwan, niat itu memadai pada permulaan dan diniatkan sebagai menjalankan tugas itu secara berterusan sehingga selesai tugas.

Haiwan yang disembelih hendaklah mati dengan kadar cepat. Kegagalan penyembelih memutuskan merih menyebabkan haiwan yang disembelih sukar mati. Jika haiwan itu mati dalam tempoh masa yang lama, katakan sejam kemudian, haiwan itu tidak dianggap disembelih. Oleh itu dagingnya haram dimakan.

Jika tidak mati, haiwan itu tidak boleh disembelih kali kedua dalam tempoh masa yang singkat. Ia hendaklah dibiarkan terus hidup dan sembuh dari kecederaan itu, dan kemudian baru boleh disembelihkan semula.

Dalam kes menyembelih binatang yang sukar ditangkap untuk disembelih secara biasa, seperti burung, sudah memadai dengan niat melakukan penyembelihan menggunakan apa-apa senjata yang bersesuaian seperti senapang, panah, sumpit dan sebagainya. Bahagian yang terkena sehingga menyebabkan matinya binatang itu juga tidak ditetapkan.

No comments:

Post a Comment