Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar
bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal.
Bapanya lebih dikenali dengan
panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama.
Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di
Kampung Kedai Lalat.
Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat
pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia
Tenggara. Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang
muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah
Aminah Majid.
Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz
dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah
Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu.
Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama
setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat
seketika.
Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang
alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru
Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur
Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan
Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.
Walaupun usia Tuan Guru masih muda
tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi)
setanding dengan murid-murid yang lebih tua.
Pada tahun 1945 beliau menyambung
pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau
menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu
Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.
Ketika di India beliau juga telah
berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu
Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang
pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan
Inggeris.
Pada 1957 beliau menyambung pelajaran
ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul
Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan
pengajian bahasa Arab.
Kemudian menyambung pelajaran sehingga
mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam
selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan
pulang ke tanahair Februari 1962.
Pada 1962 beliau membuka sekolah
dengan menggunakan tanah wakaf yang diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu
Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah
pagi beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor,
Kemumin.
Pada sebelah malam beliau menjadi guru
dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun.
Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan
jawatan dan berkhidmat di Maahad Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.
Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967.
Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil
Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa).
Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk
bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri
(DUN) Semut Api.
Pada 1971 beliau dilantik menjadi
Ketua Dewan Ulama PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS
mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.
Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai
Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990.
Beliau telah menulis beberapa buah
buku antaranya ‘Mengapa Saya Tidak Masuk Kristian’ dan beberapa buah buku telah
diterbitkan mengandungi siri-siri kuliah dan ceramah.
Dengan pengalaman yang ada, beliau
telah membimbing pelajar Maahad Muhammadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya
timbul satu Halaqat pengajian yang sekarang disebut usrah.
Selepas itu wujud sebuah surau yang
masih ada di Maahad Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau
itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.
Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama
kerana petah berpidato. Beliau telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di
masjid sejak dahulu lagi.
Ucapan beliau terang berserta dengan
perumpamaan yang jelas dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara
beliau mendapat tempat di hati penyokongnya.
Ilmu yang disampaikan merupakan
khazanah dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan
mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan di pusat
pengajian tinggi.
Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul
Aziz, mengendalikan pondok bergerak sejak 1962. Beliau tidak pernah berhenti
keluar rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung.
Walaupun beliau telah menjadi Menteri
Besar, bidang pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan
Khamis beliau mengajar dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi
beliau mengajar adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan
para Anbia’.
Beliau mendapat penghargaan:
1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30 Mac 1995.
1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30 Mac 1995.
Pada usia 34, beliau mendirikan rumah
tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari
Kampung Kemumin, Kota Bharu iaitu tahun 1962.
Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu
dikurniakan 10 cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki.
Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik
Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik
Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.
Kehidupan beliau sederhana tinggal di
sebuah rumah kayu binaan kampung. Ruang tamunya tidak dihiasi dengan set
sebagaimana yang menjadi kebiasaan di rumah pembesar negeri. Apa yang ada
sebuah almari yang penuh dengan kitab agama.
Beliau juga tidak membenarkan
isterinya memakai sebarang perhiasan begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa
yang ditarbiyahkan ke atas keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu
teluk belanga, kain sarung pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi
beliau.
Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut
Api dalam pilihanraya umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua
Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz
telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama
tiga penggal berturut-turut.
Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau
telah menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan
yang disampaikannya di Dewan Rakyat.
No comments:
Post a Comment