Saturday, 2 March 2019

LAKSANA TANGGUNGJAWAB SOSIAL


Tanggungjawab sosial perlu dilakukan semua pihak. Ia bukan sekadar dilakukan organisasi atau kerajaan semata-mata. Setiap orang mempunyai peranan berdasarkan kepada 'kuasa' dan 'keupayaan' yang dimiliki. Perbincangan seterusnya mengemukakan contoh yang dapat dimainkan oleh individu atau organisasi dalam membentuk model tanggungjawab sosial.

Pelajar.  Golongan pelajar merupakan bakal pewaris kepimpinan negara. Mereka mempunyai peranan besar untuk mencorak apa yang akan terjadi kepada negara. Justeru, golongan pelajar perlu didedahkan dengan nilai-nilai murni yang membentuk jati diri mereka. Jika golongan ini tidak dididik dengan nilai-nilai murni, apabila dewasa nanti sukar lagi untuk melakukannya. 

Sesebuah negara akan hancur jika moral rakyatnya hancur dan dikuasai nilai-nilai negatif. Banyak negara maju kini diambang kehancuran disebabkan gagal mengawal moral rakyatnya. 

Maka, usaha membendung salahlaku di kalangan generasi muda di negara kita dipergiatkan. Ia dilakukan dengan cara penguatkuasaan seperti membenteras lumba haram, penyalahgunaan dadah dan sebagainya.

Justeru, didikan moral dan nilai murni kepada golongan pelajar menjadi modal insan yang membawa kejayaan dan kecemerlangan negara pada masa depan dijadikan agenda utama negara. 

Maka, tepat sekali apabila kerajaan memberi penumpuan untuk membina modal insan kelas pertama terhadap golongan pelajar dan belia dengan mewujudkan peluang pendidikan serta menganjurkan program-program bermanfaat kepada pelajar.
           
Pemegang saham -  Individu yang memiliki saham atau modal dalam sesebuah syarikat dinamakan pemegang saham. Pemegang saham mempunyai peranan besar dalam menentukan hala tuju syarikat atau organisai. 

Sememangnya pemegang saham mengharapkan untuk melalui pelaburan yang dibuat. Namun, perlu diingatkan keuntungan semata-mata tidak membawa kebaikan. Masih terdapat perkara lain yang perlu difikirkan bersama, terutama dalam melaksankan tanggungjawab sosial. 

Di negara kita, syarikat besar memainkan peranan penting dalam perlaksanaan tanggungjawab sosial. Syarikat menyediakan dana untuk membina negara bangsa yang berjaya seperti menubuhkan yayasan membantu pelajar, kempen kesedaran, menyediakan perkhidmatan percuma dan sebagainya.

Keputusan syarikat melakukan perkara itu adalah bergantung kepada apa yang dipersetujui atau dikehendaki oleh pemegang saham. Justeru, pemegang saham bukan sahaja mengharapkan keuntungan, bahkan juga menyumbang dan berkongsi keuntungan dengan masyarakat keseluruhannya.

Pekerja - Golongan pekerja adalah tulang belakang kepada aktiviti ekonomi dan perkhidmatan. Tanpa golongan pekerja, aktiviti yang berkaitan akan terhenti. Perhatikan bagaimana kesan apabila kesatuan sekerja melakukan mogok tidak bekerja, contohnya pemandu bas. 

Bayangkan bagaimana pengguna bas akan menghadapi kesukaran amat sangat. Ia boleh mendatangkan kerugian yang besar kepada negara. Itu baru satu kesatuan sekerja. Apa akan jadi jika semua pekerja mogok secara serentak?

Pekerja yang baik tidak hanya mengharapkan gaji semata-mata. Mereka pentingkan kualiti tugas yang dilakukan. Sebab itu, pekerja dedikasi akan sentiasa memikirkan untuk melakukan yang terbaik. Ini khususnya jika bidang tugas mereka mempunyai hubung kait secara langsung dengan masyarakat seperti khidmat di kaunter, guru, doktor dan sebagainya.

Justeru, masa kerja digunakan sepenuhnya untuk berkhidmat. Mereka tidak mengamalkan curi tulang atau kerja sambil lewa. Kepuasan pelanggan adalah kepuasan mereka juga.

Paling penting, mereka menjauhi daripada amalan rasuah. Rasuah menghancurkan negara. Negara kaya boleh jatuh miskin jika amalan rasuah berleluasa.

Pengguna -  Adalah merujuk kepada mereka yang menggunakan sesuatu barangan atau perkhidmatan yang disediakan syarikat, organisasi mahupun kerajaan. Biarpun dianggap sebagai pengguna, mereka juga mempunyai peranan penting dalam membentuk model tanggungjawab sosial.

Masalah kenaikan harga barangan sering berlaku di negara kita. Perkara ini disebabkan permintaan melebihi penawaran. Ia kerap berlaku pada musim perayaan. 

Peranan boleh dilakukan oleh pengguna ialah bijak membuat pembelian. Jika harga barang meningkat, mereka patut menghentikan pembelian dan beralih kepada barangan gantian lain. Apabila kurang permintaan, harga biasanya akan turun. 

Sikap pengguna yang masih membeli biarpun harga barangan tertentu meningkat menyebabkan kadar inflasi semakin tinggi. Keadaan ini memberi kesan buruk kepada ekonomi negara. 

Jadi, pengguna perlu bijak berbelanja dan mengelak kesan buruk kepada kewangan sendiri dan masyarakat keseluruhannya. 

Soal jimat berbelanja amat ditekan dalam Islam. Islam mengutamakan kesederhanaan dan mengelak perkara mendatangkan keburukan. Sikap boros adalah kawan syaitan.

Penghutang - Golongan penghutang juga ada peranan dalam tanggungjawab sosial.  Hutang wajib dibayar walaupun tidak dituntut. Sikap berhutang tanpa mengambil kira keupayaan membayar menyebabkan kesan sosial yang teruk. Kes along dan bankrap selalu membelanggu mereka yang gagal membayar hutang. 

Kegagalan membayar hutang boleh menyebabkan hubungan kurang elok di antara penghutang dan pemiutang. Ada putus saudar disebabkan hutang. 

Bagi peminjan institusi seperti Program Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), pinjaman perlu dijelaskan kerana ia melibatkan kepentingan ramai. Wang yang dibayar itu boleh digunakan untuk pelajar lain pula. Mereka yang telah berjaya perlu bersyukur bahawa dengan pinjaman itu membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke tahap tertinggi. Jika, pinjaman itu tidak dijelaskan, ia menghalang pelajar lain untuk membuat pinjaman. Fikirkan, jika yang gagal mendapat pinjaman itu adalah kita sendiri.
                                          
Sesungguhnya Allah tidak menerima pahala orang yang meninggal dunia yang tidak menjelaskan hutang dengan sengaja. Roh orang tidak membayar hutang tergantung di antara langit dan bumi. Sebab itu, harta mereka yang meninggal dunia lebih berhak untuk dibayar hutang yang belum dilunaskan, berbanding diserahkan kepada waris mereka. 

Peniaga -  Perniagaan merupakan aktiviti terawal manusia. Aktiviti perniagaan membentuk hubungan paling penting sesama manusia. Tidak ada hari tanpa wujud perniagaan. Perniagaan wujud sejak manusia hidup secara bermasyarakat. Ini kerana keperluan manusia berbeza-beza atau banyak, sedangkan kemampuan menghasil sendiri amat terhad. Petani menghasilkan hasil pertanian memerlukan ikan yang ditangkap oleh nelayan, sedangkan nelayan pula ingin hasil pertanian. Maka, mereka boleh melakukan pertukaran barang.

Apabila wujud sistem matawang, maka pertukaran itu dilakukan menggunakan matawang. Ia memudahkan urusan jual beli dan mempelbagaikan hasil barang yang boleh diniagakan.

Memandangkan betapa penting aktiviti perniagaan, maka terdapat lebih 500 buah hadis daripada Rasulullah SAW membincangkan atau memperkatakan mengenai perniagaan. Dalam al-Quran juga tidak terkucali menyebut mengenai perniagaan agar ia berlaku secara adil dan mengelak berlaku penindasan.

Sebab itu, peniaga mempunyai tanggungjawab sosial amat penting untuk membentuk masyarakat yang harmoni dan mendapat apa yang diperlukan. Sikap peniaga yang hanya mementingkan keuntungan akan menyebabkan masyarakat hidup dalam gawat. Keperluan tidak dapat diperoleh sepenuhnya apabila peniaga melakukan sorok barang bertujuan untuk manipulasi harga. 

No comments:

Post a Comment