Saturday, 2 March 2019

HUBUNGAN DENGAN ALAM SEKITAR


Melestarikan atau mengekalkan alam sekitar agar berada dalam keadaan yang bersih, aman, selesa dan selamat adalah satu tanggungjawab setiap individu.

Keperluan tersebut bertepatan dengan manifestasi bahawa alam sekitar adalah sebahagian daripada kehidupan manusia. Jika tidak menjaga alam sekitar, bermakna kita tidak menjaga diri sendiri.

Kempen melestari alam sekitar perlu dilakukan sepanjang masa bagi menyedarkan masyarakat tentang kebersihan dan kepentingan penjagaan alam sekitar. Penyertaan semua pihak dalam kempen ini amat diperlukan bagi memastikan tercapai matlamat yang diharapkan.

Usaha melestari alam sekitar menjadi amat penting memandangkan dunia sekarang semakin dicemari dengan toksid, bahan kumuh, sampah sarap, unsur gas dan bendalir berbahaya. Kehidupan manusia dan hidupan lain semakin terancam akibat perbuatan manusia yang rakus dan tidak bertanggunjawab.

Sekiranya usaha melestari alam sekitar tidak dilakukan, kesannya ditanggung oleh manusia sendiri. Seringkali kita dikejutkan kejadian bencana yang berlaku disebabkan sikap manusia yang tidak prihatin menjaga kepentingan khazanah alam. 

Kemusnahan terhadap alam sekitar terjadi angkara perbuatan manusia yang tidak mematuhi peraturan atau kaedah yang selamat dalam aktiviti kehidupan seharian. Tindakan itu dikaitkan dengan sikap ingin mengaut keuntungan maksimun dan mengurangkan kos.  

Peraturan soal kebersihan dan menjaga alam sekitar ada dibincangkan dalam kitab-kitab fikah yang menandakan ia turut menjadi amalan penting dalam ajaran Islam.  

Terdapat segelintir individu bersikap tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan yang nyata menyebabkan kerosakan alam sekitar seperti membuang sampah, sisa toksid dan agen pencemar alam secara tidak mematuhi peraturan yang ditetap pihak kerajaan.   

Tindakan buruk itu bukan sahaja menyalahi undang-undang negara, bahkan satu perbuatan dosa di sisi agama. Ajaran Islam menegah umatnya melakukan perbuatan yang diketahui mendatangkan kesan buruk, tidak kiralah kecil atau besar.

Perbuatan itu dinyatakan oleh Allah dalam surah ar-Rum ayat 41 bermaksud: “Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut, disebabkan usaha tangan manusia, kerana Tuhan hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, supaya mereka kembali.”

Bencana alam yang sering berlaku di negara kita dilaporkan mempunyai kaitan dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat yang tidak mengambil berat soal penjagaan alam sekitar. Kejadian tanah runtuh, banjir lumpur, banjir kilat, bekalan air tercemar, kebakaran hutan dan sebagainya banyak berpunca daripada manusia sendiri.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu berpunca sikap rakus mementingkan keuntungan dan kesenangan dengan mudah semata-mata tanpa memikirkan kesannya kepada kehidupan. 

Penebangan hutan tanpa kawalan, pembuangan sampah merata-rata, pembuangan sisa toksik dan sistem pembandaran tidak sistematik dilakukan berpunca sikap tidak menghargai kepentingan alam sekitar.

No comments:

Post a Comment