Konsep menjaga hubungan sesama manusia amat penting dilakukan. Ini
kerana kita hidup dalam kelompok manusia yang saling memerlukan antara satu
sama lain. Hubungan ini mungkin dalam bentuk adik beradik, ahli keluarga,
jiran tetangga, rakan setugas dan sebagainya. Orang itu mungkin kita
kenali dan juga tidak dikenali.
Dalam Islam, hubungan sesama manusia yang paling penting ialah dengan ibu
bapa. Islam meletakkan ibu bapa pada kedudukan yang tinggi. Syariat
menetapkan mentaati ibu bapa sebagai satu kewajipan yang perlu dilakukan oleh
setiap anak sepertimana yang dinyatakan dalam banyak ayat al-Quran dan
hadis.
Antaranya Firman Allah yang bermaksud: “Kami perintahkan kepada manusia
supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” (Surah al-Ahqaaf, ayat 15).
Malah dalam ayat lain Allah menjelaskan bahawa tidak bersikap derhaka
kepada ibu bapa, biarpun sekadar mengatakan perkataan kasar sekada perkatan
'cis'.
Firman Allah bermaksud bermaksud: “Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu
tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang
tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua,
janganlah sekali-kali engkau berani berkata ‘cis’ terhadap mereka dan janganlah
engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun
dan lemah lembut.” (Surah al-Israk, ayat 23).
Manakala sabda Rasulullah yang bermaksud: “Keredaan Allah berdasarkan
keredaan ibu bapa. Dan kemurkaan Allah juga berdasarkan kemurkaan ibu
bapa.” (Hadis riwayat Tirmizi).
Seterusnya, hubungan dalam kejiranan. Islam mementingkan adab
kejiranan dan menekankan aspek hak asasi individu, keadilan sosial dan
keselamatan dalam kehidupan harian. Aspek ini penting bagi mengelak
membawa terjadinya perpecahan, dengki, bermusuhan dan khianat dalam masyarakat.
Kemantapan dan keutuhan hubungan kejiranan bergantung kepada ketinggian
budi pekerti, semangat kekitaan dan saling menghormati yang
diamalkan. Amalan itu mewujudkan suasana kehidupan kejiranan selesa,
selamat dan muhibah.
Jiran yang perlu dihormati tidak terhad kepada jiran beragama Islam sahaja.
Wajib menghormati dan menjaga hak-hak jiran bukan Islam, termasuk berkaitan
kepercayaan dan amalan agama mereka. Perkara ini amat penting diamalkan di
negara ini yang mempunyai penduduk berbilang kaum, adat dan agama anutan.
Sikap toleransi terhadap jiran bukan Islam penting kerana ia juga
sebahgaian daripada dakwah. Amalan itu memberi imej baik berkaitan
Islam. Ia dapat mengelak provokasi atau tindakan balas daripada penganut
agama lain jika hak mereka diganggu.
Rasulullah SAW amat mementingkan hubungan dengan jiran dan menekankan
perkara yang sama kepada para sahabat. Perkara ini dijelaskan oleh Ibn
Umar bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: “Jibril sentiasa mewasiatkan
kepadaku mengenai jiran tetangga sehingga aku menyangka bahawa beliau (iaitu
jiran) yang akan mewarisinya (pusaka).” (Hadis riwayat Bukhari)
Selain itu, aspek hubungan dengan rakan sejawatan dan orang ramai juga
perlu dijaga. Banyak orang yang kita temui sebenar kita tidak
kenali. Ini tidak bermakna kita tidak perlu menghormati
mereka. Sesungguhnya hubungan baik sesama manusia perlu dijaga biarpun
orang tidak dikenali.
Kempen membina hubungan baik dalam organisasi perlu
diteruskan. Organisasi cemerlang diasaskan oleh hubungan baik ahli yang
menyertainya. Hubungan baik dalam organisasi menyatukan ahli dalam satu
matlamat dan mampu melakukan tugasan secara bersama dan bersatu padu.
Tindakan kerajaan mengadakan kempen kejiranan dan saling menghormati satu
tanda perkara ini penting diamalkan. Negara akan maju dan harmoni jika
rakyat hidup saling menghormati dan tolong menolong.
Sebaliknya negara akan hancur akibat perpecahan, perbalahan dan irihati
sesama rakyat. Aspek kesederhanaan dianjurkan kerajaan sebenarnya
mendidik rakyat agar menolak fahaman ekstrem.
No comments:
Post a Comment