Dalam organisai dan masyarakat perlu lebih banyak melakukan aktiviti atau
usaha yang menjurus kepada mendekatkan diri kepada Allah. Program yang
melalaikan dan bertentangan dengan kehendak agama hendaklah
dijauhkan. Banyak perkara kemungkaran dilakukan secara berkumpulan kerana
dianjurkan secara teratur.
Malang sekali, organisasi yang sepatutnya menjadi tulang belakang menyeru
manusia melakukan kebaikan telah berindak sebaliknya. Jika sesuatu yang
ditegah agama lebih banyak dilakukan di kalangan ahli masyarakat, maka
tunggulah saat kehancuran dan pembalasan daripada Allah.
Manusia adalah makhluk ciptaan Allah terbaik dan paling sempurna
kejadiannya berbanding makhluk lain yang menghuni alam ini. Perkara ini
ditegaskan Allah dalam firman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami
menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya." (Surah at-Tin, ayat
4).
Namun, kesempurnaan itu tidak membawa erti jika sekirannya manusia tidak
menjaga hubungan dengan Allah. Erti menjaga hubungan dengan Allah ialah
melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang.
Sesungguhnya, sesiapa yang hidup di dunia dengan membelakangkan perintah
Allah, maka tidaklah dia dipandang mulia di sisi Allah. Biarpun hidup
dipenuhi kemewahan, pangkat dan penghormatan, itu tidak memberi apa-apa makna.
Perkara ini ditegaskan oleh Rasulullah dalam bersabda bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad dan rupa bentuk kamu,
tidak kepada keturunan dan harta kekayaan kamu, sebaliknya Allah memandang
kepada hati kamu. Maka, sesiapa memiliki hati suci bersih, nescaya Allah amat
mencintai orang tersebut. Ketahuilah! Wahai Anak Adam bahawa orang yang paling
dicintai Allah ialah orang yang paling bertakwa di kalangan kamu." (Hadis
riwayat Muslim dan Tabrani).
Kekuatan takwa memberi keyakinan bahawa apa yang dilakukan adalah
semata-mata kerana Allah. Inilah sumber kekuatan para sahabat dan pejuang
yang sentiasa melakukan yang terbaik dalam semua hal sehingga Islam tersebar
seluruh Semenanjung Arab seterusnya melepasi ke tanah besar Eropah ketika era
kegemilangan Islam dulu.
Pengabdian diri kepada Allah memberi banyak kelebihan untuk mencapai
kejayaan dalam hidup. Perjalanan hidup dipenuhi kedamaian, kejayaan dan
diredai kerana segala tindakan baik secara rohani maupun luaran dilakukan orang
bertakwa dipandu oleh petunjuk Allah.
Manusia akan mencapai kejayaan hidup jika berteraskan kepada takwa kerana
ia berkaitan dengan melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang
dilarang. Perkara yang Allah suruh sudah tentu mendatangkan kebaikan.
Sedangkan apa yang dilarang itu jika dilakukan akan mendatangkan keburukan dan
jika dijauhkan akan mendatangkan kebaikan pula.
Maka itu, sesiapa menguruskan hidup berdasarkan takwa akan meletakan
dirinya dalam petujuk Allah. Apa saja yang dilakukan memenuhi tuntutan
kehidupan yang sempurna. Mereka bukan saja memelihaan hubungan dengan
Allah, bahkan sentiasa memelihara serta memperbaiki hubungan baik dengan sesama
manusia dan juga alam. Perkara itu dilakukan kerana disuruh oleh Allah.
Sesiapa yang hidupnya mementingkan takwa, maka balasan di akhirat adalah
syurga. Firman Allah bermaksud: “(Syurga) itu disediakan untuk orang
bertakwa.” (Surah Ali Imran, ayat 133).
Namun, kehidupan manusia sentiasa diancam oleh gangguan
syaitan. Inilah pentingnya mengapa manusia perlu sentiasa mendampingkan
dirinya kepada Allah.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu. Maka
itu musuhilah dia, kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongan yang
terpedaya supaya sama-sama menjadi penghuni neraka.” (Surah Fathir, ayat 6).
No comments:
Post a Comment