Saturday, 2 March 2019

SERANGAN PEMIKIRAN BERTALI ARUS

Sejak berkurun lamanya, ummah dihentam dengan serangan pemikiran yang bertalu-talu. Tumpuan utama mereka adalah muda-mudi Islam kerana golongan muda merupakan nadi kepada perjuangan Islam yang perlu dihentikan musuh Islam.

Rekod memperlihatkan kebanyakkan serangan pemikiran ini berpusat di barat. Antara produk yang paling berjaya memanipulasi minda manusia khususnya umat Islam adalah ideologi sekularisme, satu pemikiran yang berjaya memenjarakan agama di sebalik dinding-dinding rumah ibadat.

Idealisme inilah yang melahirkan kenyataan "Islam suku politik suku" atau "Islam dan politik tidak boleh disamakan" atau kenyataan yang bersifat menidakkan kesyumulan Islam seperti "Hukum Islam tidak sesuai dengan zaman sekarang".

Tidak sekadar itu, musuh-musuh Islam sentiasa cuba ke hadapan dalam menanam kehendak mereka dalam pemikiran umat Islam melibatkan pelbagai disiplin ilmu yang wujud di dunia ini. Penjajahan pemikiran juga berlaku dalam bidang ekonomi, sosial, ilmu sains dan bidang-bidang lain.

Dalam konteks ekonomi, musuh Islam memperkenalkan kapitalisme sebagai 'pemain' yang mewakili mereka untuk mempengaruhi minda manusia. Sistem yang mendokong orentasi ekonomi riba yang jelas ditolak oleh ideologi Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Dalam bab sosial pula, musuh Islam mewujudkan pelbagai seni pemikiran yang menjauhkan manusia dari manhaj Rabbani  untuk didokong oleh umat Islam. Kebebasan melampau ditaja dan dijenamakan atas kalimah hak asasi manusia sedang hak Allah SWT sebagai Rabbul a'lamin dinafikan.

Pendek kata, muda-mudi Islam hari ini menjadi sasaran serangan pemikiran musuh Islam yang datang dari segenap penjuru dan arah.

Musuh-musuh Islam menyedari bahawa Islam tidak mungkin dapat dilumpuhkan melalui serangan fizikal iaitu melalui peperangan. Maka, mereka mengubah strategi mereka dengan menghantar askar-askar halus meresap dan menyerang umat Islam dengan pemuda menjadi sasaran utama.

Misi mereka adalah untuk menjauhkan umat Islam daripada fahaman Islam yang sebenar selain merekrut 'askar-askar' baru dari kalangan umat Islam sendiri untuk dijadikan boneka kepada propaganda yang sedang mereka rencanakan.

Hasilnya hari ini, boneka musuh-musuh Islam ini ada di setiap pelusuk dunia bahkan mereka juga turut berorganisasi dan gerakan mereka bersistematik.

Boneka-boneka ini wujud di mana-mana. Di Turki, Pakistan, Malaysia dan negara-negara dunia lain. Mereka wujud dengan membawa perjuangan yang diilhamkan oleh Iblis yang sememangnya bermusuh dengan manusia. Mereka wujud dalam perjuangan sekularisme, nasionalisme dan sebagainya.

Maka, sedarlah muda-mudi Islam bahawa ideologi terbaik memandu manusia menyelamatkan muka bumi Allah SWT ini tidak lain tidak bukan adalah ideologi yang datangnya dari Allah SWT sendiri iaitu ideologi Islam.

Oleh itu, setiap daripada muda-mudi Islam, kunci kesinambungan perjuangan Islam perlu sentiasa berhati-hati dengan keadaan sekeliling supaya tidak tenggelam dan lemas dengan ideologi bersifat menyesatkan dan melemahkan tajaan musuh-musuh Islam.

Pemuda pemudi perlu kukuh dan mantap dengan tassawuf Islam yang mampat serta fikrah yang jelas sebagai benteng diri berdepan serangan pemikiran yang dilancarkan golongan laknatullah ini.

Sebagaimana firman Allah SWT: "Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka). (Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan." (Surah Ali Imran ayat 196-197).

Allah SWT berfirman dalam surat At-Taubah yang bermaksud: “Mereka hendak memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, sedang Allah tidak mahu selain menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir itu benci akan hal itu.”(Surah At-Taubah: 32).

Islam membina pemikiran atau ideologi Islam. Pemikiran Islam lahir secara begitu mendasar daripada akidah Islam yang terbina daripada keimanan terhadap Allah, kitab dan rasul-Nya.

Akidah yang bertunjangkan kepercayaan kepada perkara-perkara ghaib, hidup sesudah mati dan hari pembalasan itu telah membentuk pemikiran hidup umat Islam yang suci, sempurna dan membangun kehidupan sebenar.

Apabila berlaku penjajahan ratusan tahun barat ke atas umat Islam yang saat itu, telah dilalaikan oleh kebendaan dan kezaliman para penguasa, mereka berusaha untuk menukar dan memurtadkan umat Islam.

Tetapi akidah tauhid begitu bersebati di dalam jiwa dan nadi umat Islam. Mereka gagal di situ tetapi tidak di dalam memastikan umat Islam lemah selama-lamanya.

Justeru mereka begitu bersedia melancarkan serangan pemikiran yang merosakkan pandangan umat Islam terhadap kehidupan, malah terhadap agama mereka sendiri. Kerosakan besar yang menimpa ke atas masyarakat Islam hari ini.

Kerosakan ini secara jelas berpunca daripada tempoh lama ratusan tahun umat Islam berada di dalam kepungan penjajahan barat ke atas dunia Islam yang secara fizikalnya, telah berakhir dengan perisytiharan kemerdekaan oleh negara-negara tersebut.

Tetapi kemerdekaan fizikal itu bukanlah mengubati segala penyakit yang telah menjalar ke segenap urat nadi umat. Ia memerlukan tempoh yang panjang untuk membaik pulih kerosakan tersebut. Kerosakan besar yang mengundang pelbagai masalah umat itu ialah kerosakan pemikiran umat Islam.

Akhirnya, dalam tempoh beberapa kurun, mereka mampu melahirkan generasi umat Islam yang tidak lagi membangunkan pemikiran mereka berasaskan akidah yang suci.

No comments:

Post a Comment