Thursday 20 October 2016

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sebuah institusi ditubuhkan di bawah Akta Pemegang Amanah 1952 berorentasikan ekonomi dan kebajikan. 

Sejak ditubuhkan 13 Oktober 1976, YaPEIM memfokuskan kepada usaha melaksanakan kerja kebajikan melalui pendekatan membangunkan ekonomi Islam dengan melibatkan diri dalam sektor perniagaan.

Dengan kata lain, YaPEIM perlu berniaga dan mewujudkan peluang ekonomi untuk membantu orang Islam lain. YaPEIM tidak menutip zakat atau sekadar badan kebajikan berorientasikan sumbangan dan geran. Justeru keputusan pembayaran gaji, elaun, bonus dan perlantikan adalah keputusan berasaskan perniagaan.

Salah satu program pembangunan ekonomi Islam yang paling berjaya ialah program Ar Rahnu YaPEIM yang kini telah dilaksanakan melalui 202 buah cawangan di seluruh negara.

YaPEIM merupakan pelopor dan peneraju dunia dalam memperkenalkan instrumen Ar-Rahnu sejak 1993. Setiap tahun sejak 1993, program Ar-Rahnu terbukti telah menjana keuntungan yang memberansangkan.

Melalui program Ar-Rahnu dan pelbagai sektor perniagaan berkaitan, YaPEIM berjaya menjana pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada bantuan (geran) kerajaan dalam pengurusan dan operasinya.

Malah keuntungan yang dijana melalui aktiviti pembangunan ekonomi, jugalah yang digunakan untuk menjayakan pelbagai program kebajikan YaPEIM seperti Skim Kecemerlangan Pelajar (miskin) Nasional – SANTUN (melibatkan 5,200 orang pelajar miskin dan anak yatim yang cemerlang).

Program lain ialah Program Sinar Kasih dan Skim Khairat Nasional (dengan kumpulan sasar 200 ribu keluarga yang berdaftar di bawah e-Kasih), Program Pembangunan Komuniti dan Program Pembangunan Keusahawanan (mencecah 120,000 orang pada penghujung tahun 2015).

Tujuan YaPEIM mengadakan program sumbangan termasuk melalui Skim Potongan Gaji Bulanan ialah untuk memberi peluang kepada masyarakat Islam di negara ini turut membuat kebajikan dan mendapat pahala melalui skim-skim yang sumbangan yang diperkenalkan bukannya kerana YaPEIM tiada wang.

Hakikatnya, YaPEIM sebagai pengusaha pajak gadai Islam terbesar di negara ini merupakan ancaman kepada sistem konvensional dan anda sendiri pasti tahu siapa yang terancam dengan perkembangan ini.

Sungguhpun perlantikan Lembaga Pengarah YaPEIM dibuat oleh kerajaan, namun mereka beroperasi seperti organisasi perniagaan dan kebajikan biasa yang membuat keputusan berasaskan perniagaan.

YaPEIM ialah yayasan berasaskan perniagaan dan kebajikan. Ia bukan pengurus dana kerajaan untuk kebajikan. Pembayaran elaun dan program YaPEIM dibuat secara bebas berasaskan keuntungan perniagaan mereka.

Sumbangan orang ramai pada YaPEIM hanya digunakan untuk program bantuan kebajikan. Manakala pengurusan dan pentadbiran diuruskan menggunakan hasil perniagaan mereka.

No comments:

Post a Comment