Thursday 20 October 2016

Wajib pertahan negara Islam

Wajib pertahan negara Islam untuk memastikan kuasa kekal dalam pemerintahan pemimpin Islam. Negara Islam ditakrifkan kebanyakan ulama meletakkan syarat pemimpin tertingginya di kalangan orang Islam, kedaulatan diperakui negara lain, ajaran Islam dapat diamalkan dengan aman dan hukum dilaksanakan berdasarkan syariat Islam. 

Dalam negara Islam dibenarkan bukan Islam menjadi warganegara yang mendapat hak sebagaimana orang Islam. Selain itu, bukan Islam juga mungkin tinggal di negara Islam atas dasar sementara atau tidak menjadi warganegara.

Biarpun Islam berkuasa di negara Islam, namun hakikatnya ditegah orang Islam melakukan perkara tidak hak kepada bukan Islam. 

Imam al-Mawardi menjelaskan terdapat hadis bermaksud: “Semua hal yang ada di dalam Darul Islam menjadi terlarang (terpelihara), sedangkan semua hal yang ada di dalam dâr asy-syirk telah dihalalkan.”

Orang Islam wajib mempertahankan negara Islam dan jika ia telah ditawan oleh bukan Islam maka wajib negara Islam dibebaskan dan kembali ditegakkan sebagai negara Islam. Dalam hal ini, negara-negara Islam mesti bersatu membebaskan negara Islam lain yang dikuasai oleh kuasa asing. 

Inilah yang sepatutnya dilakukan di kalangan negara Islam dalam usaha untuk membebaskan Palestin daripada kuasa Israel. Begitu juga dalam hal yang berlaku di Iraq biarpun dianggap diperintahkan sendiri oleh rakyatnya, tetapi pada hakikatnya hanya menjadi boneka kepada kuasa asing.

Negara Islam tidak dapat ditegakkan tanpa penglibatan orang Islam dalam politik atau pemerintahan.  Maka itu, adalah wajib kita memilih di kalangan pemimpin beragama Islam. 

Kerjasama dengan bukan Islam dalam pemerintahan dibenarkan tetapi kuasa penting dalam pentadbiran negara mesti dipegang oleh pemimpin Islam seperti dalam soal kewangan, pentadiran dalam negeri, keselamatan, pendidikan, perundangan dan perdagangan. 

Hal ini bagi memudahkan urusan untuk menjaga kepentingan agama dan umat Islam dapat dijalankan dengan baik. Kelekaan umat Islam memberikan bukan Islam mengurus ekonomi negara memberi kesan apabila mereka mampu membuat tuntutan ‘melampau’ dalam soal tertentu dan biasanya perkara itu perlu dilayan disebabkan kuasa ekonomi berada di tangan mereka. 

Maka itu, amat penting umat Islam menguasai ekonomi selain kuasa pemerintahan dan pertahanan.

Kaeadah fiqah bahawa tindakan pemimpin atau kerajaan tertakluk kepada masalah rakyat menjadai asas kepada penggunaan al-masalih dan al-mursalah yang mana hukum yang diputuskan tidak terdapat di dalam al-Quran dan al-hadis. 

Pendekatan mengutamakan kepentingan masyarakat sebagai satu keperluan yang boleh dijadikan dalil hukum diterima kebanyakan ulama, namun hukum itu terbatal jika sekiranya telah ada sesuatu hukum yang jelas telah ditetapkan atau telah nyata perbuatan itu diharamkan.

Kaedah ini amat penting digunakan terutama dalam perkara yang sesuai dengan objektif syarak, bertujuan kebaikan dan menolak keburukan, serta bertujuan untuk menjaga kepentingan umum, bukan golongan atau kumpulan tertentu. 

Malang sekali apabila ada di kalangan umat Islam yang mengeluarkan fatwa yang selari dengan kehendak individu dan kelompok tertentu sahaja, sedangkan fatwa yang sama jika digunakan oleh pihak lain dianggap sebagai satu yang tidak betul. Tindakan ini ternyata memberi implikasi besar kepada bibit-bibit perpecahan di kalangan umat Islam.

Sad al-zari’ah pula merujuk kepada satu kaedah hukum yang digunakan dalam usaha menyekat atau menghentikan jalan-jalan yang pada kebiasannya menuju kerosakan. Perbincangan mengenai sad-al-zari’ah melibatkan persoalan mafsadah di mana mengharamannya diukur berdasarkan tahap mafsadah yang berlaku.  

Dengan kata lain, segala perbuatan yang boleh membawa ke arah mafsadah atau kerosakan, maka ia ditegah dalam Islam. Yang diambil kira dalam sad al-zari’ah adalah penelitian kepada kesan terakhir kepada sesuatu perbuatan. 

Oleh itu, jika satu perbuatan baik dan diniatkan untuk kebaikan tetapi boleh membawa kesan kerosakan, maka ia tetap dihalang.

Dengan kata lain, matlamat tidak menghalalkan cara, sebaliknya perlu berpegang kepada konsep cara berdasarkan kepada matlamat. Sesungguhnya Islam mementingkan kepada kebaikan dan menjauhkan sebarang bentuk keburukan. 

Pemimpin yang baik akan sentiasa memikirkan perkara yang baik untuk rakyatnya. Membiarkan negara dalam huru hara dan berebut jawatan bukan ciri-ciri pemimpin yang baik. Kemelut kepimpinan berebut kuasa di antara pemimpin akan menyebabkan urusan kepimpinan atau memimpin ummah akan terganggu. 

No comments:

Post a Comment