Friday 20 January 2017

Fatimah ibu tunggal didik 16 anak ke universiti

Melahirkan dan mendidik 16 orang anak bukan perkara mudah. Istimewanya, semua anak berjaya ke universiti. Itulah pengalaman hebat ibu tunggal, Fatimah Jusoff, salah seorang finalis kategori ibu mithali. 

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) buat julung kalinya mengadakan Anugerah Keluarga Mithali 2014. Majlis Penganugerahan telah disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agung Tuanku Hajah Haminah pda 30 Ogos 2014 bertempat di Auditorium Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Majlis penganjuran tersebut daripada kesinambungan Majlis Penganugerahan Ibu Mithali yang telah dianjurkan sebanyak 10 kali.  

Pada Majlis Penganugerahan Keluarga Mithali, ketegori Ibu Mithali masih kekal diadakan, dengan penambahan tiga lagi kategori iaitu Bapa Mithali, Pewaris Harapan dan Keluarga Mithali.

Pada majlis penganugerahan tersebut, Fatimah binti Jusoff merupakan salah seorang finalis kategori ibu mithali. Lahir pada tahun 1950.

Pelbagai suka duka kehidupan telah diharungi oleh ibu yang berasal dari Kelantan ini. Cabaran hidup yang dihadapi olehnya bukan sedikit dan bukan calang wanita juga yang mampu melakukannya sebagaimana beliau lakukan.

Membesarkan anak seramai 16 orang iaitu 11 orang lelaki dan 5 orang perempuan, bukanlah suatu kerja mudah malah memerlukan kesabaran dan ketabahan yang sangat tinggi.

Namun berkat kesabarannya itulah kini ibu ini mampu tersenyum bangga kerana kesemua keenam belas anaknya itu berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat universiti dan seterusnya berjaya dalam bidang yang diceburi dan menyumbang bakti kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara.

Kesungguhannya itulah membolehkan beliau menerima Anugerah Tokoh Ibu Solehah 2005, Peringkat Negeri Kelantan. Di kalangan anak-anak, beliau adalah seorang yang tabah dan ‘supermom’ kerana mampu melahir dan juga membesarkan 16 orang anak.

Kesetiaan dan pengorbanan juga jelas terpancar di wajah ibu ini yang sabar menjaga suami tercinta yang terlantar sakit lumpuh selama 10 tahun sebelum suaminya itu meninggal dunia pada tahun 2000.

Amalan suami yang diteruskan oleh beliau sehingga kini adalah sembahyang berjemaah. Amalan ini diteruskan oleh anak-anak beliau dan kesemua anak lelaki beliau boleh menjadi imam dan juga membaca khutbah jumaat.

Fatimah binti Jusoff adalah wanita yang memiliki kekuatan luar biasa, walaupun pernah dicaci dan dipulau semata-mata kerana kemiskinan. Namun sedikit pun tidak mematahkan semangat beliau untuk berusaha membesarkan anak-anaknya dan menjadikan mereka sebagai orang yang berguna kepada agama dan masyarakat.

Sesungguhnya beliau adalah ibu yang boleh dijadikan contoh kepada generasi muda. Bertekad bangkit daripada kesusahan hidup dengan berbekalkan semangat bahawa kemiskinan bukanlah suatu yang diwarisi. Beliau juga telah melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia dan mentaati kedua ibu bapa.

Walaupun tidak dinobatkan sebagai Ibu Mitlahi Kebangsaan 2014, kejayaan dipilih di antara tiga finalist adalah sesuatu yang cukup membanggakan seluruh anak, menantu, cucu dan seluruh ahli keluarga.   

No comments:

Post a Comment