Friday 20 January 2017

Pakaian tema sedondong

Rakyat Malaysia hidup mewah. Sebab itu, macam-macam boleh belanja buat itu dan ini. Satu fenomina sekarang ini ialah buat, tempah atau pakai baju yang sama atau hampir sama dari segi tema seperti warna, febrik dan sebagainya untuk sesuatu majlis. Semua yang hadir nampak sama, seragam dan mudah dikenali.  

Setiap tahun atau majlis berbeza akan menggunakan tema yang berbeza. Ia dianggap penyatuan, kesamaan, kekitaan, kekeluargaan dan satu hati. Antara majlis yang menggunakan konsep tersebut ialah sempena sambutan Aidilfitri atau Hari Raya Puasa, majlis pertunangan, perkahwinan, cukur jambul dan pelbagai majlis lain. 

Amalan ini mungkin terpangaruh dengan golongan berada dan ternama. Atau satu kebiasaan jika ada majlis perasmian atau program tertentu. Biasanya pihak penganjur menyediakan baju T dan topi kepada mereka yang turut serta.

Ada juga majlis yang ditetapkan oleh penganjur yang memerlukan tetamu hadir dengan bentuk pakaian dan warna yang sama. Itu sebahagian protokol berpakaian menghadiri majlis atau acara yang ditetapkan dan mesti dipatuhi. 

Sesiapa yang tidak mengikut protokol tidak dibenarkan menghadiri majlis tersebut. Atau jika berpakaian tidak berprotokol, maka akan dianggap sebagai tidak menghormati majlis. Biasanya protokol berpakaian melibatkan ketika majlis rasmi dan dihadiri oleh kenamaan negara.

Cara itu menampakkan kemeriahan. Ada keseragaman, kesamaan dan kebanggaan. Dalam situasi itu, protokol berpakaian memang patut diadakan dan dipatuhi setiap individu yang terlibat dengan majlis tersebut.  

Menyentuh mengenai keseragaman ini, tidak terkecuali melibatkan perkara-perkara sensitif seperti berkaitan agama, bangsa dan kepercayaan. 

Contohnya, dalam sesuatu majlis yang menetapkan pakaian wanita mesti berbaju kurung dan lelaki bersongkok sudah pasti tidak disenangi oleh bukan Islam. Namun, itulah hakikat yang perlu diterima. Demi keseragaman dan uniform, perkara itu tidak dapat dielakkan. 

Samalah dengan apabila wanita dipaksa pakai tudung untuk sesuatu majlis sebagai tanda keseragaman. Dalam banyak protokol atau peraturan pemakaian, semua wanita yang terlibat dikehendaki memakai tudung tanpa mengira agama, bangsa dan agama anutan. 

Dalam hal ini, pemakaian itu tiada kaitan dengan rasa keimanan atau kepercayaan agama. Dasar yang dipegang ialah keseragaman dan kesatuan. 

Memang, memakai tudung atau menutup aurat atas dasar keimanan terpulang kepada individu. Tidak boleh dipaksa. Tetapi, dalam keadaan yang mana untuk keseragaman, maka itu ‘diwajibkan’ bukan saja kepada wanita Islam, bahkan kepada wanita bukan Islam. 

Maka, tidak seharusnya timbul prejudis berkaitan memakai tudung untuk keseragaman jika majlis yang menetapkan sedemikian atau persetujuan bersama dicapai.

Dalam banyak hal kita boleh seragam dan membina kesatuan, mengapa tidak boleh ditambah satu lagi berkaitan memakai tudung. Anggaplah ia sebagai satu keseragaman, kalau tidak mahu menganggap satu yang mempunyai kaitan dengan agama. 

Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat. Mereka yang hari-hari memakai tudung jika niatnya tidak ikhlas dan tidak kerana Allah SWT, maka perbuatan itu tidak mendatangkan pahala.

Namun, satu perkara yang perlu diingat, biarpun dia memakai tudung dengan terpaksa, hakikatnya dia tetap sudah beroleh satu kebaikan, iaitu terhindar daripada perkara dosa berkaitannya.   

Sesungguhnya seragam itu menunjukkan atau membuktikan kesatuan. Sebab itu, pakaian ihram adalah sama untuk seluruh manusia yang mengerjakan umrah dan haji. Seluruh umat Islam yang datang ke Makkah untuk menunaikan ibadat tersebut perlu memakai ihram yang sama biarpun berasal dari tempat, budaya, keturunan, kedudukan yang berbeza. 

Namun, atas maksud beribadat kepada Allah, segala perbezaan itu diketepikan. Mereka bersatu dalam melaksanakan ibadat umrah dan haji.  

Pada setiap musim haji, terutama ketika kemuncak haji iaitu wakuf di Padang Arafah, semua yang terlibat dengan ibadat haji akan memakai pekaian yang sama. Berjuta-juta manusia nampak sama dan dengan niat yang sama mencari keredaan Allah.

Maka, kita dapat tahu mana-mana individu yang tidak berpakaian ihram, tetapi berada di situ disebabkan bertugas seperti anggota keselamatan, dia tidak melaksanakan ibadat haji. 

Satu lagi kesamaan yang jelas ialah pakaian untuk mayat atau jenazah. Biarpun siapa kita di dunia ini, kita tetap akan sama pakaiannya untuk bersemadi di alam kubur.

Ini menunjukkan kepada kita bahawa selepas mati, kita adalah sama. Tidak ada lagi darjat dan kedudukan membezakannya. Yang membezakan kita di sisi Allah ialah amalan yang dibawa sebagai bekal untuk kehidupan akhirat. 

No comments:

Post a Comment