Friday 20 January 2017

Diam cara atasi konflik

 
Berhati-hati dalam berkata-kata kerana takut perkataan diucapkan akan melukakan hati seseorang sepanjang hayat. Tindakan itu diambil di atas dasar, lebih baik diam daripada berkata-kata. Kata bijak pandai, diam itu adalah bijaksana. 

Dalam hal ini kita perlu memahami maksud menjaga kata-kata dan diam itu adalah untuk mengelak keburukan. Tetapi, adakah perlu kita diam untuk mencari kebenaran. 

Tidakkah Rasulullah SAW bersabda supaya menyampai suatu daripada baginda biarpun satu ayat? Bagaimana hendak kita menyampaikan jika kita diam dan terlalu ingin menjaga hati orang lain?

Salah satu menyampaikan dakwah ialah melalui kata-kata. 

Perlu diingatkan, kita mungkin menyesal kerana tidak berkata-kata sesuatu perkara sedangkan kita berpeluang menyatakan pada seseorang. Di akhirat nanti kita akan dipersoalkan oleh orang lain mengapa kita tidak memberitahu kepada sesuatu kepadanya perkara yang sepatutnya dia tahu.

Berkatalah perkara yang benar biarpun pahit. Kerana tidak mahu menyakitkan hati orang, kita sebenarnya telah gagal melaksanakan tanggungjawab menyeru orang melakukan kebaikan dan mengelak perkara buruk.  

Kalau dalam urusan lain kita boleh berurusan dengan seseorang, mengapa tidak dalam perkara mendatangkan kebaikan.

Ambillah kesempatan atau peluang ketika kita masih boleh berkata-kata untuk melakukan kebaikan dan membantu orang lain melalui ucapan atau kata-kata kita.

Tetapi, jika masih memilih untuk berdiam, itulah selemah-lemah iman dalam usaha melakukan dakwah atau ‘mencegah’ perkara buruk. 

Penggunaan lisan atau lidah (perantaraan mulut) dalam kehidupan seharian adalah cara komunikasi sesama manusia paling berkesan. Malah, binatang ‘boleh’ memahami suara manusia.  

Biarpun manusia boleh berbahasa isyarat menggunakan anggota badan seperti tangan, mimik muka dan gerak badan, berkomunikasi cara itu agak terbatas dan lebih sukar.

Justeru, tepat sekali dikatakan lidah merupakan pancaindera terpenting. Sesiapa tidak boleh bercakap atau bisu dikategorikan sebagai cacat atau kekurangan pancaindera. Justeru, individu yang dikurniakan kebolehan bercakap dan sempurna pancaindera lidah, perlu menggunakan anugerah Allah itu dengan sebaik-baiknya. 

Hal ini perlu diberi perhatian, disebabkan tidak menjaga lidah banyak bencana berlaku. Sebab itu senarai dosa melibatkan pancaindera lidah lebih banyak berbanding pancaindera lain. 

Abu Bakar as-Siddiq pernah menunjukkan lidahnya kepada seseorang lantas berkata: “Inilah mendatangkan hal-hal kebinasaan kepadaku.”

Sebab itu pepatah orang tua ada mengingatkan ‘kerana mulut badan binasa’. Justeru bila bercakap perlu berhati-hati agar tidak terkeluar perkataan mendatangkan keburukan. Sepatah perkataan terkeluar, sukar untuk ditarik balik. Maka ingatlah kata-kata ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa”.

Seorang pemikir Islam, Ibnu Thaus mengumpamakan lidahnya seperti binatang buas yang jika dilepas bebas nescaya akan memakan dirinya sendiri. Maka, harus lidah itu dijaga dengan sebaik-baiknya agar tidak terlepas kata yang membinasakan diri sendiri.

Menjaga lidah daripada bercakap memang satu tugas berat. Bidalan ada menyebut bahawa ‘lidah tidak bertulang’, menjelaskan betapa sukar mengawal lidah yang mudah bercakap apa sahaja perkataan.

Sebab itu soal menjaga mulut perlu diberi perhatian oleh setiap umat Islam. Menjaga mulut disamakan seperti menjaga agama. Percakapan menjadi lambang peribadi umat Islam yang mementingkan pekerti mulia. Setiap tutur kata mempunyai nilai.   

Antara perkara yang perlu kita berdiam diri ialah memperkatakan tentang keaiban kawan. Kita tidak wajar memperkatakan keaiban kawan, biarpun ketika berada di hadapannya, maupun ketika ketiadaannya bersama-sama. Cara itu bertujuan mengelak salah faham, mungkin mengakibatkan perbalahan. 

Perpecahan di kalangan umat Islam dapat melemahkan kesatuan dan kekuatan. Keadaan ini dengan mudah digunakan oleh musuh Islam untuk memburuk-burukkan Islam. Mereka dengan mudah menggunakan isu perpecahan umat Islam sebagai menunjukkan kelemahan ajaran Islam. 

Yakinlah, Islam agama kebaikan. Tidak ada satupun ajaran Islam mengajar kepada keburukan. Keburukan dan kelemahan itu dilakukan oleh umat Islam yang sifat imannya masih lemah dan kurang penghayatan kepada ajaran Islam. Ini termasuklah suruhan menjaga mulut yang kurang diambil perhatian oleh individu Islam. 

Menjaga mulut bermakna mengucapkan perkataan yang baik-baik dan mengelak daripada keluar perkataan mendatangkan keburukan. Bagaimanapun, seringkali berlaku ketika bercakap terkeluar perkataan tidak baik dengan tidak sengaja. Keadaan itu memang sukar dielakkan. 

Justeru untuk mengelak terkeluar perkataan tidak baik dengan sengaja ialah diam. Perkara ini ditegaskan oleh Rasulullah melalui sabda bermaksud: “Sesiapa diam, nescaya dia terlepas (daripada bahaya).”  (Hadis riwayat Tarmizi). 

Bagaimanapun, hadis tersebut tidak pula bermakna Rasulullah melarang daripada bercakap. Sebaliknya ia lebih berupa satu peringatan. Orang yang mementingkan nilai baik dalam kehidupan pasti sentiasa berhati-hati setiap kali bercakap.

Untuk mengelak memperkatakan sesuatu perkara buruk ialah menjauhkan diri daripada situasi yang mendorong perkataan-perkataan buruk diucapkan. Contohnya, jauhkan diri daripada mereka yang dikenali sering bercakap perkara-perkara tidak baik. Jika kita bersama-samanya, sudah pasti turut sama terpengaruh mengucapkan perkataan itu.

Tidak ada ruginya kita mengelak diri daripada orang berperangai buruk. Bahkan, jika bersama-sama orang berperangai buruk, perangai itu akan berjangkit kepada kita. 

Individu suka membuka aib individu lain tidak memilih siapa yang menjadi mangsanya. Apa gunanya berkawan dengan orang suka membuka aib orang lain, yang kemungkinan kita juga bakal jadi mangsanya. Kawan yang baik berusaha menutup aib kita, bukan sebaliknya.

Sudah kebiasaan apabila berada dalam kumpulan lebih daripada seorang, maka terkeluar percakapan yang diselang seli dengan kata-kata tidak baik. Malah banyak perkataan yang bermaksud buruk diucapkan secara berbisik-bisik. Tujuan berbisik-bisik itu dirasakan ‘terbaik’ untuk mengelak perkara merebak didengari oleh ramai orang.

Sebenarnya biarpun dalam keadaan berbisik-bisik, ia tetap ditegah dan mendatangkan mudarat. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, apabila kamu berbisik-bisik sesama sendiri, maka janganlah kamu berbisik-bisik untuk melakukan dosa dan pencerobohan serta perbuatan derhaka kepada Rasulullah. Hendaklah kamu bertakwa kepada Allah, yang kepada-Nya kamu kelak bakal dihimpunkan.” (Surah al-Mujaadalah, ayat 9).

Oleh itu cara terbaik mengelak diri daripada melakukan dosa melibatkan lidah ialah dengan lebih mengamalkan sikap berdiam diri. Tindakan itu mungkin dianggap biadab, tetapi itu lebih baik daripada mendapat kemurkaan Allah.  

No comments:

Post a Comment