Sunday 15 January 2017

Cara meningkatkan motivasi kerja

Organisasi perlu berusaha meningkat tahap motivasi pekerja agar berupaya menghasilkan sesuatu tahap yang lebih baik. Antara cadangan yang boleh dilakukan untuk meningkatkan motivasi pekerja ialah:  

Ganjaran kecemerlangan.  Biasanya merujuk kepada pemberian ganjaran selain daripada gaji atau upah yang biasa diterima oleh kebanyakan pekerja. Cara ini telah lama dilaksanakan di luar negara atau di organisasi besar. Ia berkesan untuk menaikkan motivasi pekerja untuk melahirkan satu pencapaian hasil kerja yang lebih baik berbanding biasa.

Sebagai contoh, pekerja paling produktif diberikan bonus, peluang melancong, cuti khas dan sebagainya. Mereka diraikan dalam satu majlis khas dan gambar dipamerkan di tempat khas. Cara ini diharapkan dapat memberi motivasi kepada pekerja lain agar turut bercita-cita untuk mendapat pengiktirafan yang sama pada masa depan. 

Mengikut penciptaan atau penghasilan baru. Di kalangan organisasi yang melibatkan penciptaan atau penghasilan baru, pekerja yang berjaya menghasilkan produk itu diiktiraf dengan pelbagai ganjaran. Inilah budaya yang kerap membawa kesan positif untuk menaikkan motivasi pekerja. Mereka bersedia melakukan sesuatu yang luar biasa untuk menghasilkan sesuatu yang luar biasa. 

Maka, amat tepat dan patut pencapai itu diberi ganjaran sewajarnya. Penghasilan itu mungkin akan memberi nilai tambah dan keuntungan yang besar kepada organiasai, dan mungkin juga penentu kepada jatuh bangun organisasi.

Sudah menjadi sikap manusia mudah terdorong untuk berusaha lebih jika dijanjikan dengan sesuatu ganjaran di atas kecemerlangan yang dicapai. Jadi, organisasi tidak harus 'kedekut' atau 'berkira sangat' untuk memberi ganjaran kepada pekerja yang menunjukkan kecemerlangan luar biasa.     

Semua berpeluang terima anugerah. Satu lagi perkara yang perlu diambil kira ialah anugerah itu tidak dimonopoli oleh sekelompok pekerja saja. Semua pekerja mempunyai peranan dan sumbangan masing-masing. Sebab itu, kategori anugerah perlu dibuat agar tidak hanya pekerja dari tugas tertentu saja anugerah. 

Contohnya, pekerja bawahan juga memberi sumbangan besar kepada syarikat berdasarkan kepada keperluan tugas mereka di organisasi. Seorang penyapu sampah di pejabat juga memberi sumbangan besar kerana membantu menyediakan persekitaran kerja yang bersih dan selesa bagi membolehkan pekerja lain melaksanakan tugas dengan selesa.

Jaminan kerja. Satu perkara yang memberi motivasi kepada pekerja ialah jaminan mereka dapat terus bekerja dan peluang untuk meningkat dalam kerjaya. Biarpun terus bekerja dan kenaikan pangkat dua perkara berbeza, kedua-duanya boleh dikategorikan sebagai satu jaminan kerjaya.

Tidak dinafikan ada pekerja yang melakukan sesuatu tugas sebagai batu loncatan mencari peluang pekerjaan lebih baik, tetapi mereka juga mengharapkan dapat bertugas sehingga tempoh masa yang diharapkan. Ini juga satu jaminan. Kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan pada masa yang tidak sesuai adalah satu malapetaka kepada setiap pekerja.

Maka itu, organisasi perlu menunjukkan 'bukti; bahawa setiap pekerja diberi jaminan pekerjaan. Contoh jaminan ialah hal berkaitan perancanan organisasi perlu dijelaskan kepada pekerja, melainkan hal yang sulit. 

Sikap sesetengah organisasi yang terlalu menyembunyikan urusan organisasi memberi kesan negatif kepada pekerja kerana mereka merasakan seperti 'ketidak pastian' kerjaya mereka.                                          

Contohnya, jika organisasi merancang untuk membuka cawangan atau memperbesarkan operasi, perkara ini dapat memberi motivasi kepada pekerja bahawa tenaga mereka masih diperlukan dan secara tidak langsung juga membuka peluang untuk mereka meningkat dalam kerjaya. 

Organisasi yang berkembang bermakna berada dalam keadaan teguh dan mampu terus mengekalkan pekerja sedia ada selain mengambil pekerja baru. Situasi atau gambaran itu memberi motivasi kepada pekerja bahawa mereka ada jaminan kerjaya di organisasi itu.

Latihan.  Aktiviti organisasi berkembang selari dengan perubahan masa. Paling asas dapat dirasakan, jika dahulu pekerja pekeranian hanya perlu mahir menggunakan mesin taip. Namun, sekarang ini mesin taip sudah tidak digunakan di kebanyakan pejabat, sebaliknya digantikan dengan penggunaan komputer. 

Jadi, organisasi wajar menawarkan peluang kepada pekerja untuk mengikuti latihan sepatutnya seiring dengan keperluan semasa. Ini memberi motivasi kepada pekerja bahawa tugas mereka tidak akan digantikan oleh pekerja baru yang mahir komputer. Mereka rasa selamat dan boleh mengikut perubahan semasa yang berlaku dalam organisasi. 

Pelaburan yang dikeluarkan oleh organisasi untuk memberi peluang latihan kepada pekerja sebenarnya memberi keuntungan besar kepada organisasi sendiri. Peningkatan kemahiran pekerja bermakna produktiviti mereka meningkat, memberi kebaikan dan keuntungan kepada organisasi sendiri. 

Pekerja yang mendapat peluang mengikuti latihan merasakan tenaga mereka masih diperlukan oleh organisasi. Maka keadaan itu tentunya memberi motivasi yang tingggi kepada mereka. 

Pada masa yang sama sudah tentu mereka ingin membalas peluang yang diberikan oleh syarikat itu dengan melakukan tugas dengan lebih bersungguh-sunggu dan membuktikan organisasi mengambil langkah bijak memberi mereka peluang untuk mengikuti kursus.

Konsep perkongsian untung. Satu pendekatan yang dapat meningkatkan motivasi pekerja. Mereka merasakan organisasi itu juga milik mereka disebabkan berpeluang mendapat untung yang biasanya dinikmati oleh pemilik. 

Perasaan itu mendorong pekerja melakukan yang terbaik dalam usaha untuk membantu organisasi mendapat keuntungan lebih yang juga bermakna mereka juga berpeluang mendapat untung yang lebih.

Tidak rugi organisasi menawarkan perkongsian untung kepada pekerja. Perlu diingatkan bahawa keuntungan yang dinikmati oleh organisasi juga adalah hasil sumbangan atau usaha dilakukan oleh pekerja. Maka, pekerja juga berhak mendapat apa yang mereka sumbangkan selain upah atau gaji yang telah ditetapkan.

Konsep perkongsian untung memberi satu semangat tanggungjawab bersama untuk membantu organisasi mencipta keuntungan lebih baik. Perkara ini dapat dicapai dengan semangat dan motivasi bersama yang digarap sepanjang masa. 

Organisasi yang mengamalkan motivasi tinggi akan mampu mempengaruhi sesetengah pekerja yang kurang bermotivasi. Pekerja yang gagal menunjukkan prestasi seperti yang ditunjukkan oleh kebanyakan pekerja lain, akan terdorong untuk turut laku kebaikan yang sama. 

Bahkan jika terus gagal, mereka mungkin akan dibuang kerja atau akan berhenti secara sukarela apabila tidak mampu untuk mengikuti budaya cemerlang yang diamalkan oleh organisasi itu.

Jelas sekali, konsep perkongsian untung memberi satu motivasi yang tinggi kepada pekerja kerana meraka yakin dan percaya bahaya apa saja yang mereka lakukan akan turut memberi keuntungan kepada mereka.

No comments:

Post a Comment