Sunday 15 January 2017

Cara bina komunikasi berkesan

Komunikasi melibatkan proses menghantar dan menerima maklumat. Proses ini berlaku dalam semua aktiviti kehidupan yang mana manusia perlu berhubung untuk memenuhi keperluan kehidupan dari segi sosial, ekonomi, keagamaan, kemasyarakatan dan sebagainya.

Tanpa komunikasi manusia akan hidup 'keseorangan' umpama tinggal seorang diri di sebuah pulau. Mereka tidak dapat memanfaatkan sumber atau kebaikan yang dimiliki pihak lain. Begitu juga, mereka tidak dapat berkongsi apa-apa yang dimiliki untuk kebaikan orang lain.

S.Bernard Rosenblatt dalam bukunya 'Communication in Business' (1983) mendefinisikan komunikasi sebagai pertukaran idea, pendapat, maklumat, perhubungan dan sebagainya yang mempunyai tujuan dan dipersembahkan secara peribadi atau tidak peribadi melalui simbol atau isyarat yang bertujuan untuk mencapai matlamat organisasi.

Berdasarkan definisi itu dapat kita fahami bahawa komunikasi melibatkan pertukaran idea, pendapat atau maklumat. Pertukaran bermaksud ada pihak memberi dan satu pihak lagi menerimanya. Dalam proses memberi dan menerima ini faktor penting ialah memahami apa yang diperlukan.

Faktor memahami ini penting kerana salah faham atau kesilapan menghantar maklumat akan menyebabkan komunikasi gagal. Contohnya, Ali memberitahu Ahmad mengenai cara menanak nasi, sedangkan Ahmad pula sebenarnya ingin mengetahui cara memasak bubur. Kegagalan Ali memahami apa yang diingini oleh Ahmad sebenarnya satu bentuk kegagalan komunikasi. 

Kegagalan komunikasi menyebabkan tidak mencapai matlamat yang diharapkan. Bahkan, kegagalan komunikasi boleh menimbulkan kesan buruk atau kerugian besar kepada individu dan organisasi.  

Contohnya, bayangkan jika pil perancang keluarga yang ingin dibeli di farmasi, sebaliknya pil kesuburan pula yang diberikan. Kesannya tentu berlawanan dengan apa yang diharapkan.

Sebab itu amat penting dua pihak berkomunikasi perlu perlu bersedia untuk memasuki fasal komunikasi. Jika salah satu pihak belum bersedia, elok komunikasi itu ditangguhkan. Ini bagi memastikan komunikasi itu benar-benar berlaku dengan baik.  

Contohnya, kita tidak patut berbincang dengan orang yang sedang marah, tidak sihat atau sedang mengalami tekanan perasaan. Jika sekiranya fasal perbincangan diteruskan juga dalam keadaan itu, ia tidak akan mencapai hasil seperti diharapkan.

Komunikasi yang baik juga bergantung kepada hasil daripada komunikasi itu. Atau disebut mencapai matlamatnya. Kita ketahui rata-rata individu mahir bercakap atau mampu menyampaikan maklumat yang ingin disampaikan. 

Namun, tidak semua komunikasi berjaya mencapai matlamatnya. Perkara ini memerlukan penyampainya memahami situasi dan orang yang ingin disampaikan maklumat atau diajak berbincang.  

Kemahiran ini amat penting terutama dalam mempengaruhi individu lain membuat keputusan seperti kita harapkan. Contohnya, jurujual yang mempromosikan sesuatu barang dianggap berjaya apabila pelanggan membeli barang yang dipromosikan.

No comments:

Post a Comment