Sunday 15 January 2017

Cara temu bual biografi sejarah lisan

Sejarah lisan adalah satu kaedah pengumpulan sumber-sember sejarah yang masih belum dikaji dan dirakam semula pada zaman lampau serta kurang mempunyai sumber-sumber yang berbentuk catatan.

Tidak dinafikan kepentingan sejarah lisan sebagai sumber sejarah. Di negara maju, sejarah lisan terutama melibatkan sesuatu peristiwa dan tokoh semakin mendapat perhatian. 

Penulisan buku catatan peristiwa dijadikan sebagai rujukan sejarah. Sebagai contohnya, catatan sejarah Perang Dunia Kedua banyak diambil dari catatan pengalaman beberapa orang panglima perang dari negara-negara yang terlibat, selain buku log di markas-markas utama tentera. 

Buku The War in Malaya tulisan Leftenan Jeneral AE Percival antara sumber sejarah penting mengenai serangan Jepun ke atas Tanah Melayu dan sepanjang zaman penjajahan Jepun. Jeneral Percival terlibat secara langsung dalam peperangan itu dan mengumpul sejarah lisan melalui temuramah dengan saksi-saksi yang terlibat.

Satu lagi sumber sejarah Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu diperoleh dari sumber Jepun. Tulisan Kolonel Masanobu Tsuji antara paling penting dan menjadi rujukan oleh pengkaji sejarah perang.

Dalam hal yang sama, Tun Dr. Mahathir Mohammed pernah menyarankan agar lebih banyak buku biografi mengenai tokoh-tokoh negara ditulis. Penulisan itu sama ada diusahakan sendiri oleh tokoh berkenaan atau penulis lain.

Penulisan buku biografi sepatutnya diusahakan semasa tokoh berkenaan masih hidup agar dapatan maklumat yang diperoleh lebih tepat. Selain temuramah dengan tokoh itu sendiri, maklumat juga diperoleh daripada individu lain yang ada kaitan atau melalui peristiwa yang sama dengan tokoh itu.

Biografi adalah rakaman sejarah. Sejarah mesti tepat dan bukan rekaan. Justeru itu amat penting pengumpulan maklumat berkaitan tokoh mesti dibuat secara cermat dan teliti. 

Dengan kata lain, maklumat yang diperoleh dari tokoh itu sendiri dianggap lebih tetap dan jelas. Bagaimanapun, pakar sejarah tidak boleh mudah menerima bulat-bulat apa yang diucapkan oleh tokoh itu. Pentafsiran terhadap sumber tetap dilakukan, termasuklah dengan mendapat maklumat perkara sama dengan individu lain.

Kita biasa membaca biografi tokoh terkenal negara seperti Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abd Razak Hussein dan sebagainya. Banyak sejarah mengenai hidup mereka ditulis dan disimpan sebagai bahan sejarah.

Kisah Datuk Onn tentunya amat sinonim dengan penubuhan UMNO dan usaha mendapatkan kemerdekaan. Begitu juga dengan Tunku Abdul Rahman. Jasanya dikenang dan diulang ingatan setiap kali negara menyambut ulang tahun kemerdekaan. 

Namun amat jarang sekali kita dapat membaca biografi tokoh tempatan. Bahkan, mungkin tidak ada langsung buku atau catatan sejarah mengenai tokoh-tokoh tempatan di sesuatu kampung atau tempat.

Biarpun jasa dan pengorbanan mereka tidak sehebat tokoh utama negera, kita tidak seharusnya memperkecilkan sumbangan tokoh tempatan dalam bidang masing-masing.

MENCARI TOKOH TEMPATAN

Saya telah berusaha mencari tokoh tempatan untuk dijadikan objek dalam proses mengumpul sejarah lisan. Kriteria pemilihan tokoh adalah berdasarkan sumbangan yang diberikan kepada masayarakat setempat. Tokoh itu tidak semestinya tokoh politik, ahli perniagaan terkenal atau mereka yang telah terkenal hebat. 

Pada awalnya saya tidak menumpukan kepada jantina tokoh yang bakal dijadikan temuramah. Namun, setelah mengambilkira, tokoh wanita jarang diketengahkan, maka saya mengambil keputusan untuk mencari tokoh di kalangan wanita. Tidak dinafikan, kebanyakan tokoh yang diketengahkan dalam sejarah adalah lelaki. Hal ini disebabkan peranan lelaki lebih nampak kerana banyak perkara dilakukan oleh lelaki. Namun, kita lupa sumbangan besar wanita di sebalik kejayaan seorang tokoh lelaki.

PERINGKAT PERSEDIAAN MENCARI TOKOH

Saya menemui beberapa orang berpengaruh di Kampung Padang Bongor seperti Penghulu Khairuddin Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Kamaruzaman Ismail, Abdullah Mahmood, 85, Abdul Rahman Abdullah, 79 dan bidan kampung Sepiah Dollah.

Perjumpaan dengan individu berpengaruh dan lama ini bagi memudahkan untuk mengenalpasti individu yang layak digelar tokoh untuk tujuan temuramah mengumpul sejarah lisan ini.

Hasil kerjasama mereka, saya diperkenalkan dengan seorang yang istimewa dan selayaknya menjadi tokoh untuk temuramah dan pengumpulan sejarah lisan yang dilakukan. Beliau yang dimaksudkan ialah Fatimah Yussof, penerima anugerah Tokoh Ibu Solehah Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2005.

Pemilihan Fatimah untuk menulis sejarah dirinya dianggap sesuai memandangkan umurnya tidak terlalu tua, iaitu 60 tahun. Ini tidak akan mengganggu proses temuramah kerana daya ingatan, pendengan dan penglihatannya masih baik. 

Pemilihan Fatimah sebagai informan juga tepat kerana akan memperkatakan tentang dirinya sendiri, iaitu riwayat dan kejayaan yang dicapai olehnya. Kajian lanjut mengenainya juga boleh dilakukan melalui individu lain yang berada di sekelilingnya. Banyak fakta sokongan dapat diperoleh yang masih wujud berkaitan dirinya.

Saya dibawa bertemu dengan Fatimah di rumahnya dan menyatakan hasrat ingin menemuramahnya sebagai sumber sejarah lisan. Beliau menyatakan kesanggupan untuk ditemuramah, tetapi menetapkan satu tarikh dan masa lain yang sesuai.

Penangguhan itu memberi ruang masa yang lebih kepada saya untuk mendapat beberapa maklumat awal mengenai tokoh itu dan anugerah yang diterimanya. Majlis anugerah itu diselia oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Negeri Kelantan dan telah disempurnakan oleh Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

TEKNIK PENGUMPULAN

Saya mengambil keputusan untuk mengumpul maklumat melalui rakaman percakapan dan tulisan tangan, selain merakam gambar tokoh semasa temuramah. Sebelum sesi menemuramah, saya telah menyediakan rangka soalan yang bakal ditanya dan maklumat yang perlu dikumpul. Antara perkara yang akan ditekankan ialah sejarah hidup, sumbangan kepada masyarakat, anugerah yang diperoleh dan kehidupan terkini.

Pada tarikh dan masa yang dijanjikan, saya ke rumah Fatimah untuk tujuan mengumpul bahan sejarah lisan mengenainya. 

Sebelum proses temuramah diadakan, saya menyakinkan informan bahawa tujuan kajian itu adalah untuk kebaikan. Hasil kajiselidik itu akan menjadi bahan sejarah yang memberi kebaikan kepada semua.

Pengalaman hidupnya tentu dapat dijadikan contoh kepada individu lain untuk melakukan kebaikan.

Perkara pokok yang diharapkan ialah tidak ada unsur kerahsiaan dalam penyampaian maklumat, melainkan melibatkan isu-isu yang sensitif atau difikirkan tidak mempunyai kaitan dengan matlamat temuramah itu.

Kaedah temuramah ialah menggunakan teknik kewartawanan. Soalan-soalan yang kemukakan berbentuk mencari maklumat secara terus. Kaedah soalan menumpukan kepada siapa, apa, bila, di mana, bagaimana dan mengapa digunakan sepenuhnya. 

Teknik layan dengar dan menunjukkan minat terhadap apa yang diperkatakan oleh informan digunakan untuk menimbulkan semangat informan bercerita. Pendekatan mencelah dan menimbulkan unsur humor digunakan agar temuramah itu tidak membosankan atau informan merasakan dirinya bercakap seorang diri.

Namun, unsur membayangkan kedudukan diri seperti informan untuk membina persamaan pengalaman yang pernah dilalui oleh informan tidak dapat dizahirkan. Pengalaman informan cukup istimewa dan tidak mampu “dilakonkan” oleh orang lain. Itu satu pengalaman sejarah yang tersendiri.

Proses temuramah berlangsung selama satu jam. Saya menamakan temuramah setelah mendapat segala maklumat yang diperlukan telah diperoleh. Namun, saya menyatakan akan menghubungi semula informan jika terdapat maklumat tambahan dirasakan diperlukan ketika proses menulis sejarah itu nanti.

Sepanjang temuramah, Fatimah turut menunjukkan gambar-gambar semasa menerima Anugerah Tokoh Ibu Solehah Negeri Kelantan 2005, sijil dan trofi. Turut ditunjukkan juga ialah keratan-keratan akhbar yang melaporkan mengenai majlis tersebut dan rencana mengenai beliau yang disiarkan di beberapa akhbar dan majalah.

Saya juga mendapat kerjasama daripada pemimpin tempatan yang turut menceritakan mengenai Fatimah dan keluarganya. Mereka memberikan maklumat berdasarkan apa yang diketahui sepanjang mengenali informan. Pemimpin tempatan itu sendiri menjadi sebahagian informan dalam pengumpulan sejarah lisan ini. 

Namun, soalan-soalan yang dikemukanan terhadap informan tambahan ini lebih kepada untuk melengkapkan kajian dan melihat sejauhmana tokoh ini mendapat perhatian masyarakat yang dengan sendiri dapat menggambarkan bahawa tokoh ini adalah seorang tokoh.

MEMPROSES  RAKAMAN

Rakaman suara dan catatan tangan sepanjang temuramah itu dijadikan bahan untuk proses seterusnya untuk melengkapkan sejarah lisan. Proses ini akhirnya akan menghasilkan satu traskrip.

Gambar-gambar semasa menerima Anugerah Tokoh Ibu Solehah Negeri Kelantan 2005, sijil dan trofi juga digunakan untuk membantu melengkapkan transkrip. Turut membantu ialah keratan-keratan akhbar yang melaporkan mengenai majlis tersebut dan rencana mengenai beliau yang disiarkan di beberapa akhbar dan majalah.

Proses menyediakan traskrip ini tidak berdepan masalah kerana proses temuramah dijalankan dengan baik. Suara informan jelas dan mengunakan dialek yang mudah difahami. Susuan ayat yang diucapkan juga teratur dan menyampaikan maksud yang jelas. Tidak ada ayat atau perkataan yang sukar diterjemah maksudnya. 

Selain itu, mutu rakaman audio juga jelas yang secara langsung memudahkan proses menghasilkan transkrip, selain dibantu catatan tulisan tangan menjelaskan apa yang berlaku. 

Sepanjang tugas menyediakan transkrip juga tidak berdepan masalah kerana tidak banyak proses pengumpulan bahan yang melibatkan infroman berbeza, masa, tarikh dan tempat. 

Transkrip yang disiapkan diberi tajuk FATIMAH TOKOH IBU SOLEHAH 2005. Selain itu dicatakan juga nama penemuramah, informan, masa, tarikh, tempat dan tahap kerahsiaan. 

Transkrip itu telah dilabelkan sebagai terbuka dan boleh disebarkan kepada orang ramai.  

Bagaimanapun, maklumat tertentu yang diperoleh dan tidak dimasukkan dalam transkrip dianggap sebagai rahsia yang tertakluk sebagai ’perjanjian kerahsiaan’.

TRANSKRIP FATIMAH TOKOH IBU SOLEHAH 2005

Kejayaan ibu tunggal membesarkan dan mendidik seramai 16 orang anak sehingga berjaya adalah satu kisah yang amat menarik. Rencana hari ini akan memperkenalkan seorang ibu yang amat istimewa iaitu Fatimah Yusuf. Fatimah, kini berumur 60 tahun (2010) berasal Kampung Tanjung, Bachok, Kelantan adalah Tokoh Ibu Solehah 2005. 

Majlis penganugerahkan itu telah disempurnakan oleh Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dalam satu majlis berlangsung di Balai Islam. Pihak mengendalikan majlis itu adalah Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Negeri Kelantan sempena sambutan Hari Ibu 2005.

Antara faktor yang membawa Fatimah dianugerahkan gelaran itu ialah berdasarkan sumbangan saya kepada masyarakat, khususnya dalam mendidik anak-anak.

Kejayaan Fatimah sebagai ibu tunggal yang berjaya mendidik anak-anak sehingga berjaya melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi dan berjaya dalam hidup adalah satu yang hebat dan jarang ditemui.  Suaminya, Ismail Abdullah meninggal dunia kira-kira 10 tahun lalu, selepas mengindap penyakit lumpuh kira-kira 10 tahun.

Ketika majlis penganugerahan itu (2005), lapan orang anaknya telah tamat pengajian tinggi peringkat ijazah dan diploma. Dua orang bertugas sebagai guru siswazah, masing-masing seorang pegawai undang-undang, pensyarah, pengurus agensi insurans, penolong pegawai belia dan usahawan. Manakala yang lain pula ketika itu masing belajar.

Kini (2014) semua anak Fatimah telah berjaya tamat belajar peringkat tinggi atau masih di universiti.    

Fatimah menjelaskan hanya mereka yang bergelar ibu tahu erti perit gentir melahirkan dan membesarkan seorang anak. Bayangkan pula pengalaman melahirkan dan membesarkan 16 orang anak.  

Terlalu banyak rintangan yang terpaksa dihadapi. Tambahan pula keluarganya bukan dari keluarga berada. Rezeki yang diperoleh sekadar cukup untuk makan dan pakai ala kadar saja. 

Suami Fatimah (Ismail Abdullah - sudah meninggal pada tahun 2001) hanya petani selain menjadi imam mukim. Pendapatannya tidak menentu. Elaun imam pada ketika itu amat kecil. Sedangkan Fatimah sendiri hanya menjadi suri rumah sepenuh masa.  

Biarpun beliau memang ada niat hendak bekerja membantu suami, tetapi niat itu terbantut kerana perlu menguruskan anak-anak yang ramai. 

Biarpun melalui kehidupan yang sukar, Fatimah tidak sekali-kali terfikir menghadkan bilangan anak yang bakal dilahirkan dan jauh sekali mengambil langkah merancang keluarga. Fatimah berpegang kepada falsafah bahawa anak-anak adalah anugerah Allah dan harta yang tidak ternilai.
.
Bahkan, Fatimah rasa bertuah mempunyai anak yang ramai. Peluang dan pengalaman seperti ini jarang dialami ibu-ibu lain. Mungkin seorang dalam seribu pun sukar nak berjumpa.

Fatimah bertemu jodoh seawal usia 16 tahun. Ketika usia baru menginjak 17 tahun, beliau telah bergelar ibu kepada seorang anak lelaki. 

Belumpun anak pertama boleh berjalan, beliau telah disahkan mengandungkan anak kedua. Perbezaan umur anak sulung dengan anak kedua hanya 18 bulan. Manakala jarak umur anak kedua dengan akan ketiga hanya kira-kira 11 bulan, iaitu jarak kelahiran paling rapat antara 16 anak yang dilahirkan. 

Biarpun dihimpit kemiskinan dan kepayahan mendidik anak, setiap kali mengetahui diri hamil lagi, Fatimah tetap rasa bersyukur dan tidak serik-serik berdepan keperitan ketika melahirkan anak. Itulah kekuatan yang membolehkan Fatimah melahirkan 16 orang anak.    

Menariknya daripada 16 orang anak itu 11 adalah lelaki dan lima orang perempuan yang mana susunannya anak pertama hingga ke 11 adalah lelaki dan anak ke 12 hingga ke 16 adalah perempuan.

Fatimah dan suami menggunakan pendekatan mementingkan pendidikan anak-anak. Itulah harta paling bernilai untuk setiap anak. Fatimah sentiasa ingat nasihat suami kepada anak-anak: “Ayah tidak mampu meninggalkan harta pusaka kepada anak-anak. Apa yang ada sekarang sekadar cukup untuk keperluan asas dan urusan pelajaran kamu semua. Tetapi, kamu sendiri boleh mencari harta dan kebahagiaan hidup jika mempunyai ilmu.”   

Setiap anak dipastikan mendapat pendidikan agama yang sempurna. Sebagai imam mukim, suami Fatimah tidak berkompromi mengenai didikan agama dan adab pekerti yang baik di dalam diri setiap anak.  

Pun begitu, Fatimah tidak menggunakan kekerasan untuk memaksa anak-anak belajar, Kaedah asuhan dan kesedaran peri pentingnya pendidikan lebih diamalkan. Anak-anak diingatkan nasib apabila dewasa jika tidak berpelajaran.

Satu lagi perkara menarik mengenai keluarga Fatimah ialah kos menyara kehidupan keluarga. Berpegang kepada kepercayaan rezeki Allah itu Maha Luas, Fatimah tidak menghadapi laluan sukar menanggung perbelanjaan anak yang ramai, terutama kos pendidikan di pusat pengajian tinggi yang pastinya memerlukan kos yang mahal.

Sebenarnya, kos perbelanjaan pendidikan anak-anak Fatimah  diusahakan oleh mereka sendiri melalui kerja sambilan, sumbangan penderma (bukan mengemis) dan bantuan biasiswa dari kerajaan. Fatimah tidak pernah berhutang atau bergolak gadai (memang pun harta tidak ada) untuk menampung pelajaran anak-anak.

Ketika ibu bapa lain (yang miskin dan sederhana) pening kepala apabila ada anak mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi, Fatimah tidak begitu risau mengenainya. Anak-anaknya sendiri dari awal lagi telah membuat persiapan kewangan. Anak-anak diajar berdikari sejak kecil lagi. 

Setelah anak-anaknya berjaya, Fatimah tidak ada perancangan khusus. Cukuplah melihat anak-anak berjaya. Itulah impian dan harapan semua ibu bapa. Fatimah sedang melalui detik ini. Beliau rasa amat bersyukur. 

Namun, di hatinya sedikit terkilan kerana tidak dapat berkongsinya bersama suami. Sebenarnya, biarpun suami kembali ke rahmatullah pada tahun 2001 akibat penyakit lumpuh, dia sudah tidak dapat bekerja sejak 10 tahun sebelum itu. Itulah cabaran yang besar terpaksa Fatimah dan anak-anak hadapi.  

Biarpun ada ayah, mereka terpaksa berdikari kerana ayah tidak mampu bekerja. Alhamdulillah, keadaan itu tidak mematahkan semangat mereka untuk terus belajar dan mencapai cita-cita masing-masing.  

Fatimah menasihatkan kepada ibu bapa agar memberi keutaman didikan akhlak dan agama kepada anak. Itu adalah asas dan perkara utama yang akan menentukan 'mutu' kehidupan anak pada masa depan.  

Anak yang baik (taat kepada Allah) sudah pasti tidak akan melakukan perkara yang mendukacitakan ibu bapa. Mereka akan sentiasa menghormati ibu bapa. Mereka akan belajar bersungguh-sungguh kerana tahu ajaran Islam menyuruh umatnya agar menuntut ilmu. 

Tegas Fatimah, jika anak tidak mempunyai akhlak yang baik, inilah masalahnya berlaku anak tidak menghormati ibu bapa. Biarpun mereka berjaya dalam pelajaran dan kerjaya yang diceburi, hakikatnya mereka gagal dalam menjadi anak yang baik.  

Sebab itu, ada anak yang berjaya dalam hidup, tetapi membiarkan ibu bapa hidup dalam melarat dan terpaksa mengharap bantuan daripada orang lain. 

TAFSIRAN

Berdasarkan temuramah dengan Fatimah, artikel berkaitan, pemerhatian dan fakta sokogan daripada pemimpin tempatan, saya dapat membuat tafsiran bahawa sumber sejarah itu tulen dan boleh dipercayai.  

Dari segi kebolehpercayaan kenyataan Fatimah, ia cukup menyakinkan memandangkan beliau berpegang kepada cara hidup yang baik dan terbukti dengan kejayaan anak-anaknya. Laporan akhbar, sijil dan tropi yang ditunjukkan juga adalah bukti nyata mengenai

RUMUSAN

Prose penulisan sejarah lisan perlu diperbanyakkan. Tumpuan penulisan tidak seharusnya hanya melibatkan tokoh-tokoh terkenal sahaja. Penulisan sejarah lisan melibatkan tokoh tempatan juga perlu diberi keutamaan. Tokoh ini juga ada sumbangan atau keistimewaan tersendiri yang wajar dijadikan panduan untuk semua.

Proses penulisan sejarah tokoh-tokoh tempatan ini wajar dilakukan ketika hayat mereka. Ini memudahkan proses pengumpulan bahan sejarah dan tidak melibatkan tugas yang rumit. Tokoh itu sendiri dapat membantu menyediakan rujukan atau bahan yang dapat melengkapkan proses penulisan sejarah itu.

Usaha Kementerian Pelajaran memperkenalkan mata pelajaran Kajian Tempatan yang mengkehendaki pelajar menyediakan satu laporan atau tulisan mengenai tokoh tempatan adalah satu usaha menghidupkan budaya menulis sejarah hidup tokoh. 

Sejarah hidup tokoh, tidak kira dalam apa bidang sekalipun sudah tentu ada pengajaran yang boleh diikuti. Sejarah hidup mereka menjadi khazanah bangsa dan negara. Ia perlu dipelihara dan disimpan dalam bentuk sejarah lengkap.

No comments:

Post a Comment