Sunday 15 January 2017

Perbeza al-Quran dengan kitab samawi lain

Terdapat empat kitab samawi. Kata “samawi” berasal dari bahasa Arab yang ertinya adalah langit. Yang dimaksud dengan kitab samawi adalah kitab-kitab yang ditulis berdasarkan wahyu daripada Allah SWT kepada para Nabi dan Rasul melalui malaikat Jibril. 

Empat kitab tersebut ialah Ql-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad, Taurat diturunkan kepada Nabi Musa, Zabur diturunkan kepada Nabi Daud dan Injil kepada Nabi Isa.  

Kitab-kitab ini diturunkan Allah SWT kepada nabi-nabi yang berkenaan dan mempunyai pertalian antara satu sama lain, termasuk dengan al-Quran. Kesemua kandungan kitab samawi mengajak manusia beriman kepada Allah SWT.

Kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa semasa baginda berada di puncak Gunung Thursina. Isi utama kitab ini adalah '10 hukum atau firman' yang ditetapkan untuk dipatuhi oleh kaum Nabi Musa. Kitab Taurat berasal dari bahasa Ibrani yang bermaksud syariat atau hukum.

Antara hukum itu adalah berkaitan dengan mengakui keesaan Allah, menghormati ibu bapa, larangan membunuh sesama manusia, tegahan mencuri dan menjauhkan zina.

Penurunan kitab Taurat kepada Nabi Musa dijelaskan dalam al-Quran ayat 87 surah al-Baqarah: "Dan sesungguhnya Kami telah mendatangkan al-Kitab (Taurat) kepada Musa."- (Surah al-Baqarah, ayat 87).

Manakala kitab Zabur pula adalah kumpulan firman Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Daud: "Dan Tuhanmu lebih tahu tentang keadaan penghuni langit dan bumi. Dan Kami telah menganugerahkan kepada nabi-nabi, yang satu lebih besar daripada yang lain, sebagaimana Kami telah menganugerahkan kitab Zabur kepada Daud." - (Surah al-Isra, ayat 55).

Kandungan Zabur mengandungi mazmur (nyanyian pujian kepada Allah) yang mengisahkan nikmat Ilahi yang melimpah ruah. Kitab ini tidak mengandungi hukum atau syariat, kerana kaum itu diperintahkan mengikuti syariat Nabi Musa.

Tidak seperti al-Quran, kitab samawi lain tidak langkap sepenuhnya untuk panduan hidup manusia sepanjang zaman. Ia hanya untuk kegunaan pada masa ia diturunkan dan bersesuaian dengan keadaan semasa.  

Contohnya, Zabur diturunkan pada zaman kegemilangan Bani Israil di Kanaan sekitar 400 tahun selepas meninggalkan Mesir. Maka kandungannya berbentuk pujian kepada Allah bersesuaian dengan suasananya.

Sedangkan al-Quran kitab agung yang lengkap memenuhi keperluan hidup manusia sepanjang zaman. Maka, selepas turunnya al-Quran, penggunaan kitab terdahulu dimansuhkan kerana yang bersifat terbatas kepada kawasan atau bangsa tertentu sahaja.

Tambahan pula, kandungan kitab-kitab terdahulu sudah banyak yang diseleweng atau diubah kandungannya oleh pihak yang tidak bertanggunjawab.

Sesungguhnya, al-Quran kitab agung yang tiada tandingan. Sejak diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, al-Quran terpelihara keasliannya dan terselamat pengajarannya daripada sebarang perubahan, pindahan dan tokok tambah.  

Biarpun ada pihak cuba melakukan khianat terhadap al-Quran, namun usaha itu tidak berjaya. Pindaan dan tokok tambah yang dilakukan segera disedari oleh umat Islam dan segera menghapuskan kepalsuan yang cuba dicipta oleh musuh Islam itu.

3 comments: