Sunday 15 January 2017

Cara pilih nama anak

Pemilihan nama anak tidak wajar dipandang mudah kerana ia mungkin memberi kesan yang bertentangan dengan kehendak Islam. Oleh itu, salah satu hak anak yang harus dipenuhi oleh orang tuanya ialah memberikan nama yang baik. Abu Hasan meriwayatkan bahawa suatu hari seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: ‘‘Ya Rasulullah apakah hak anakku terhadapku?” 
Jawab Rasulullah: ‘‘Anak berhak mendapat nama yang baik kerana nama yang diberikan oleh orang tuanya menentukan kehormatannya.’’ 
Justeru itu, tidak boleh menamakan anak atau menamakan diri sendiri dengan nama yang tidak mempunyai erti yang baik. Dari perspektif Islam, walaupun perbincangan mengenai nama adalah sesuatu yang sangat luas skopnya, akan tetapi sebagai pengenalan, nama sebenarnya menjadi lambang kepada seseorang.  
Apabila sebut Muhammad atau Abdullah, itulah lambangnya dan nama ini mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan empunya nama. Atau dengan kata lain, dia akan terpengaruh dengan nama itu, dan kalau nama itu bermaksud baik maka baiklah hasilnya. 
Nama juga melibatkan nasab atau keturunan, yang bermaksud apabila kita mempunyai anak, anak tersebut akan membawanya sehingga akhir hayat. Hal ini boleh dilihat melalui anjuran Rasulullah SAW supaya kita memilih nama yang baik untuk anak-anak. Sabda baginda bermaksud: ”Sesungguhnya kamu akan diseru pada Hari Kiamat nanti dengan nama-nama kamu dan nama ayah kamu, oleh itu perelokkanlah nama kamu.” (Riwayat Abu Darda) 
Ini juga secara tidak langsung menjelaskan kepada kita bahawa nama mempunyai kaitan rapat dengan keperibadian seseorang itu. Melalui nama juga ia menjamin keselamatan agama itu sendiri. Oleh kerana itu, nama yang mirip kepada agama lain, tidak sahaja mengundang kekeliruan malah lebih dibimbangi ialah anggapan segelintir pihak mengatakan bahawa ia mewakili agama tersebut. 
Lantaran nama yang baik seperti dikehendaki oleh Islam ialah yang mempunyai sandaran terhadap Allah dan Rasul-Nya, maka sewajarnya juga sekiranya ada mualaf yang ingin mengekalkan nama bapa sama ada dari apa bangsa sekalipun, maka pastikan maknanya tidak buruk dan melanggar akidah. 
Sabda Rasulullah SAW mengingatkan: ”Sesungguhnya sebaik-baik nama kamu adalah yang disandarkan dengan nama Allah, umpamanya Abdullah atau Muhammad.” (Riwayat Muslim) 
Bagaimanapun, ia mestilah disusuli dengan nama yang berkaitan dengan 99 nama Allah SWT. Sekiranya terkeluar atau bertentangan dengan 99 nama Allah ini, ia menjadi haram kerana seolah-olah telah melanggar akidah. Contohnya, Abdul Nabi (hamba nabi), Abdul Muhammad, Abdul Rasul dan Abdul Kaabah. Apatah lagi sekiranya nama yang bukan dari bahasa Arab yang mengandungi makna yang melanggar akidah tentulah dilarang sama sekali walaupun hakikatnya ingin mengekalkan nasab. 
Hukum haram ini berasaskan kepada dua dalil. Pertama, tiap-tiap nama yang berunsur penyembahan dan pengabdian selain Allah haram digunakan mengikut ijmak ulama.  
Ibn Hazam berkata: ‘‘Mereka bersepakat menghukumnya haram ke atas nama yang bermaksud penyembahan dan perhambaan selain Allah seperti Abdul Uzza, Abdul Habl, Abdul Umar, Abdul Kaabah dan sebagainya.” 
Kedua, nama khusus yang digunakan oleh orang-orang bukan Islam untuk mendewa-dewakan tuhan mereka. Ia adalah dilarang. Contoh, Abdul diikuti dengan nama-nama tuhan Nasrani seperti James, Jimmy. 
Pengaruh nama ini dibimbangi menyebabkan dirinya dikenali sebagai seorang yang bukan Islam walaupun hakikatnya dia beragama Islam. Sungguhpun Islam tidak mewajibkan ke atas keluarga Muslim menamakan anak-anak mereka dengan nama-nama tertentu sama ada Arab atau bukan Arab, tetapi panduan-panduan mengenainya disediakan.   
Walaupun nama tersebut tidak mempunyai makna tetapi hendaklah nama yang baik dan tidak dipandang buruk oleh orang ramai serta tidak ditolak oleh anak itu selepas dia dewasa. 
Nabi pernah menukar nama-nama yang buruk seperti Qalilan (sedikit) kepada Kathiran (banyak), Asiyah (gemar berbuat maksiat) kepada Jamilah (cantik) dan sebagainya. 
Nama tersebut bukan sesuatu yang disembah melainkan Allah seperti Abdul Kaabah, Abdul Nabi, Abdul Hussein, Ghulam (sama dengan maksud Abdul iaitu hamba) Ahmad, Ghulam Ali, Ghulam Jailani dan sebagainya. Perkataan yang bukan berasal daripada Arab tetapi maknanya hamba, hukumnya sama dalam bahasa Arab. Sungguhpun diketahui niat pemberi nama itu baik tetapi apabila menjadi nama ia tidak baik. 
Nama itu juga tidak cenderung kepada kebesaran, takbur dan meninggikan diri daripada manusia lain. 
Hadis bermaksud: ‘‘Seburuk-buruk nama di sisi Allah pada Hari Kiamat ialah lelaki yang dinamakan Malikul Amlak, Malikul Muluk (Raja segala raja) kerana tiada kerajaan melainkan kerajaan Allah.” 
Termasuklah juga nama seperti Ar-Rahman, Al-Muhaimin, Al-Jabbar, Al-Mutakabbir, Al-Khaliq, Al-Bari. Nama-nama daripada 99 nama Allah tidak boleh dicantumkan dengan ‘Al’ kerana ia menjadi nisbah kepada Allah. 

No comments:

Post a Comment