Sunday 15 January 2017

Peluk Islam tidak wajib tukar nama

Benarkah apabila orang bukan Islam memeluk Islam, maka wajib menukar nama kepada ’nama Islam’. Itu memang satu amalan yang diamalkan di negara kita. Namun, perkara itu bukan pula satu hukum wajib yang ditetapkan perlu dilakukan oleh seseorang yang baru memeluk agama Islam atau dipanggil saudara baru.

Sebenarnya, tidak menjadi kesalahan sekiranya seorang saudara baru tidak mahu menukar nama asalnya. Mungkin dia mempunyai alasan tertentu. Terutama, nama tersebut dianggap ’pusaka’ yang perlu kekal dalam hidupnya. 

Tambahan asal itu telah sebati dalam hidupnya dan orang ramai mengenali dirinya menggunakan nama itu. 

Dalam pada itu, perlu kita memahami ’kebenaran’ menggunakan nama asal itu. Perkara itu sebenarnya, bukan saja berkaitan saudar baru, bahkan kepada anak-anak orang Islam yang baru dilahirkan. 

Kita semua maklum, nama ada identiti diri. Orang akan mengenali siapa kita berdasarkan kepada nama. Dalam konteks di negara kita, nama akan melambangkan bangsa seseorang dan sekaligus juga menjelaskan mengenai namanya.

Maka itu, di negara kita ini, jika namanya tidak ada ciri-ciri keislaman, maka dia dianggap bukan Islam. Jadi, bayangkan jika seorang yang bernama ’Tan Ken Ten’ mengatakan dia seorang Islam, sudah tentu akan menimbulkan was-was atau keraguan orang ramai.  Ini kerana nama itu melambangkan seorang Cina dan bukan Islam. Itu kefahaman atau penerimaan yang berlaku di negara kita.

Sebenarnya tidak ada salahnya, nama Tan Ken Ten untuk digunakan oleh orang Islam. Tetapi seperti yang dijelaskan sebelum ini, ia akan menimbulkan kekeliruan orang ramai. Maka, elok jika nama Islam digunakan untuk mengelak salah faham.

Pun, jika masih ingin kekalkan nama itu, teruskanlah. Jangan jadikan halangan orang bukan Islam untuk memeluk Islam disebabkan tidak mahu menukar nama. 

Sebab itu, amat penting penyataan mengenai agama dimasukkan di dalam kad pengenalan. Orang Islam perlu mempertahankan keperluan ruangan agama dikekalkan di dalam kad pengenalan. Memang ada cadangan pihak tertentu ingin menghilangkan perkataan ’agama’ dalam kad pengenalan.

Penggunaan nama keluarga atau surname masih dibolehkan dengan syarat nama tersebut membawa makna yang baik kepada agama asalnya. Kalau sudah terang-terangan namanya atau nama bapanya sebelum Islamnya membawa maksud tidak elok seperti Rama, Sita yang merupakan nama tuhan bagi penganut agama Hindu, maka wajiblah dia menukar namanya.

Menyentuh mengenai mengekalkan nama keluarga (surname) pada kebanyakan nama saudara baru, ia adalah sesuatu yang patut dikekalkan jika kena pada tempatnya. Ia bersesuaian lagi dengan arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2003. Saudara-saudara baru tidak diwajibkan lagi menggunakan ‘bin’ atau ‘binti’ Abdullah. 

Sebaliknya, mereka diberi pilihan untuk menggunakan nama bapa asal atau bapa kandung mereka. Kelonggaran yang diberikan oleh Jakim secara tidak langsung membantu saudara-saudara baru ini membina hubungan yang baik dengan keluarga kandung.

Bagaimanapun, pastikan nama tersebut baik pada maknanya kerana nama adalah identiti pengenalan umat Islam dan kurang manis sekiranya penganut agama Islam tidak dibenarkan menggunakan nama-nama baik yang disarankan kerana mereka berhak menamakan diri mereka seperti yang diingini.

Dari perspektif Islam, walaupun perbincangan mengenai nama adalah sesuatu yang sangat luas skopnya, akan tetapi sebagai pengenalan, nama sebenarnya menjadi lambang kepada seseorang. 

Apabila sebut Muhammad atau Abdullah, itulah lambangnya dan nama ini mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan empunya nama. Atau dengan kata lain, dia akan terpengaruh dengan nama itu, dan kalau nama itu bermaksud baik maka baiklah hasilnya.

Nama juga melibatkan nasab atau keturunan, yang bermaksud apabila kita mempunyai anak, anak tersebut akan membawanya sehingga akhir hayat. Hal ini boleh dilihat melalui anjuran Rasulullah SAW supaya kita memilih nama yang baik untuk anak-anak. Sabda baginda bermaksud: ”Sesungguhnya kamu akan diseru pada Hari Kiamat nanti dengan nama-nama kamu dan nama ayah kamu, oleh itu perelokkanlah nama kamu.” (Riwayat Abu Darda)

Ibn Hazam berkata: ‘‘Mereka bersepakat menghukumnya haram ke atas nama yang bermaksud penyembahan dan perhambaan selain Allah seperti Abdul Uzza, Abdul Habl, Abdul Umar, Abdul Kaabah dan sebagainya.”

Kedua, nama khusus yang digunakan oleh orang-orang bukan Islam untuk mendewa-dewakan tuhan mereka. Ia adalah dilarang. Contoh, Abdul diikuti dengan nama-nama tuhan Nasrani seperti James, Jimmy.

Pengaruh nama ini dibimbangi menyebabkan dirinya dikenali sebagai seorang yang bukan Islam walaupun hakikatnya dia beragama Islam. Sungguhpun Islam tidak mewajibkan ke atas keluarga Muslim menamakan anak-anak mereka dengan nama-nama tertentu sama ada Arab atau bukan Arab, tetapi panduan-panduan mengenainya disediakan.  

Walaupun nama tersebut tidak mempunyai makna tetapi hendaklah nama yang baik dan tidak dipandang buruk oleh orang ramai serta tidak ditolak oleh anak itu selepas dia dewasa.

Nabi pernah menukar nama-nama yang buruk seperti Qalilan (sedikit) kepada Kathiran (banyak), Asiyah (gemar berbuat maksiat) kepada Jamilah (cantik) dan sebagainya.

Sementara itu Rasulullah SAW mengingatkan: ‘‘Nama yang paling disukai Allah ialah Abdullah dan Abdur Rahman.” (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah)

Disunatkan menamakan dengan nama nabi untuk mengekalkan ingatan kepada mereka dan sebagai galakan mencontohi mereka. Contohnya, Daud, Ismail dan Musa.

Tiada larangan meletakkan nama yang bukan berasal dari Arab selagi tidak membawa makna yang buruk. Orang Islam pada zaman jahiliah banyak mengekalkan nama-nama bukan Arab selepas keislaman mereka, walaupun mereka memeluk agama Islam.

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda: “Jangan namakan anakmu dengan nama senang, keuntungan dan kejayaan. Sebabnya adalah jika kamu bertanya adakah ‘keuntungan’ ada? Jika tidak ada, orang akan menjawab “Keuntungan tidak ada”.”  (Hadis riwayat Muslim, Tirmizi dan Abu Daud)

Menurut Imam Nawawi, dimakruhkan nama-nama tersebut (dalam hadis) adalah kerana buruk dan rosaknya jawapan yang bakal diterima, juga nama-nama tersebut ada kemungkinan menjatuhkan sebahagian golongan ke dalam suatu bentuk perbuatan menenung untung/nasib.

Contohnya, apabila ditanya; “Adakah di sana ada Rabah (untung)?”, lalu dijawab; “Ada”Apabila orang yang suka menengok/menilai nasib dengan suatu sempena atau kejadian mendengar jawapan ini, maka ia akan membuat andaian bahawa hari tersebut adalah hari untung. 

Banyak nama yang menunjukkan memuji diri sendiri dalam masyarakat Melayu kini. Tidak kiralah namanya dengan nama Khairun Nisa (sebaik-baik wanita), nama ‘mujahid’ pejuang, syahid, nama ‘salafus soleh dan sebagainya. Setiap ibubapa hendaklah berhati-hati menamakan bayi mereka kerana ini dilarang dan termasuk dalam memuji diri anak itu sendiri.

Rasulullah SAW melarang menggunakan nama yang memuji diri sendiri. Pernah terjadi pada suatu ketika, apabila Nabi SAW bertemu seorang wanita bernama Barrah (wanita yang sangat baik); Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu memuji diri kamu sendiri. Allah SWT lebih mengetahui siapakah yang lebih baik dikalangan kamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah SAW bersabda: “Aku menegah daripada menamakan dengan nama Rafi’ (ketinggian)’, Barakah (keberkatan) dan Yassar (senang).” (Hadis  riwayat Tirmizi).

Imam Nawawi berkata: “Dimakruhkan memberi nama dengan nama-nama ini dan apa yang membawa kepada sebab larangan ini. Larangan ini adalah hanya makruh tidak haram.”

Dimakruhkan memberi nama dengan nama-nama yang buruk seperti Harb, Murrah, Kalb, ‘Ashiyah, Syaitan, Dzalim, Himar dan sebagainya. 

Sabda Rasulullah SAW: “Berilah nama dengan nama-nama para Nabi. Nama yang paling disukai oleh Allah ialah ‘Abdullah’ dan ‘Abdurrahman’. Nama yang paling tepat (dengan hakikat manusia) ialah ‘Harith’ dan ‘Hammam’, dan nama yang paling buruk ialah ‘Harb’ dan ‘Murrah’.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Nasai).

No comments:

Post a Comment