Friday 28 April 2017

Masjid jadi medan politik

Disebabkan masjid dijadikan medan politik, ada jemaah yang tidak tahan dengan kerenah dan semakin menjauhkan diri daripada masjid. Mereka berasa seperti serba tidak kena walaupun datang dengan tujuan untuk beribadat.

Niat asal untuk memperoleh keberkatan dan ganjaran pahala selain mengimarahkan rumah Allah SWT itu dengan aktiviti kemasyarakatan bertukar menjadi tempat yang menimbulkan api kebencian sesama penduduk setempat.

Pihak yang tidak bertanggungjawab menganggap apa yang dilakukan itu sebagai ‘betul’ dan suruhan agama. Kononnya untuk menegakkan kebenaran dan mengelak perkara buruk, maka mereka dengan secara terbuka menyebarkan fitnah dan mengumpat pihak lain yang tidak sehaluan dengan mereka.

Terdapat masjid yang menjadi program rutin ceramah agama, tetapi menyimpang dengan menuding jari menyalahkan atau mengagungkan sesuatu pihak. Biasanya hanya pada mula saja disentuh soal agama, sedang selepas itu terus melancung dalam hal-hal lebih kepada kepartian.

Lebih menyedihkan perkataan kesat, mencela dan gelak tawa tiada batasan dianggap perkara biasa yang diamalkan di dalam rumah ibadah.

Ternyata apa yang dilakukan itu bertentangan dengan konsep yang dituntut oleh Islam, lebih-lebih lagi perbuatan buruk itu dilakukan di masjid. Masjid yang dibina sebagai rumah ibadah bagi umat Islam memperoleh keberkatan dan ganjaran pahala bertukar sebaliknya menjadi sarang membuat dosa.

Di masjid sepatutnya menjadi medan untuk membentuk kerjasama dan perpaduan di kalangan penduduk setempat, selain mendapat ilmu agama melalui kelas agama yang diadakan di situ.

Tidak wajar ada pihak atau individu disindir dan dipandang serong oleh segelintir jemaah berikutan berlainan fahaman politik atau minat.   

Tindakan segelintir pihak yang menjadikan masjid sebagai landasan berpolitik kepartian layak dipanggil sebagai golongan pecah belah. Sepatutnya di masjidlah peluang untuk melupakan seketika perbezaan fahaman politik. Betulkan niat kita untuk menjadi tetamu Allah dan menghampirkan diri kepada Maha Pencipta. 

Masjid bukan tempat menyebarkan fahaman politik yang lebih kepada menyebabkan perpecahan. Masjid yang sepatutnya digunakan sebagai pusat penyatuan umat Islam tanpa mengira fahaman politik, kedudukan dan bangsa.

Pada zaman Rasulullah SAW, urusan politik memang dibuat di dalam masjid. Namun politik yang dimaksudkan ialah lebih kepada urusan pentadbiran negara dan kepentingan umat Islam.  

Malangnya, istilah politik yang dibawa dalam masjid sekarang ini adalah politik kepartian. Masing-masing ingin menyalahkan pihak lain dan mengagungkan pihak sendiri. Inilah menjadi bibit perpecahan di kalangan jemaah yang berlainan fahaman.

Lebih malang lagi, ada pihak yang membina masjid atau surau sebagai markas parti. Walaupun nampak seperti masjid, hakikatnya ia lebih kepada ‘pejabat’ parti. Maka itu, orang berlainan parti tidak akan pergi ke masjid itu. Masjid itu hanya ‘meriah’ apabila ada urusan dilakukan di situ. Sedangkan pada waktu lain ia sunyi dan tidak ada aktiviti lain.

Ini menunjukkan kedangkalan dan ceteknya pemikiran kita dalam berpolitik sehingga membabitkan rumah ibadat. Di mana lagi tempat kita nak bersama kalau semua tempat dijadikan medium perpecahan.

Ingatlah, sesuatu yang membawa kepada perpecahan ummah ditegah dilakukan seperti mengumpat, fitnah dan sikap ego. Jadi, jika perkara ini dilakukan di masjid, maka ia menjejaskan institusi masjid yang dibina bagi menjadi pusat ibadah dan aktiviti umat Islam apabila dijadikan sebagai sarang mengumpul dosa.

Sepatutnya masjid atau rumah ibadah digunakan sebagai tempat menyucikan hati dan melakukan pelbagai kegiatan berfaedah dalam usaha menyatukan perpecahan yang berlaku di luar, bukan tempat menyakitkan hati atau sebaliknya membawa perpecahan daripada luar.

Gambar sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment