Monday 3 April 2017

Akibat ikut hasutan syaitan

Manusia berbeza dengan malaikat yang sepanjang hayat tidak pernah melakukan perbuatan ingkar atau dosa terhadap Allah SWT. Malaikat sentiasa patuh apa yang disuruh oleh Allah SWT. Malah, ada malaikat yang sepanjang masa melakukan ibadat kepada Allah SWT tanpa tidur dan rehat.   

Manakala syaitan pula makhluk yang sepanjang masa melakukan durhaka kepada Allah SWT. Perbuatan durhaka pertama syaitan yang diketuai iblis ialah apabila enggan sujuk kepada Nabi Adam. Sebelum itu, iblis termasuk hamba yang taat kepada perintah Allah SWT.

Perkara ini dijelaskan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: "Dan dikala kami berkata kepada para Malaikat: “Bersujudlah kamu kepada Adam  maka sujudlah mereka semua kecuali Ibilis ia tidak mahu sujud serta berlaku sombong dan jadilah dia daripada orang yang kafir” ( Surah al-Baqarah, ayat 34)

Dalam diri manusia terdapat akal dan nafsu yang mendorong melakukan kebaikan dan keburukan. Kedua-dua sifat itu saling mempengaruhi antara satu sama lain. Akal membimbing manusia melakukan kebaikan, sedangkan nafsu jahat membisikkan agar berminat kepada keburukan.  

Hal demikian meletakkan manusia sebaik-baik kejadian, yakni mampu membuat pilihan mana yang baik dan mana yang buruk. Allah SWT memberi peluang kepada manusia untuk menghapus dosa melalui cara bertaubat. 

Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bermaksud: “Semua anak Adam (manusia) banyak melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang yang banyak bertaubat.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Bertaubat bermaksud menyesali perbuatan mungkar dan kembali mengikut segala tuntutan syarak. Taubat yang sebenar-benarnya akan membersihkan diri seperti tidak pernah melakukan dosa yang berkenaan.   

Namun, ini tidak bermakna manusia boleh melakukan dosa dan kemudian bertaubat secara suka-suka. Taubat yang tidak ikhlas atau hanya di mulut saja tidak akan diterima.

Allah SWT sentiasa mengingatkan kepada manusia agar memohon taubat kepada-Nya. Sesiapa pernah melakukan dosa tidak sepatutnya berputus asa untuk mendapat keampunan daripada Allah SWT. 

Firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang melampau batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Dialah jua yang mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar, ayat 53).

No comments:

Post a Comment