Tuesday 4 April 2017

Pemimpin gagal perlu lepas jawatan

Pemimpin mesti menerima hakikat bahawa tugas berat yang dipikul mesti dilaksanakan sebaik mungkin. Jika dirasakan tidak mampu, elok jawatan itu diserahkan kepada orang lain. 

Tindakan itu dapat mengelak daripada berlaku 'kezaliman' terhadap rakyat yang mengharapkan sumbangan terbaik daripada pemimpin.   

Jawatan sebagai pemimpin bukan untuk mendapat layanan istimewa. Mereka mesti rela berkorban demi melaksanakan tugas. Jawatan yang disandang tidak digunakan untuk mengumpul kekayaan atau mengamalkan kroni. 

Dal hal ini, pemimpin tawaduk tidak rungsing hilang sokongan disebabkan tidak memberi layanan istimewa kepada penyokong setia. Sebaliknya, dia lebih takut kepada pembalasan Allah SWT  jika gagal melaksanakan tugas dengan baik.

Firman Allah SWT bermaksud: “Katakanlah, wahai Tuhan yang memberikan kerajaan. Engkau memberi kerajaan (kekuasaan) kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau gugurkan (jatuhkan) kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau muliakan dan Engkau hinakan orang yang kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah Ali Imran, ayat 26)

Sekiranya pemimpin perlu berundur, itu bukan khidmatnya tidak diperlukan lagi. Keputusan ingin berundur bukan bermakna mereka tidak baik atau gagal menjalankan tugas sebelum ini. Ia satu proses biasa dalam mana-mana organisasi.  

Pemimpin tidak selama-lamanya berada di atas. Tiba masanya mereka perlu melepaskan jawatan dan memberi peluang kepada orang lain.

Pemimpin yang ada di atas sekarang naik disebabkan ada orang lain turun dan membuka peluang untuk mereka naik. Maka sekarang giliran mereka pula melakukan apa yang dilakukan oleh pemimpin terdahulu. Inilah resam dunia, silih berganti seperti roda yang berpusing. 

No comments:

Post a Comment