Sunday 10 September 2017

Jus Soli untuk kaum pendatang

Jus soli (bahasa Latin bagi "hak untuk kawasan") atau kewarganegaraan hak lahir bermaksud hak kerakyatan sama rata iaitu taraf kerakyatan yang diberi berdasarkan tempat kelahiran tanpa mengira bangsa dan keturunan. 

Perkataan itu diguna pakai dalam bahasa Melayu sepertimana dijelaskan dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga bermaksud hak mendapat kerakyatan di sesebuah negara berdasarkan kelahiran negara itu.

Isu kerakyatan mula timbul di kebanyakan tempat apabila wujud negara yang lebih bersitematik dari segi kuasa pemerintahan dan kerakyatan. Maka untuk menentukan hak seseorang yang mendiami sesuatu tempat atau negara, istilah kerakyatan atau kewarganegaraan menjadi semakin penting.

Selain konsep jus soli, terdapat negara yang mengamalkan kaedah jus sanguinis (hak darah), yakni kewarganegaraan berdasarkan kepada status kewarganegaraan bapa atau ibunya. 

Di Malaysia (dahulunya Tanah Melayu dan Malaya) isu jus soli timbul apabila pada tahun 1945 pihak penjajah British telah memperkenalkan konsep itu untuk memberi kerakyatan kepada warga asing terutama kaum Cina dan India yang memasuki Tanah Melayu pada masa itu bagi menyelesaikan masalah kerakyatan yang dihadapi oleh mereka.

Kita menyedari bahawa kaum Cina dan India adalah orang dagang atau imigran. Kemasukan mereka ke Tanah Melayu dibawa oleh pihak Inggeris untuk menjadi buruh. Setelah menyedari peluang pekerjaan yang banyak di Tanah Melayu, kemasukan secara besar-besaran telah berlaku, Tanah Melayu menjadi lubuk emas bagi imigran Cina dan India. 

Bagi kaum Cina, mereka menjadikan kawasan Asia Tenggara, terutama Tanah Melayu untuk berhijrah kerana pada masa itu di Benua China berlaku revolusi dan penguasaan fahaman komunis yang antara lain menekankan aspek kesamarataan di kalangan rakyat. Harta individu menjadi hak milik negara atau pemerintah. 

Hal ini tidak dapat diterima oleh kebanyakan penduduk China dan mengambil keputusan mencari kehidupan yang lebih baik dan bebas di negara-negara lain biarpun sekadar sebagai imigran serta terpaksa menempuh kehidupan yang serba mencabar dan berbeza berbanding di tempat asal.

Bagaimanapun, sejarah kemasukan kaum Cina ke Tanah Melayu sebenarnya telah berlaku lebih awal dari tahun 1940an. Sejarah pelombongan timah di Tanah Melayu yang dikuasai oleh kaum Cina telah berlaku seawal tahun 1850 lagi. 

Kemasukan kaum Cina ke Selangor, Negeri Sembilan dan Perak kerana tertarik dengan hasil timah yang terdapat di negeri-negeri tersebut.

Kemasukan yang tidak terkawal imigran ke Tanah Melayu menyebabkan jumlah pendatang meningkat secara mendadak dan melebihi bilangan penduduk Melayu.  

Perkara ini menimbulkan keresahan penduduk Melayu yang mendapat sokongan raja-raja apabila Inggeris memberi kerakyatan secara mudah kepada mana-mana kaum Cina dan India yang dilahirkan di Tanah Melayu.

Prinsip kerakyatan secara Jus Soli lebih menguntungkan orang dagang atau imigran kerana mereka dapat memperoleh kerakyatan dengan mudah di sesuatu tempat.

Menyedari prinsip Jus Soli mengancam kedudukan orang Melayu, Raja-Raja Melayu dan orang Melayu menolak prinsip Jus Soli dalam pemberian kerakyatan kepada kaum imigran. Bagaimanapun, orang Melayu tidak mampu menolak sepenuhnya prinsip Jus Soli. 

Pihak Inggeris tidak mahu memberi kemerdekaan jika soal kerakyatan kepada kaum imigran tidak diselesaikan. Maka, di sinilah berlaku tolak tarik di antara orang Melayu, Inggeris dan kaum imigran. 

Kaum Melayu mengambil pendekatan wasattiyah dalam menangani persoalan kerakyatan kaum imigran. Orang Melayu menerima prinsip Jus Soli tetapi dengan beberapa syarat.   

Melalui pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah mengetatkan syarat kerakyatan Jus Soli. Antara syarat itu adalah;

- Penduduk bukan Melayu mesti tinggal di Persekutuan Tanah Melayu tidak kurang daripada 10 tahun.
Kedua-dua ibubapa mereka mestilah warganegara Persekutuan Tanah Melayu.
Mereka hendaklah mengaku taat setia terhadap Tanah Melayu dan menganggap negara ini sebagai tempat tumpah darahnya; dan
Bermula tahun 1958, mereka juga perlu fasih bertutur dalam bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris.

Satu lagi syarat utama dalam persetujuan prinsip Jus Soli seperti yang terkandung dalam Pakatan Murni, kaum imigran yang bakal mendapat kerakyatan perlu bersetuju dengan empat perkara penting.

Perkara itu ialah mengenai kedudukan istemewa orang Melayu (Perkara 153), kedudukan Raja-Raja Melayu (Perkara 181), agama Islam sebagai agama persekutuan (Perkara 3) dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Perkara 152).

Oleh itu setiap warganegara Malaysia harus menyedari bahawa perlembagaan kita ini adalah hasil daripada sikap tolak ansur terutamanya bangsa Melayu. 

Keamanan dan kemakmuran yang dinikmati sekarang perlu dikekalkan.  Jangan wujudkan persekitaran hubungan yang tegang dan mementingkan kelompok tertentu saja.

Apa yang telah dipersetujui pada masa lalu perlu dipertahankan bagi menjamin keamanan dan keharmonian negara. Tidak ada untungnya isu perkauman disuburkan kerana semua kaum akan menerima kesan buruknya. Bak kata pepatah, menang jadi arang, kalah jadi abu. 

Acuan pemerintahan yang dibentuk sejak negara merdeka telah berjaya meletakkan Malaysia di tempat yang terbaik. Jika ada yang ingin mengubahnya, kecelakaan, kerugian dan kemusnahan akan berlaku kepada seluruh rakyat.  

Tidak ada bangsa atau kaum yang disisihkan di negara kita. Semua mendapat hak seperti mana yang diperuntukkan oleh undang-undang.

No comments:

Post a Comment