Monday 30 October 2017

Blai Cerap Kota Bharu

Balai Cerap Kota Bharu terletak di Kampung Kubang Rawa, Salor dibangunkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dengan kerjasama Persatuan Astronomi (Falak) Amatur Kelantan.

Pembinaan fasiliti berserta kelengkapan teleskop dilaksanakan di bawah Projek Inovasi Sosial (MSI) MOSTI bagi memupuk kesedaran dan minat masyarakat negeri ini kepada ilmu astronomi dan angkasa.

Projek seumpama itu merupakan yang ketiga sejak 2015 selepas pembinaan Balai Cerap Persatuan Sabah Stargazer di Papar, Sabah dan perkhidmatan Observatori Solar Atas Talian untuk masyarakat Orang Asli di Dengkil, Selangor.

Objektif utama projek MSI adalah untuk mengembangkan ilmu sains dan teknologi termasuk astronomi yang merupakan bidang fokus negara dan diletakkan dalam kokurikulum di sekolah.

Balai Cerap Kota Bharu adalah balai cerap rasmi pertama di negeri Kelantan memberi manfaat terutamanya kepada pelajar dan penggemar astronomi untuk datang dan mengambil maklum perkembangan terkini bidang ini.

Balai cerap yang bersaiz 800 kaki persegi (74.5 meter persegi) ini dilengkapi dengan empat sistem teleskop; kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR) yang disesuaikan untuk pengimejan astrofoto; ruang pencerapan dan pembelajaran.

Menurut Presiden Persatuan Astronomi (Falak) Amatur Kelantan, Dr Mahomarawi Omar, pihak persatuan memohon geran MSI MOSTI itu pada 2015 dan ia diluluskan pertengahan tahun 2016  bagi pembinaan sebuah balai cerap di atas tanah miliknya di Kampung Kubang Rawa. 

No comments:

Post a Comment