Monday, 30 October 2017

KESAN BURUK MEROKOK DI TEMPAT AWAM

Individu di sekeliling berhak membantah perbuatan perokok kerana kesan buruknya turut ditanggung oleh orang lain. Perokok mengganggu hak orang lain untuk hidup lebih selamat dan selesa. 

Asap rokok yang dibebaskan oleh perokok dipanggil asap tembakau persekitaran (ETS). Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati ETS mengandungi 4,000 bahan beracun, di mana termasuk 22 bahan kimia, 12 agen penyebab barah dan 10 logam berat.

ETS memberi kesan rokok kepada perokok pasif lebih tinggi berbanding perokok sendiri. Di mana, perokok pasif mengalami tiga kali ganda kesan tar, sekali ganda jumlah karbon manoksida, tiga kali ganda nikotin dan 50 kali ganda bahan menyebabkan kanser.

Orang yang tidak merokok terpaksa menanggung akibat tabiat buruk perokok. Satu keadaan yang tidak adil dan menceroboh hak orang lain.  

Sebab itu kita patut menyokong tindakan kerajaan mewartakan tempat awam seperti restoran berhawa dingin, kawasan sekolah, dalam kenderaan awam, kawasan hospital dan tempat orang ramai sebagai kawasan larangan merokok. 

Perbuatan merokok bukan lagi lambang status atau kepuasan seperti ketika pengaruh merokok mula menular di negara kita.  

Masyarakat Barat yang memperkenalkan industri rokok kini telah menolak amalan yang pada satu ketika dulu menjadi kegilaan ramai. Masyarakat kini memandang perbuatan merokok sebagai menyalahi matlamat ingin hidup dengan sihat dan ceria.

Peratusan permintaan rokok di negara Barat kini menurun. Oleh itu, strategi pemasaran rokok kini ditumpukan kepada negara sedang membangun dan mundur yang taraf kesedaran penduduknya terhadap bahaya rokok masih rendah.  

Kerajaan di negara sedang membangun dan mundur sanggup menerima pelaburan besar syarikat rokok melalui pengiklanan dan sumbangan, biarpun sedar ia merugikan rakyat.

Perbuatan merokok adalah satu jenayah terhadap diri sendiri. Perokok menjermuskan diri dalam jurang kebinasaan. Melakukan amalan membinasakan diri bermakna melakukan dosa terhadap diri sendiri. Tanpa rokok seseorang dapat menikmati kehidupan lebih baik dan selamat.  

Orang yang berjaya dalam hidup biasanya tidak merokok dan benci kepada rokok. Merokok menyebabkan banyak aktiviti seharian terganggu. Mereka terpaksa berhenti daripada melakukan tugas seketika semata-mata untuk merokok.  

Perokok sanggup melanggar peraturan melarang merokok di tempat awam, membuat kotor, tidak menghormati orang yang tidak merokok dan tidak sayangkan diri sendiri.  

Sudah tiba masanya seluruh rakyat memandang benci terhadap tabiat merokok sepertimana perasaan benci terhadap dadah. Malah terbukti 99 peratus penagih dadah adalah dari kelangan perokok. Dadah dan rokok adalah musuh negara.

No comments:

Post a Comment