Saturday 9 September 2023

PEMERINTAH BERADA DI BAWAH KUASA PERUNDANGAN

 
Pembahagian kuasa atau dalam bahasa Inggeris dipanggil “separation of powers” merupakan satu doktrin dalam pemerintahan demokrasi yang membahagikan urusan dalam negara kepada tiga cabang utama iaitu pemerintah (eksekutif), perundangan (legislatif), dan kehakiman (judisiari).
 
Islam mendahului beberapa abad dalam pelaksanaan konsep pembahagian kuasa ini dan telah mempengaruhi sistem kehakiman negara Barat yang mengamalkan sistem demokrasi melalui pengkajian golongan orientalis daripada tamadun Islam.
 
Pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW terhadap diri Baginda sendiri, apabila Baginda membeli seekor kuda daripada seorang Badwi. Setelah mereka bersetuju dengan harga kuda itu, hanya Baginda belum menjelaskan bayarannya kerana berlaku hal yang lain, tiba-tiba si Badwi itu mempelawa kepada sesiapa sahaja untuk membelinya dengan harga yang lebih mahal dan ada pula yang mahu membelinya.
 
Apabila Rasulullah SAW memanggil untuk membayarnya, tiba-tiba si Badwi itu tegas mahu menjual kepada orang lain dengan tawaran harga yang lebih mahal.
 
Mengikut hukum Islam, bahawa Rasulullah SAW yang berhak menjelaskan bayarannya kerana jual beli itu masih berada dalam majlis yang belum berpisah (khiyar majlis). Namun, si Badwi itu tetap meminta untuk dibicarakan dengan membawa saksi dan Rasulullah SAW perlu menunjukkan saksinya.
 
Khuzaimah bin Thabit lalu tampil menjadi saksi di samping ramai lagi saksi daripada kalangan sahabat yang lain. Akhirnya, si Badwi bersetuju menyerahkan kuda itu kepada Rasulullah SAW. [Kisah ini diriwayatkan oleh Abu Dawud, No. 3607, al-Nasa’i Dalam al-Sunan al-Kubra, No. 6098 dan Ahmad, No. 21883 daripada ‘Umarah bin Khuzaimah]
 
Di sini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW sebagai seorang rasul yang dilantik oleh Allah SWT mengatasi jawatan segala raja dan pemimpin negara, tidak menggunakan kedudukan Baginda untuk mempengaruhi sistem kehakiman yang mewajibkan keadilan Islam kepada semua.
 
Seterusnya, berlaku pula kepada khalifah keempat, Khalifah Ali yang sedang berjalan di pasar pada suatu hari, tiba-tiba beliau melihat baju perisai kepunyaannya yang hilang hendak dijual oleh seorang bukan Islam (Ahli Kitab) di pasar itu. Lalu beliau mengambilnya dan mengaku baju perisai itu ialah kepunyaannya yang hilang, namun si penjual itu menegaskan bahawa baju perisai itu merupakan miliknya.
 
Akhirnya, kes itu dibawa ke hadapan Hakim Syuraih al-Kindi untuk dibicarakan. Syuraih meminta saksi daripada Ali. Apabila Khalifah Ali tidak dapat mengadakan saksi yang diterima, maka Syuraih menyerahkan baju perisai itu kepada yang dituduh untuk mengambilnya.
 
Tiba-tiba, si penjual yang dituduh itu berkata: “Sesungguhnya, aku bersaksi bahawa inilah kehakiman para anbiya yang adil kerana seorang Amir al-Muminin (ketua negara yang berkuasa) mengadukan masalah ini kepada hakim untuk menghakiminya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu hamba dan pesuruh-Nya. Dan demi Allah baju perisai ini sememangnya kepunyaanmu, wahai Amir al-Muminin! Aku mengambilnya ketika ia terjatuh dari unta apabila kamu wahai Khalifah mahu berangkat ke Siffin.” [Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, Jld. 8, Hlm. 5]
 
Kemudian, si ahli Kitab itu terus menyerahkan baju perisai tersebut kepada Ali, lalu beliau mengucapkan dua kalimah syahadah dan menganut Islam.
 
Ali pula menghadiahkan perisai itu kepada Ahli Kitab itu dan beliau menjadi seorang pejuang Islam yang berjihad dengan ikhlas.
 
Selanjutnya, berlaku pula pada zaman Sultan Muhammad al-Fatih yang memerintah Kerajaan Uthmaniyyah, yang disebut dalam hadis bahawa baginda ialah sebaik-baik sultan yang membebaskan kota Konstantinopel (ditukar nama kepada Istanbul).
 
Baginda Sultan Muhammad menugaskan seorang arkitek berbangsa Rom (bukan Islam) kerana kemahirannya agar membina sebuah masjid yang besar dan indah bertiangkan marmar mengikut ketinggian yang telah ditetapkan.
 
Tetapi masjid yang dibina itu tidak mengikut arahan baginda, menyebabkan sultan sangat murka lalu arkitek itu dipotong tangannya. Namun, selepas itu, sultan sangat menyesal atas tindakannya yang zalim itu.
 
Adapun arkitek itu membuat pengaduan kepada hakim Istanbul yang terkenal ketegasannya, Syeikh Sori Khadir Jalabi.
 
Hakim membuat keputusan bahawa sultan hendaklah dijatuhkan hukuman qisas dipotong tangannya atau membayar diat (wang dengan jumlah yang dihadkan) cara hukumannya mengikut pilihan pendakwa.
 
Tiba-tiba, orang yang mendakwa tercengang dengan keputusan hakim lalu memilih hukuman bayaran sara hidup kepadanya. Kemudian, Sultan Muhammad al-Fatih menggandakan bayaran sara hidupnya lebih daripada keputusan hakim. [Kisah ini ada dinyatakan oleh Urkhan Muhammad ‘Ali dalam karyanya, Rawai‘ Min al-Tarikh al-‘Uthmaniy, Halaman 49-51]
 
Kisah sejarah di atas membuktikan kedudukan pemerintah adalah di bawah undang-undang. Ia membuktikan bahawa Islam mendahului negara demokrasi Barat dalam melaksanakan konsep pembahagian kuasa dan menegakkan keadilan kepada semua, termasuk terhadap bukan Islam kerana perintah Allah yang mengatasi undang-undang ciptaan manusia.

No comments:

Post a Comment