Sunday 22 October 2023

SELIDIK KEBENARAN BERITA DI MEDIA SOSIAL

 
Awas! Jangan mudah percaya berita yang diterima melalui media sosial. Mungkin anda menerima pesanan dalam media sosial yang meminta agar diteruskan pula kandungan itu kepada kawan-kawan, sedangkan anda tidak pasti akan kebenaran kandungan berita itu.

Penyebaran berita melalui media sosial kini menjadi pilihan banyak pihak yang mengambil kesempatan perkhidmatan yang dianggap murah, cepat, meluas dan mudah. Golongan yang menggunakan telefon pintar dan gajet lain tidak terhad kepada orang dewasa sahaja, bahkan remaja dan pelajar turut terdedah dengan kemudahan teknologi komunikasi pilihan ramai itu.

Penyebaran berita melalui media sosial mudah mendapat perhatian kerana capaiannya meluas. Berita itu mudah dibaca dan jika perlu, terus disebarkan kepada penerima lain.
 
Kelebihan ini sering disalah guna pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita berbaur fitnah, perkauman dan menyentuh sensitiviti agama. Berita seumpama itu mudah mendapat perhatian orang ramai untuk disebarkan kepada penerima lain.
 
Justeru, amat perlu melakukan tabayyun apabila menerima berita dan sebelum menyebarkan sesuatu berita.
 
Tabayyun merupakan perkataan berasal daripada bahasa Arab bermaksud         
menyemak 
asas kebenarannya. Berita atau sebarang maklumat yang diterima seharusnya diteliti dan dipastikan terlebih dahulu kebenarannya dan ketepatan maklumat bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti fitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebenciaan.
 
Perintah untuk “tabayyun” merupakan perintah yang sangat penting agar kita dapat mengelakkan dari berprasangka.
 
Imam al-Syaukani berkata, “Yang dimaksud dengan tabayyun adalah memeriksa dengan teliti dan yang dimaksud dengan tatsabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan kabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.” (Lihat Fath al-Qadir, 5/65)
 
Allah SWT memerintahkan supaya menyelidik serta mendapat kebenaran berita yang disampaikan seseorang. Ini kerana bagi mengelak daripada terjadinya perkara yang tidak diingini berlaku.
 
Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan” (Surah al-Hujurat, ayat 12)
 
Ibn Jarir berkata: Hendaklah kamu tabayyun dengan makna tangguh seketika maklumat atau berita yang sampai kepada kamu sehingga kamu makrifah dan yakin akan kebenarannnya. Jangan sekali-kali kamu gelojoh untuk menerimanya. (Lihat Jami' al-Bayan fi Ta'wil al-Quran, 22/286)
 
Ibn Kathir berkata: Allah perintahkan supaya kita thabitkan dahulu perkhabaran orang fasiq sebagai ihtiyat. Ini kerana supaya seseorang tidak berhukum dengan ucapannya menyebabkan dalam keadaan begitu boleh membawa kepada dusta atau tersilap. (Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 7/370)
 
Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT telah mengajar hambanya supaya beradab mulia dalam soal agama ataupun dunia. Dan berhubung dengan perkara itu, apabila seseorang yang fasik datang memberitahu sesuatu berita yang bertentangan dengan syiar agama. Oleh itu jangan mempercayai beritanya itu melainkan dengan menyelidik serta menelitinya dahulu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 26/126)
 
Syeikh Ali al-Sobuni di dalam tafsirnya menyatakan jika datang kepada kamu seorang lelaki fasiq yang mana ia tidak boleh dipercayai dengan kebenaran dan keadilannnya, dengan apa yang diberitakan, maka hendaklah kamu menyemak akan kesahihan beritanya itu. Ini supaya kamu tidak menghukum atau menuduh sesuatu kaum sedangkan kamu jahil tentang hakikat sebenar. Ketika itu, jadilah kamu menyesal tak sudah atas perbuatan kamu. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 3/216)
 
Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam mentafsirkan ayat di atas menyatakan: Allah SWT menyeru kepada umatnya yang beriman, apabila datang orang fasik menyampaikan berita sebaiknya mencari kebenaran berkenaan dengan berita itu dan janganlah terlalu cepat menghukumnya dan menyebarnya. Ini kerana takut akan keburukan dan perkara yang tidak diingini berlaku di atas keputusan yang salah serta memberi kemudharatan ke atas orang lain. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 26/227)

No comments:

Post a Comment