Wednesday 25 October 2023

TAWAU DIGELAR SERAMBI MEKAH SABAH

 
Tawau salah satu nama bahagian dan juga bandar di Sabah. Bandar Tawau disenaraikan sebagai bandar ketiga terbesar di Sabah selepas Kota Kinabalu dan Sandakan.
 
Penduduk Tawau pada 2020 mencatatkan bilangan lebih 400 ribu orang dan majoritinya beragama Islam. Sebab itu, Tawau dikenali atau digelar sebagai Serambi Mekah Sabah.
 
Masjid Berkubah Hijau atau Masjid al-Kauthar merupakan mercu tanda pembangunan Islam di Tawau. Masjid itu juga dikenali dengan nama Masjid Besar kerana ia bukan sahaja terbesar di Tawau, bahkan adalah masjid terbesar di negeri Sabah.
 
Masjid al-Kauthar mula dibina pada tahun 1997 dan telah siap pada 2002 dengan kos yang menelan belanja hampir RM32 juta. Ia terletak berhampiran kawasan tepi laut menjadikan ia cukup mendamaikan dan menjadi tempat pesinggahan mereka yang melawat Tawau.
 
Masjid al-Kauthar dihubungkan melalui Jalan Traulsen atau Jalan Persisir ke tempat lain di bandar Tawau, mampu menampung sehingga 17 ribu orang jemaah pada satu-satu masa.
 
Masjid-masjid lain yang terdapat di Tawau ialah Masjid Raya yang dibina pada tahun 1972 di tapak masjid lama yang dahulunya dikenali sebagai Masjid Wilis dan sebuah masjid lama yang terletak di tengah bandar Tawau iaitu Masjid Bandar yang dibina pada tahun 1960.
 
Sebagai daerah yang mempunyai kepadatan penduduk beragama Islam yang tinggi, tidak hairan mengapa terdapat banyak masjid yang dibina di sekitar Bandar Tawau. Ketika ini, terdapat lebih kurang 20 buah masjid di sekitar Bandar Tawau yang hanya mengambil kurang 10 minit untuk sampai ke satu-satu masjid.
 
Sebagai daerah paling banyak penduduk Islam, Tawau mencatatkan jumlah pungutan zakat yang tertinggi di Sabah.


No comments:

Post a Comment