Tuesday 31 October 2023

HUKUM UCAP DOA RIP KEPADA BUKAN ISLAM

 
Di kalangan bukan Islam, apabila ada kematian, mereka akan mengucapkan Rest in Peace (RIP). Itu ada satu bentuk ucapan dan doa agar roh si mati berada dalam keadaan aman dan selamat di alam baka.
 
Perlu ditegaskan, seseorang muslim tidak boleh berdoa memohon keampunan bagi orang bukan Islam kerana itu termaktub di dalam nas yang jelas. Ucapan RIP merupakan doa yang dibacakan oleh orang bukan Islam, maka umat Islam dilarang daripada mengucapkannya.
 
Namun Islam sangat menghormati kematian manusia di mana sunah bagi orang Muslim untuk mengucapkan takziah dan ucapan-ucapan yang baik kepada orang bukan Islam.
 
Mengucapkan salam takziah adalah kepada keluarga dan bukan satu doa untuk si mati. Salam takziah adalah tanda simpati kepada keluarga si mati, diharapkan dengan ucapan itu keluarga si mati lebih tenang dan tabah berdepan dengan kehilangan orang tersayang.  
 
Memberi doa keamanan dan ketenangan buat orang bukan Islam yang meninggal dunia adalah dilarang menurut nas. Firman Allah SWT bermaksud: “Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.” (Surah al-Taubah, ayat 113)
 
Menurut Syeikh Wahbah Zuhaili di dalam tafsirnya, para nabi dan orang-orang beriman tidak boleh turut serta dalam urusan memohon keampunan Allah SWT bagi orang-orang yang syirik. Ini kerana konsep keimanan Islam dan kenabian tidak menerima pengampunan orang yang mati dalam keadaan syirik, maka tidak perlu memohon keampunan untuk mereka.
 
Perkara ini termaktub seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’, ayat 116 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukan-Nya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan hukum-hukum-Nya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.”
 
Jelas sekali, Allah telah menyatakan tidak akan sekali-kali mengampunkan dosa orang yang syirik yakni orang kafir, maka mengapa pula kita ingin mendoakan keampunan kepada mereka.
 
Syeikh Ahmad al-Sawi pula mengatakan umat Islam tidak boleh berdoa untuk memohon keampunan bagi orang bukan Islam yang mati dalam keadaan kafir/syirik. Ada pun doa kepada orang bukan Islam yang masih hidup, maka ada perbahasan yang perlu diteliti.
 
Jika tujuan doa tersebut untuk mendoakan agar beliau dikurniakan hidayah Islam atau kebaikan dunia maka ia dibolehkan. Tetapi jika doanya untuk memohon keampunan bagi dosa beliau ketika hidupnya memang dalam keadaan kafir maka tidak diterima doa tersebut. (Lihat: Hasyiyah al-Sawi, 2/159)
 
Para ulama fiqh bersepakat bahawa perbuatan memohon keampunan bagi orang yang mati dalam keadaan bukan islam atau kafir adalah dilarang. Bahkan ada pendapat yang lebih keras mengatakan individu yang memohon keampunan bagi orang kafir juga turut dihukum kafir. Ini kerana ia berlawanan dengan nas yang jelas bahawa Allah SWT tidak akan mengampunkan sesiapa yang berlaku syirik kepada-Nya, ditambah lagi dengan nas bahawa sesiapa yang mati dalam keadaan kafir maka dia akan menjadi ahli neraka.
 
Ada pun bagi orang Islam yang mendoakan orang kafir agar diberi hidayah maka tidak mengapa. Perkara ini dipersetujui oleh ulama mazhab Hanafi dan diizinkan untuk mendoakan hidayah menurut mazhab Hanbali. Sebahagian daripada ulama juga menzahirkan untuk berdoa memohon keampunan kepada bayi dan anak-anak orang kafir, kerana itu termasuk daripada undang-undang di akhirat kelak. (Lihat: Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 4/43)
 
Berdasarkan kepada penjelasan di atas, maka jelas kepada kita bahawa mendoakan orang bukan islam yang mati dalam keadaan syirik adalah tidak wajar dan perlu dielakkan. 

No comments:

Post a Comment