Thursday 2 November 2017

Pemimpin mesti peka kepada keperluan pengikut

Pengikut perlu mematuhi kepemimpinan organisasi. Kepatuhan diperlukan bagi memastikan matlamat organisasi berjaya dicapai.

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang berkuasa) daripada kalangan kamu,” - Surah al-Nisa, ayat 59.  

Kepatuhan pengikut kepemimpinan amat penting. Tanpa kesetiaan, organisasi tidak berfungsi dengan baik. Adalah menjadi tanggungjawab yang dipimpin mentaati dan mengikuti arahan diberikan selagi sesuatu kepemimpinan itu menjalankan tugas dengan penuh amanah dan tidak menyuruh atau melakukan perbuatan atau arahan yang melanggar hukum Islam. 

Ketaatan kepada pemimpin tidak terhad kepada perkara yang disukainya saja, tetapi menyeluruh sama ada perkara itu disukai atau dibenci.

Seseorang pemimpin tidak mungkin dapat memimpin dengan berkesan seandainya ada sekumpulan pengikut atau ahli organisasi yang sentiasa mempunyai pandangan negatif, tidak mempunyai matlamat sealiran dengan pemimpin dan tidak pernah bersetuju dengan pandangan dan pemikirannya.

Maka itu, kejayaan organisasi bergantung kepada ketaatan atau keupayaan pengikut melakukan apa yang diarahkan atau ditetapkan pemimpin.

Keberkesanan kepemimpinan sesebuah organisasi bergantung kepada beberapa faktor, diri pemimpin itu sendiri, situasi dalam organisasi dan faktor yang mempengaruhi kelakuan dan peranan ahli organisasi.

Gaya kepemimpinan yang dipraktikkan ketua mungkin berkesan di dalam sesuatu keadaan dan tidak berkesan di dalam sesuatu keadaan lain. Maka itu pemimpin kreatif menyesuaikan gaya kepimpinan. Paling penting, jangan ego dengan kejayaan menjadi pemimpin di tempat lain. Lain padang lain belalang.

Kepemimpinan yang berkesan sewajarnya peka dan sensitif dengan segala perubahan dalam persekitaran. Seterusnya melengkapkan diri dengan segala ilmu yang dapat membantu untuk mengurus dan menyesuaikan diri dengan segala situasi dan persoalan yang dihadapi.

Pada masa sama mewarnakan diri dengan perhiasan ketakwaan, keilmuan, hikmah dan kebijaksanaan di dalam mentadbir sesuatu organisasi atau syarikat.

No comments:

Post a Comment