Sunday 5 November 2017

Pemimpin punca bencana

Manusia menjadi khalifah di alam ini, menjaga alam semulajadi mengikut peraturan ditetapkan. Jika peraturan hukum alam tidak dipatuhi, maka akan berlaku bencana yang mendatangkan kerugian dan kesusuahan kepada masyarakat yang berada di tempat itu, tidak kira orang beriman atau kafir. Tidak kira sama ada orang itu punca berlaku bencana atau sekadar menjadi mangsa.

Bencana adalah teguran Allah kepada orang-orang beriman agar tidak berterusan melakukan amalan menyebabkan boleh berlaku bencana. Usaha mengelak bencana antara lain menghalang orang yang bertanggungjawab daripada terus melakukan perbuatan punca bencana.

Jika orang itu adalah penguasa atau pemimpin, dia tidak layak untuk terus memegang tampuk pemerintahan jika berterusan melakukan perbuatan punca jadi bencana. Ada pemimpin tidak peduli meluluskan projek yang memberi kesan buruk kepada alam sekitar. Mereka mementingkan keuntungan kroni dan pihak tertentu dalam meluluskan projek tanpa memperdulikan kesan buruk projek yang dijalankan.

Ingatlah, Allah boleh menghantar apa saja peingatan atau pembalasan dalam apa juga bentuk seperti tanah runtuh, banjir, ribut dan sebagainya. Itu semua sebagai peringatan agar kita tidak terus melakukan perbuatan mengundang bahaya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Telah nampak kerosakan didarat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). (Surah ar-Rum, ayat 41).  

Adapun bagi kita semua, rentetan musibah yang terjadi hendaklah menjadi tazkirah (pengingat) bahawa bencana tersebut dapat terjadi di tempat kita jika Allah SWT menghendaki.

Berdoa, bertaqarrub dan beristighfar semoga Allah SWT selalu menganugerahkan keselamatan dan keampunan bagi kita semua. Bencana itu mengingatkan kita agar kembali kepada jalan diredai.   

Apabila berlaku bencana, hendaklah yang menjadi mangsa dibantu tanpa mengira agama dan bangsa. Sesiapa saja dalam kesusahan wajib dibantu. Ketika bencana bukan masa sesuai untuk menunding jari siapa yang bersalah. Hulurkan bantuan segera sehingga semua kembali sediakala. Selepas itu baru fikir untuk perbaiki agar perbuatan itu tidak berulang.

Jika kita tidak insaf dan masih meneruskan perbuatan ditegah biarpun telah diberi peringatan, maka tunggulah balasan dari Allah yang lebih besar.

Sedarlah bahawa selalu ada hikmah di balik setiap kejadian yang tampak mengerikan. Sesungguhnya, bencana merupakan ujian bagi umat Islam.

No comments:

Post a Comment