Sunday 5 November 2017

Wajib keluar zakat

Tunai atau bayar zakat termasuk Rukun Islam. Sesiapa tidak menunaikan zakat sedangkan dia layak atau termasuk golongan wajib keluar zakat setelah memenuhi syarat ditetapkan, maka tahap iman belum sempurna.

Yakinlah dengan janji Allah SWT bahawa mereka yang menunaikannya akan menerima pelbagai ganjaran di dunia dan akhirat kelak. Zakat tidak akan mengurangkan harta yang dimiliki kerana Allah akan menggantikan dengan yang lebih baik. Kebaikan itu dari segi pertambahan harta, keberkatan, kesihatan, kegembiraan dan sebagainya.

Sifat terlalu cintakan harta dunia ini perlu dikikis kerana ia mendorong kita bersifat bakhil, tamak, dan tidak prihatin bagi membantu saudara seagama yang dalam kesusahan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah at-Taubah, ayat 103).

Umat  Islam perlu lebih serius dalam menunaikan ibadat zakat kerana ia adalah perintah Allah SWT yang difardukan terhadap orang Islam yang cukup syarat.

Di dalam al-Quran ada tiga perintah Allah SWT yang berangkai dan perlu bergerak seiring iaitu tunaikan zakat dan dirikan solat. Kedua, mentaati Allah SWT dan rasul, ketiga berterima kasih kepada-Nya serta kedua orang tua.

Jadi, jika kita menunaikan solat tetapi tidak berzakat, maka sia-sialah amalan yang kita laksanakan.

Pandangan zakat hanya perlu ditunaikan oleh golongan kaya adalah tidak benar kerana setiap individu Muslim yang mencukupi syarat wajib berzakat mesti melaksanakan kewajipan itu.

Harta yang tidak dikeluarkan zakat dalam keadaan kotor dan tidak subur kerana ada hak milik orang lain yang sepatutnya mendapat atau menerima zakat itu.

Selain menunaikan tanggungjawab yang diwajibkan oleh syarak, umat Islam perlu memahamai falsafah zakat yang bertujuan mendidik mereka menjadi hamba yang bersyukur.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras." (Surah Ibrahim, ayat 7)

Antara manifestasi kesyukuran yang boleh ditunjukkan seorang hamba terhadap nikmat kurniaan yang diberikan Allah SWT kepada mereka ialah dengan melaksanakan tuntutan membayar zakat kepada pihak yang mempunyai bidang kuasa.

No comments:

Post a Comment