Saturday 4 November 2017

Fikir Mat Jenin

Penjajah bukan saja menjajah secara fizikal, tetapi juga minda rakyat yang dijajah. Tanpa disedari, kita masih dijajah secara minda biarpun telah merdeka dalam konsep sebuah negara.

Pada zaman penjajahan dulu, rakyat diceritakan dengan pelbagai kisah dongan seperti Angan Mat Jenin, Lebai Malang, Pak Kadok dan sebagainya. Kisah itu diceritakan dalam bentuk jenaka, tetapi mempunyai nilai sindiran amat berkesan.

Dulu kita melihat cerita dongang sebagai pengajaran. Namun, jika diperhalusi, ia dalam satu bentuk serangan pemikiran amat berkesan. Kita lihat bagaimana kisah Angan Mat Jenin yang sebenarnya lebih kepada 'menakut-nakutkan' kita jangan berfikir di luar kotak biasa.

Jalan ceritanya menarik dengan kisah Mat Jenin yang bekerja mengambil upah memajat pokok kelapa. Dia berangan merancang bagaimana mengguna dan mengembangkan upah yang bakal diterima.

Cara Mat Jenin berfikir perlu dipraktikkan untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Nasib kita boleh diubah jika kita berfikir dan melakukan sesuatu yang betul. Buka betul-betul fikiran dan pandangan kita jauh ke hadapan. 

Perancangan itu baik dan lojik sehingga berjaya. Namun, dia digambarkan mendapat kesan buruk akibat perancangan itu. Apa dialami Mat Jenin dalam kisah diceritakan turun temurun itu menghalang untuk kita mempraktiskan pemikiran lojik. Kita diperli jika ada angan-angan yang 'besar' dan 'hebat'.

Nasib malang Mat Jenin selalu dijadikan bahan jenaka atau sindiran untuk dijadikan nasihat kepada mereka berkhayal hidup senang dan kaya. Masyarakat kita naik marah jika digelar Mat Jenin kerana panggilan itu melambangkan sikap kuat berangan-angan. 

Cerita Mat Jenin rekaan penjajah Inggeris untuk menghalang pemikiran rakyat untuk bangkit membela kedudukan bangsa sendiri. Cerita yang seakan-akan Mat Jenin turut menjadi cerita popular di negara-negara yang pernah menjadi tanah jajahan Inggeris.  

Mat Jenin sepatutnya dianggap ahli fikir dan perancang yang patut dicontohi. Dia tidak mimpikan kekayaan dengan mudah. Sebaliknya dia berusaha dari peringkat rendah dan setiap peringkat perancangannya boleh diterima akal. 

Peribahasa ‘angan-angan Mat Jenin’ perlu ditukarkan kepada ‘fikir-fikir Mat Jenin’, sesuai dengan prospektif baru yang diberikan kepada cerita Mat Jenin. Fikir-fikir Mat Jenin bermaksud, orang yang berfikiran serius dan lojik atau menunjukkan orang yang bersemangat tinggi dan kuat bekerja untuk mencapai kejayaan. 

Semoga pemikiran kita tidak dijajah lagi.

No comments:

Post a Comment