Saturday 4 November 2017

Nilai positif Mat Jenin

Kebanyakan kita tidak faham maksud angan-angan sebenarnya. Berangan-angan dianggap negatif. Sedangkan maksud ‘angan’ mengikut Kamus Dewan ialah fikiran, ingatan, menungan. Perkataan imbuhan ‘berangan-angan’ bermaksud mempunyai angan-angan (cita-cita, ingatan, keinginan).

Jadi, jika ada orang berkata ‘berangan-angan’, itu satu ungkapan yang amat baik. Biasanya kita ketawa jika orang berangan-angan. Bahkan, kita sentiasa mengingatkan orang lain agar jangan berangan.

Kita perlu berfikir dan mengkaji sesuatu perkara untuk mencari kebenarannya. Jangan sekali-kali mudah menerima bulat-bulat sesuatu yang sudan menjadi kebiasaan, sedangkan belum tentu betul lagi.

Angan-angan yang diikuti dengan usaha adalah tindakan orang bijak. Perancangan yang hendak dilakukan hendaklah mengikut tingkat lojik.  

Inilah dilakukan Mat Jenin dengan memanjat pokok kelapa sebagai permulaan untuk mencapai cita-citanya. Sebenarnya Mat Jenin bijak dan perancang yang menjadikan kenyataan. 

Cara Mat Jenin berfikir perlu dipraktikkan untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Nasib kita boleh diubah jika kita berfikir dan melakukan sesuatu yang betul. Buka betul-betul fikiran dan pandangan kita jauh ke hadapan. 

Sepatutnya, peribahasa ‘angan-angan Mat Jenin’ perlu ditukarkan kepada ‘fikir-fikir Mat Jenin’, sesuai dengan prospektif baru yang diberikan kepada cerita Mat Jenin. Fikir-fikir Mat Jenin bermaksud, orang yang berfikiran serius dan lojik atau menunjukkan orang yang bersemangat tinggi dan kuat bekerja untuk mencapai kejayaan. 

Kamus Dewan perlu ‘memadamkan’ huraian maksud ‘angan Mat Jenin’ yang bermaksud harapan (atau mengharapkan sesuatu) yang mustahil. Sebaliknya perkataan baru perlu ditambah dalam Kamus Dewan iaitu ‘fikir Mat Jenin’ yang bermaksud sesuatu yang difikirkan secara bersistematik dan diikuti dengan usaha yang wajar. 

Dengan pertukaran itu tentu ramai berbangga dipanggil Mat Jenin, bukan seperti sekarang yang gelaran itu menyebabkan rasa marah dan tidak senang. Penukaran peribahasa  Mat Jenin boleh dilakukan dengan mudah kerana  tidak perlu dibawa untuk dibahaskan di Parlimen atau Dewan Negara. 

Tambahan cerita itu hanya rekaan semata-mata dan tidak kena mengena dengan orang masih hidup atau sudah mati. Bahkan, pengarang cerita itu juga tidak diketahui. Jadi, tidak timbul soal hak cipta untuk menukar plot cerita itu. 

Perkara ini sebenarnya bukan perkara baru. Dahulu di Kedah pernah ditubuhkan Kelab Mat Jenin yang antara lain bertujuan menggalakkan ahlinya mempunyai cita-cita tinggi dan bersemangat melakukan sesuatu.        

Tindakan ini mengubah ‘nasib’ Mat Jenin yang sepanjang zaman dipandang serong oleh bangsanya sendiri. Kita sepatutnya berbangga digelar Mat Jenin. Mat Jenin mengajar anak bangsa cara berfikir bagaimana hendak berjaya.   

Dengan pertukaran peribahasa Mat Jenin kepada maksud positif, diharapkan dapat memulihkan maruah bangsa Malayu yang dianggap suka berangan-angan dan malas bekerja. 

No comments:

Post a Comment