Saturday 4 November 2017

Mat Jenin pemuda berfikiran positif

Orang kuat berangan dipanggil Mat Jenin melambangkan sekadar kuat berangan-angan yang tidak dapat ditunaikan. Peribahasa 'angan-angan Mat Jenin' diambil dari kisah penglipurlara bertajuk Mat Jenin. 

Sebenarnya ada pengajaran atau nilai baik berkaitan kisah Mat Jenin jika dilihat dari sudut positif. 

Mat Jenin digambarkan sebagai pemuda yang rajin. Dia sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan asalkan mendatangkan rezeki. Kerja yang sering dilakukan oleh Mat Jenin ialah sebagai pemanjat pokok kelapa untuk menyara hidupnya sebatang kara.  

Sebenarnya, jika dihalusi cerita Mat Jenin, ada unsur yang sepatutnya dijadikan contoh. Untuk melihat kebaikan atau contoh baik sikap Mat Jenin, di sini diperturunkan sebahagian cerita ‘Angan-angan Mat Jenin’ yang biasa diceritakan. 

Dikisahkan, sambil memanjat pokok kelapa, Mat Jenin berangan-angan apa akan dibuat dengan upah yang diterima, “.... duitnya aku akan gunakan untuk membeli telur ayam.

Telur ayam itu akan diramkan untuk mendapatkan anaknya. Anak ayam-ayam itu akan membesar dan membiak. Lepas itu aku akan menjualnya untuk membeli kambing pula...’

Begitulah angan-angan Mat Jenin ketika sedang memanjat pokok kelapa sehinggalah dia menjadi kaya dan berkahwin dengan anak raja. Tetapi dia mati terjatuh dari atas pokok kelapa kerana terlepas pegang pelepah kelapa disebabkan tidak tahan geli digeletek isterinya.

Permulaan cerita cukup bermakna menunjukkan sikap seorang anak muda yang mempunyai rancangan teliti untuk menjadi kaya. Dia tidak hanya berangan-angan duduk di bawah pokok, sebaliknya dia memanjat pokok kelapa untuk mencapai impiannya.

Mat Jenin sepatutnya dianggap ahli fikir dan perancang yang patut dicontohi. Dia tidak mimpikan kekayaan dengan mudah. Sebaliknya dia berusaha dari peringkat rendah dan setiap peringkat perancangannya boleh diterima akal. 

Upah memanjat pokok kelapa sememangnya kecil, tetapi cukup untuk membeli beberapa biji telur ayam untuk diramkan. Itu satu akal dan perkiraan bijak.

Jika Mat Jenin tidak bijak, tentu angan-angannya tersasul kepada perkara tidak lojik, seperti berkahwin dengan anak raja dengan hasil upah memanjat pokok kelapa itu. 

Mat Jenin membuat perancangan baik. Memikir secara lojik apa yang perlu dilakukan. Dia tidak terburu-buru dan mengharapkan sesuatu tanpa berusaha. Dia berkerja sambil merancang untuk mendapat lebih baik lagi. 

Dalam cerita itu disebut Mat Jenin berangan-angan. Kononnya perbuatan itu sia-sia sahaja. Itulah sikapnya kita. Bila disebut angan-angan, maka dikatakan kosong. 

No comments:

Post a Comment