Saturday 4 November 2017

Pak Haji Tok Imam merokok

Amat malang sekali perbuatan merokok dilakukan di kalangan mereka yang layak dipanggil ustaz, haji, imam dan ulama. Mereka mementingkan soal dosa dan pahala dalam perkara lain, tetapi mengabaikan soal dosa perbuatan merokok. 

Perbuatan mereka merokok secara terbuka dijadikan hujah oleh golongan muda bahawa perbuatan itu tidak berdosa kerana jika berdosa sudah pasti ustaz dan pak imam tidak akan merokok.

Islam dengan tegas melarang perbuatan mendatangkan keburukan. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa, ayat ke 2 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cuba menukarkan yang baik-baik dengan yang buruk-buruk.”

Manakala firman Allah SWT lagi yang bermaksud: “Dan Dia (Allah) telah menghalalkan bagi kamu segala yang baik-baik dan mengharamkan ke atas kamu segala yang buruk-buruk.” (Surah al-Aaraf, ayat 157)

Lanjutan itu, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan ke 37 pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa merokok adalah perbuatan haram di sisi agama Islam. Perbuatan itu wajib dijauhi setiap orang Islam.

Jadi, anggapan kebanyakan perokok mengatakan perbuatan itu sekadar makruh adalah tidak benar. Hukum makruh digunakan oleh ulama dahulu memandangkan perbuatan merokok pada itu belum disahkan sebagai punca penyakit berbahaya dan jenis rokok pada ketika itu berbeza pada masa sekarang.

Sesuatu amalan mendatangkan keburukan amat disukai oleh syaitan dan sentiasa mempengaruhi manusia agar terus menerus melakukannya.

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam ajaran Islam dengan sepenuhnya. Janganlah kamu menuruti langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata.” (Surah al-Baqarah, ayat 208).

Ingatlah, rezeki yang diperoleh hendaklah digunakan untuk kebaikan. Mengapa kita begitu berkira untuk menghulurkan derma atau sedekah kepada orang lain, tetapi tidak merasa rugi untuk membakar wang melalui rokok. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya saja kamu beriman.” (Surah al-Maidah, ayat 88). 

No comments:

Post a Comment