Wednesday 25 July 2018

Hadis berfungsi menjelas hukum

Para ulama membahagikan kepada enam cara yang berbeza untuk menjelaskan kaedah peranan sunah dalam menerangkan hukum dalam al-Quran.

Memperkuatkan dan memperkukuhkan hukum yang ada dalam al-Quran. Biarpun hujah dan hukum dalam telah kuat dan tidak diragui, namun adalah lebih elok lagi jika ada 'pengukuhan' dari sunah. Ia secara tidak langsung menunjukkan betapa perkara itu penting. Contohnya, pengharaman mengambil harta secara batil yang terdapat di dalam ayat 29 surah an-Nisa, diperjelaskan pula oleh hadis yang bermaksud: "tiada halal harta seseorang Muslim itu melainkan dengan keredaan dan persetujuan daripadanya."

Menjelaskan hukum yang umum. Dalam al-Quran memerintahkan agar orang Islam menunaikan sembahyang, haji dan sebagainya, tetapi tidak dijelaskan bagaimana cara melaksanakannya. Maka itu, sunahlah yang mejelaskan atau menunjukkan bagaimana ibadat itu perlu dilaksanakan. 

Apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah adalah lengkap dan dijadikan rukun dalam melaksanakan ibadat-ibadat berkenaan. Tanpa pertunjukan praktikal oleh Rasulullah, akan wujud pelbagai tafsiran apa yang perlu dilakukan. Keadaan itu akan menyebabkan kecelaruan dalam praktikalnya. Tetapi, dengan adanya hadith, kita dapat melihat seluruh umat Islam melakukan perkara yang sama untuk maksud dan tujuan ibadat yang sama. 

Mengkhususkan hukum am. Banyak ayat al-Quran menjelaskan sesuatu secara umum atau am yang sukar difahami. Contohnya ayat berkaitan pengharaman memakan bangkai di dalam surah al-Maidah, ayat 3. Sedangkan hakikat yang diamalkan umat Islam ialah bangkai hidupan laut dapat dimakan seperti ikan. Ini berdasarkan hadis yang bermaksud: "Laut itu suci airnya, halal bangkainya." Tentunya kita diharamkan makan bangkai hidupan laut jika tanpa adanya hadis.

Mentaqyidkan hukum yang mutlak. Terdapat hukum mutlaq dalam al-Quran yang memerlukan taqyid dari Rasulullah.Contohnya berkaitan hukuman potong tangan terhadap pencuri. Hukum itu jelas bahawa hukuman terhadap pencuri adalah potong tangan, tetapi tidak dijelaskan di bahagian mana atau setakat mana. Maka dijelaskan Rasulullah bahawa hukum itu dilaksanakan dengan memotong di bahagian pergelangan tangan.    

Menerangkan pemusnahan ayat-ayat al-Quran. Sunnah adalah sumber menerangkan pemusnahan hukum yang telah berlaku sesama ayat-ayat al-Quran atau ia sendiri (sunah mutawatirah) berperanan memansuhkan sesetengah hukum ayat al-Quran. Contohnya dalam ayat 180 surah al-Baqarah Allah telah mengharuskan wasiat kepada ibu bapa dan kerabat sebelum mati. Namun hukum itu telah dimansuhkan dengan hadis Rasulullah yang bermaksud: "Tiada wasiat bagi penerima harta pusaka."

Menyatakan hukum yang baru. Sunah menjelaskan mengenai hukum yang tidak dijelaskan dalam al-Quran. Contoh hukum itu ialah berkaitan kewajipan menunaikan zakat fitrah. Tiada ayat al-Quran menyatakan tentang zakat fitrah. Apa yang dijelaskan dalam al-Quran hanya terhadap kepada zakat berkaitan harta.

No comments:

Post a Comment