Wednesday 25 July 2018

Autoriti sunah sebagai sumber hukum

Keautoritian sunah sebagai sumber hukum boleh difahami daripada ayat-ayat al-Quran, ijmak dan lojik. Perkara ini jelas dan tidak ada keraguan mengenainya. 

Penegasan dalam al-Quran. Dalam al-Quran terdapat ayat menyatakan tanggungjawab Nabi Muhammad SAW menjelaskan kepada manusia mengenai sesuatu perkara. Firman Allah SWT dalam surah an-Nahal, ayat 44 yang bermaksud: "Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran supaya kamu menerangkan kepda umat manusia akan apa yang telah diturukan kepada mereka."

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah serta amalkan dan apa yang dilarangnya bagimu tinggalkanlah." (surah al-Hasyr, ayat 7).

Kedua-dua ayat itu menjelaskan tentang keautoritian sunnah, perakuan yang dijelaskan dalam al-Quran tidak boleh dipertikaikan. 

Seperti sedia maklum, perintah atau hukum dalam al-Quran tidak dijelaskan secara sepenuhnya, terutama dalam hal yang memerlukan perlakuan sebagai syaratnya. Contohnya, dalam melaksanakan arahan menunaikan sembahyang. Hukum yang dinyatakan dalam al-Quran hanya menyebut mengenai perintah mengerjakan sembahyang, tidak lebih dari itu. 

Justeru, tanpa penjelasan daripada Nabi Muhammad bagaimana kita boleh melakukan sembahayang itu, dari pergerakan, bacaan, tempoh masa dan sebagainya. Dengan kata lain, sesiapa yang bersembahayang seperti mana apa yang dilakukan sekarang, sebenarnya telah mengiktiraf sunnah sebagai sumber hukum.

Perhatikan pula ayat ke 3 surah al-Maidah yang bermaksud: "Diharamkan ke atas kamu bangkai dan darah." Tanpa penjelasan dari Nabi Muhammad, tentulah kita tidak dapat makan hidupan air dan hidup kecil yang tidak dapat disembelih. Namun, kekeliruan itu dijelaskan oleh Nabi Muhammad melalui hadith yang bermaksud: "Dihalalkan untuk kami ikan dan belalang."

Dengan kata lain, tanpa adanya hadith, sukar untuk melaksanakan apa yang tercatat dalam al-Quran. Cuba kita bayangkan, bagaimanakah hendak memahami al-Quran jika tanpa bersandarkan kepada hadis yang menjelaskan perkara-perkara itu.

Dakwaan golongan anti hadis bahawa al-Quran telah lengkap, seperti mana firman Allah dalam surah al-Anam ayat 38 tidak boleh dijadikan hujah untuk menolak hadis. Maksud ayat itu; "Dan kami tidak alpakan sesuatu pun di dalam al-Kitab." Yang dimaksudkan tidak 'alpakan sesuatu pun' bermakna ajaran Islam lengkap dalam segenap aspek kehidupan, tetapi tidak pula 'lengkap' dalam menunjukkan secara praktikal. Pelaksanaan sesuatu ibadat mesti tepat dan betul. Ia tidak boleh agak-agak. Justeru itu perlu kepada orang yang diutuskan khusus, iaitu Nabi Muhammad untuk menunjukkan secara praktikal.   

Keistimewan peribadi Rasulullah. Nabi Muhammad diutuskan oleh Allah untuk menyeru manusia mentauhid-Nya dan menunjukkan panduan hidup yang sempurna. 
           
Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 bermaksud: "Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat."

Nabi Muhammad tidak akan melakukan atau berkata-kata melainkan itu adalah perkara yang mendatangkan kebaikan yang diperinthkan oleh Allah. Baginda tidak ada kepentingan peribadi atau untuk keluarga. Baginda bercakap perkara yang benar biarpun pahit untuk diungkapkan. 

Sifat mulia Rasulullah diamalkan sejak kecil lagi hingga meningkat remaja dan seterusnya diangkat menjadi pesuruh-Nya ketika usia menginjak 40 tahun. Di kalangan orang kafir Quraiys mengiktiraf kejujuran Rasulullah dan digelar al-Amin. Mereka menerima semua kata-kata atau ucapan Nabi Muhammad, kecuali berkaitan seruan agar meninggalkan agama asal mereka.

Maka, sesiapa yang menolak sunnah, sikap mereka tidak ubah seperti kafir Quraiys. Mana mungkin kita hanya memilih al-Quran dan menolak sunnah, sedangkan jelas bahawa apa yang dilakukan oleh Rasulullah adalah sepertimana yang diperintahkan oleh Allah.
  
Perintah Allah agar mentaati Rasulullah. Allah dengan jelas mengarahkan agar manusia mentaati dan menuruti arahan Rasulullah. Arahan ini terkandung dalam firman-Nya yang bermaksud: "Katakanlah: Taati Allah dan Rasul, jika kamu berpaling sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir." (Surah Ali Imran, ayat 32).
           
Perintah itu termasuk dalam segala hal, kerana tidak ada penjelasan bahawa yang perlu taat dan patuh itu hanya dalam soal-soal tertentu. Jika ada pengecualian dalam mentaati Nabi Muhammad, maka sudah pasti ada ayat lain yang menjelaskan perkara itu. 

Sesungguhnya akhlak Nabi Muhammad adalah berpandukan al-Quran dan panduan secara langsung dari Allah. Jadi, tidak mungkin Allah 'membenar' Nabi Muhammad melakukan sesuatu ikut sesuka hati saja.  

Bahkan dalam al-Quran dijelaskan teguran langsung Allah terhadap Nabi Muhammad dalam perkara tertentu. Ini membuktikan betapa Allah
membimbing Nabi Muhmmad secara langsung dalam menentukan sesuatu perkara hukum.

Perjuangan golongan anti hadith hanya ingin menggunakan al-Quran sebagai sumber hukum sebenarnya terang-terang menolak 'hukum' yang telah diarahkan oleh Allah agar mentaati Rasulullah. Mereka tidak mentaati Nabi Muhammad, yakni tidak mahu menerima hadis, bermakna mereka tidak mengikut al-Quran. 

Penjelasan ijmak.  Ijmak bermaksud "persepakatan para ulama mujtahidin dari kalangan umat Islam pada bila-bila masa selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW atas sesuatu hukum syarak."

Para ulamak telah memutuskan perlunya hadith dalam menentukan dan menjelaskan soal hukum agama. Hukum agama akan 'tergantung' tidak ada panduan untuk dilakukan jika tidak ada hadith yang menjelaskan mengenainya.  

Sudah ijmak umat Islam sepanjang zaman merujuk kepada sunnah atas sifatnya sebagai sumber hukum syarak bersama al-Quran. Ulama sepanjang zaman telah berpegang kepada kaedah ini. Sedangkan gerakan anti hadith baru saja timbul. Dalam apa jua kaedah, keputusan banyak itu betul berbanding yang sedikit.   

Berdasarkan lojik. Lojik akal tentu dapat menerima hakikat bahawa sunnah diperlukan dalam menjelaskan hukum. Cuba fikirkan, apa yang dapat dilakukan jika hanya berpandukan kepada al-Quran semata-mata. Setiap perkara memerlukan kepada penjelasan dan penambahan maklumat untuk membolehkan sesuatu difahami dan diamalkan. 

Al-Quran tidak dapat berkata-kata atau menjelaskan sendiri sebarang permasalahan yang dihadapi. Maka itu perlu ada orang yang arif atau diberi kuasa untuk menjelaskannya. Maka, Nabi Muhammad adalah orang yang dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk melaksanakan tugas itu. 

Sebab itu, ayat-ayat al-Quran tidak lagi diturunkan selepas kewafatan Nabi Muhmmad kerana satu-satunya insan yang layak untuk menerima dan seterusnya menjelaskannya kepada manusia menganai sesuatu ayat itu hanyalah Rasulullah. 

Golongan anti hadis perlu menggunakan kebijaksanaan akal lojik dan membuat keputusan berpandukan kepada kebenaran.Golongan ini menunaikan sembahyang berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah, bukan berpandukan al-Quran. Al-Quran hanya menjelaskan hukum menyuruh menunaikan sembahyang.  

No comments:

Post a Comment