Wednesday 25 July 2018

Peranan hadis jelas hukum

Sunah mempunyai peranan penting untuk menerangkan hukum kepada manusia. Perlunya sunah untuk tujuan itu bukan bermakna al-Quran tidak lengkap. Umpama benda yang berpasang, tidak lengkap keupayaan sesuatu itu tanpa adanya pasangnya untuk membolehkan perlaksanaan peranannya. Contohnya, sebelah kaki yang sempurna tidak dapat berjalan dengan baik jika tidak ada satu lagi kaki yang juga sempurna.

Biarpun hadis tidak ditulis pada zaman Rasulullah dan hanya dikumpulkan serta dibukukan selepas kewafatan baginda, keaslian atau ketepatan hadis tidak dapat diragui. 

Perawi dan pengumpul hadis melaksanakan tugas mereka dengan penuh teliti. Mereka mengumpul dan menyaring hadis melibatkan disiplin yang tinggi. Sebab itu, terdapt kategori hadis mutawatir dan ahad. Serta kategori ketika iaitu hadis mawdhu, iaitu sesuatu yang direka-reka oleh pihak tertentu.

Alasan pihak anti hadis mengatakan mudah berlaku kesilapan atau ketinggalan dalam penulisan hadis, hanya satu andaian. Pakar hadis telah melakukan tugas penuh teliti dan melalui proses ketetapan tertentu menentukan sama ada sesuatu bentuk hadis boleh diamalkan atau sebaliknya.

Jika kita mempelajari dan mengkaji bagaimana sesebuah hadis itu melalui proses ketat sebelum disahkan sebagai hadith sahih, kita pasti tidak akan menolak kebenaran hadis seperti dilakukan oleh golongan anti hadis. Himpunan Sahih Bukhari sebanyak 7,563 adalah disaring dan dipilih serta diakui kesahihannya daripada jumlah asal kira-kira 600 ribu. Proses pengumpulannya mengambil masa kira-kira 16 tahun.

Justeru, sebagai muslim yang mengaku Nabi Muhammad itu Pesuruh-Nya, jangan kita ragu-ragu untuk berpegang pada hakikat bahawa sunnah adalah sebahagian sumber hukum Islam yang perlu diyakini. 

Para ulama sepakat mengatakan hadis sahih adalah wajib beramal dengannya dalam perkara akidah, ibadat, muamalat dan hukum hakam yang lain.   

No comments:

Post a Comment