Tuesday 21 August 2018

Maksud Akuan Bersumpah Berkanun

Apa itu akuan bersumpah? Mengapa seseorang membuat akuan bersumpah? Akuan bersumpah atau akuan berkanun adalah pengakuan bersumpah yang kandungan faktanya diketahui benar oleh orang yang mengikrarkan dan dibuat mengikut Akuan Berkanun 1960 (Pindaan 1969).

Seseorang yang mengikrarkan akuan bersumpah mesti bertanggungjawab sepenuhnya atas kandungan berkenaan.

Mana-mana hakim Mahkamah Seksyen, Majistret, Pesuruhjaya Sumpah atau tertakluk kepada Seksyen 4 Akta Notari Awam 1959 (Akta 115) adalah sah untuk mengambil dan menerima akuan bersumpah daripada seseorang yang membuat akuan itu dengan sukarela dalam bahasa Melayu atau bahasa Iggeris mengikut borang akuan.

Akuan bersumpah adalah dokumen yang mengandungi keterangan yang diberi di bawah ikrar.  Semua keterangan bersumpah tidak boleh ditarik balik. Bagaimanapun dalam keadaan tertentu, akuan itu boleh diselitkan tambahan atau pembetulan.

Sesiapa yang membuat apa-apa akuan sumpah menurut peruntukan Akta Akuan Berkanun 1960, hendaklah membayar sejumlah fee kepada pihak yang mengambil akuan itu sebagaimana yang ditetapkan dari semasa ke semasa oleh menteri melalui pemberitahuan dalam Warta.

Sekiranya akuan bersumpah yang dibuat didapati palsu setelah siasatan dijalankan, maka orang yang membuat akuan bersumpah itu boleh didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 199 dan 200 Akta 574 Kanun Keseksaan . Hakim akan membuat keputusan sama ada perakuan yang dibuat itu benar atau palsu berdasarkan bukti dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Jika didapati bersalah, hukuman yang diperuntukkan di bawah seksyen itu adalah penjara maksimum tujuh tahun dan denda. Bagaimanapun hukuman itu hanya berkaitan jika akuan bersumpah itu dibuat bertujuan untuk digunakan sebagai keterangan di mahkamah. 

Sebaliknya, sekiranya akuan bersumpah itu bertujuan digunakan untuk tujuan lain (selain daripada keterangan di mahkamah) orang yang membuat akuan bersumpah itu boleh dipenjara tiga tahun dan dikenakan denda jika didapati akuan itu palsu.

Justeru, orang ingin membuat akuan bersumpah perlu yakin pasti bahawa apa yang ingin disumpahkan itu adalah benar dan tidak boleh ditarik balik. Jangan jadi mangsa diperalatkan oleh pihak lain yang 'memaksa' membuat akuan bersumpah untuk kepentingan pihak lain.

Besar padahnya apabila kandungna akuan bersumpah dipersoal dan dibawah ke mahkamah untuk menentukan kebenarannya. Perkara ini terjadi jika akuan bersumpah itu memberi kesan buruk kepada individu lain. 

No comments:

Post a Comment