Tuesday 21 August 2018

Rakyat Kelantan tidak pandang pembangunan fizikal

Ketika diperintah oleh PAS dari tahun 1959 hingga 1978, Kelantan jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain. Kadar kemiskinan dan tahap pembangunan yang rendah mewarnai setiap ruang kehidupan rakyat Kelantan. Negeri Kelantan menjadi negeri termiskin di Malaysia ketika era pemerintahan PAS.

Namun setelah Barisan Nasional (BN) diberi kepercayaan memerintah Kelantan selepas pilihan raya negeri (PRN) 1978, Kelantan mula mendapat sinar kemajuan dan rakyat mengalami perubahan nasib.   

Pembangunan fizikal negeri amat ketara berubah seperti pembinaan jalan raya di seluruh genap ceruk negeri, pembukaan tapak perindustrian, pembangunan bandar baru, pembinaan sekolah, hospital, pejabat kerajaan dan sebagainya.

Hasil usaha gigih kerajaan BN memajukan Kelantan agar rakyat mendapat taraf kahidupan lebih selesa dan maju berjaya meletakkan Kelantan di atas landasan yang betul. Pada tahun 80an, Kelantan mula menikmati segala kemajuan sepertimana dinikmati di negeri-negeri lain yang diperintah oleh BN. 

Selain itu tidak ketinggalan soal pembangunan kerohanian. Kerajaan BN mendirikan lebih banyak masjid dan membaik pulih yang sudah rosak. Rakyat dapat melakukan ibadat dan aktiviti keagamaan dengan lebih selesa. 

Selain itu Kompleks Balai Islam di Lundang yang menempatkan bangunan Jabatan Agama Islam Kelantan (JAIK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta sebuah dewan serba indah dan canggih menjadi bukti kesungguhan kerajaan BN meningkatkan syiar Islam di Kelantan sesuai dengan gelaran Serambi Mekah yang diberikan kepada Kelantan.

Namun rakyat Kelantan tidak menghargai segala apa yang dilakukan oleh kerajaan BN sepanjang 12 tahun apabila rakyat Kelantan kembali memilih PAS pada tahun 1990.  

Sekiranya Kelantan terus diperintah oleh BN, sudah pasti Kelantan sekarang telah menikmati kemajuan lebih baik. Perancangan jangka panjang kerajaan BN memajukan Kelantan terhenti sekerat jalan setelah rakyat menolak BN.

Apa yang berjaya dilakukan oleh PAS selama memerintah Kelantan? Negeri Kelantan kini semakin mengalami masalah pentadbiran dan kewangan sehingga kepincangannya ketara kelihatan di mana-mana.

Masalah air di Kelantan terus diperkatakan. Bekalan air untuk kegunaan domestik tidak dapat memenuhi keperluan semasa penduduk. Selepas diperintah PAS, bakalan air yang mampu disalurkan ke rumah-rumah berkurangan dan mutu air yang dirawat juga tidak memuaskan. Masalah air paip kelodak, berkarat dan tidak mencukupi sudah perkara biasa di Kelantan.

Setelah bosan dengan mutu perkhidmatan Air Kelantan, ramai penduduk mengambil keputusan menggali telaga di rumah masing-masing. Bagi penduduk di kampung, amalan itu satu kebiasaan, tetapi tentulah janggal dan menyalahi peraturan bagi penduduk mendiami taman perumahan. 

Masalah kebersihan di bandar-bandar utama di Kelantan amat memalukan. Sebagai negeri yang mendakwa diperintah berdasarkan syariat Islam, tetapi gagal merealisasikan ajaran agama menjadi satu perkara amat memalukan. Islam mengajar umatnya menjaga kebersihan, tetapi kerajaan PAS Kelantan gagal menterjemahkan kehendak agama itu.

Kekotoran di Kelantan berpunca kerana kekurangan bilangan tong sampah yang disediakan oleh pihak berkuasa. Jika ada tong sampah, masalahnya pula sampah yang dibuang di dalam tong sampah tidak dipunggut sehingga berbau busuk dan tidak dapat dibuang di dalam tong sampah lagi kerana sudah dipenuhi sampah. 

Keadaan ini terjadi kerana pihak berkuasa tempatan tidak mampu menyediakan lori pengangkut sampah secukupnya mengikut keperluan. 

Kota Bharu yang diiystiharkan sebagai Bandar Raya Islam tidak mencerminkan namanya. Tahap kebersihan bandar Kota Bharu tidak terjaga. Maksiat masih berleluasa.

Kejayaan PAS hanya menelanjang dan memusnahkan kawasan balak di Kelantan tanpa mengikuti kaedah pembalakan yang sistematik. Pokok yang masih muda dan kawasan hutan yang sepatutnya dijaga musnah akibat kerakusan pemimpin PAS. Mereka lebih berminat meninjau kawasan balak daripada menemui rakyat yang memerlukan bantuan.

Ratusan ribu rakyat Kelantan terpaksa merantau mencari peluang pekerjaan di negeri-negeri lain, khususnya di Lembah Kelang, Johor dan Pulau Pinang. Kerajaan PAS sekadar meletakkan poster atau papan iklan menyambut ketibaan atau kepulangan perantau, kononnya satu sikap prihatin kepada nasib rakyat Kelantan.  

PAS lebih banyak menghabiskan masa menyalahkan orang lain daripada menghisab diri sendiri. Kesalahan dan kelemahan pemimpin PAS disembunyikan dalam lipatan serban dan jubah. Mereka berselindung di sebalik perjuangan agama yang dipesongkan mengikut acuan politik sempit mereka.

Sekarang ini PAS berdepan dengan kutukan dari bekas ahli yang bertukar parti menyertai Parti Amanah Negara (Amanah). Mereka yang dahulu bermati-matian berjuang bersama PAS kini bermati-matian pula untuk menyerang PAS.

No comments:

Post a Comment