Sunday, 12 August 2018

SEKAT KEBEBASAN UNTUK KEBAIKAN


Manusia diberi kebebasan untuk menentukan apa yang ingin dilakukan asalkan ia tidak bertentangan dengan peraturan agama. Begitu juga sebagai rakyat, kita bebas melakukan apa saja untuk kebaikan diri selagi ia tidak menyalahi Perlembagaan dan undang-undang negara. 

Perkara sama juga berlaku dalam semua organisasi atau kumpulan yang memberi kebebasan kepada ahlinya untuk melakukan perkara yang tidak berlawanan dengan peraturan atau kebiasaan yang diamalkan.

Dengan kata lain, istilah kebebasan sepenuhnya tidak wujud dalam hidup manusia. Kita dibatasi dengan peraturan agama, undang-undang dan kebiasaan yang telah ditetapkan. Sekatan itu bukan menghalang hak kebebasan, tetapi untuk memberi kebaikan dan mencegah keburukan. Setiap negara atau masyarakat mempunyai peraturan berbeza mengikut keperluan setempat.

Di kalangan umat Islam, mereka keliru atau jahil mengenai kebebasan dalam beragama menurut perspektif Islam. Pada mereka, kebebasan bererti boleh melakukan apa saja menurut kehendak hati dan nafsu biarpun ia bercanggah dengan kehendak agama dan bertentangan nilai kemanusiaan yang luhur.

Mereka menggunakan hujah yang kononnya dalam Islam tidak ada paksaan. Mereka menggunakan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 256 yang bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya sudah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur)."

Maksud sebenar ayat tersebut ialah tidak ada paksaan orang bukan Islam memeluk Islam. Sedangkan, sesiapa yang telah menerima Islam sebagai agama anutan, maka dia tertakluk kepada syariat yang telah ditetapkan. 

Perkara ini sebenarnya bukan dalam soal beragama sahaja. Undang-undang negara, peraturan persatuan atau pertubuhan, bidang pekerjaan dan sebagainya tidak memaksa seseorang menyertainya. Tetapi, apabila masuk dalam kelompok itu, mereka terpaksa mengikuti segala peraturan yang berkaitan dengannya.

Jadi, alasan hak kebebasan tidak boleh digunakan dalam konteks untuk mengelak diri daripada melakukan atau melunaskan tanggungjawab sebagai seorang Islam. Apa yang diperintahkan dilakukan, maka hendaklah ia disempurnakan seperti yang ditetapkan. Manakala perkara yang dilarang pula hendaklah dijauhkan atau dihentikan daripada terus melakukannya. 

Syariat Islam telah termaktub di dalam al-Quran dan al-Hadis. Tidak ada pindaan, pengurangan atau penambahan boleh dilakukan oleh sesiapa saja. Ajaran Islam terpelihara sepenuhnya sehingga ke hari kiamat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku tinggalkan kalian untuk dua perkara, kalian tidak akan sesat selama berpegang padanya, iaitu kitabullah (al-Quran) dan Sunnah Rasulullah." (Hadis riwayat Muslim)

Sebab itu, umat Islam ditegah menerima bulat-bulat amalan kaum lain tanpa menyelidik dahulu sama ada perkara itu dibenarkan diamalkan oleh Islam atau tidak. Sebenarnya Islam tidak melarang kita mengikut amalan yang baik dan tidak bertentangan dengan syariat Islam walaupun perkara dicontohi daripada oleh bukan Islam. 

Sebab itu kita disuruh agar meniru budaya kerja masyarakat Jepun yang mementingkan kualiti, ketepatan masa, budaya ilmu, inovasi, kreatif dan sebagainya. Amalan ini berjaya meletakkan masyarakat Jepun mencapai kemajuan dan kemakmuran negara terbaik di dunia.

Namun, perlu diyakini bahawa apa yang diamalkan masyarakat Jepun itu telah lama dijelaskan dalam ajaran Islam. Amalannya inilah yang dilakukan umat Islam pada masa dulu yang membawa kepada kegemilangan empayar kuasa Islam, khususnya apa yang dicapai di Baghdad. Malangnya, umat Islam semakin jauh daripada tuntutan agama dan terus ketinggalan dalam era dunia moden hari ini.

Tindakan umat Islam yang semakin lama semakin jauh meminggirkan agama Islam dan ajarannya yang suci dalam realiti kehidupan atas alasan kebebasan yang dilaungkan telah membawa padah. Mereka menggantikan ajaran Islam dengan fahaman lain biarpun masih mengaku sebagai Islam.

Ingatlah, hanya Islam menunjuk jalan yang benar. Justeru, umat Islam ditegah mengambil panduan hidup selain daripada apa yang telah ditetapkan oleh Islam. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Barangsiapa yang mengambil selain Islam sebagai agama, tidak akan diterima apapun darinya dan ia di akhirat tergolong orang yang rugi." (Surah Ali Imran, ayat  85).

Hakikatnya, kebebasan mutlak sebenarnya tidak wujud pada setiap insan. Sebab itu, usahlah kita terus menggunakan isu kebebasan semata-mata hendak melanggar kebiasaan yang diamalkan dalam agama. Tetaplah berpegang kepada peraturan dan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kerana itulah yang sebaik-baiknya untuk seluruh manusia.

No comments:

Post a Comment