Sunday, 12 August 2018

KEJUJURAN KUNCI KEJAYAAN DALAM PERNIAGAAN


Ketika Rasulullah berjalan-jalan di pasar, dan melalui selonggok makanan yang sedang dijual, lantas baginda memasukkan tangannya ke dalam makanan itu dan terasa basah. Lalu baginda bertanya: “Wahai pemilik makanan (penjual), apakah ini? Penjual itu menjawab: “Makanan ini terkena air hujan ya Rasulullah!”

Kemudian Rasulullah bersabda: “Kenapa kamu tidak letakkannya di atas supaya dapat dilihat oleh manusia (pembeli)? Sesiapa yang menipu bukan termasuk dalam golongan kami.” (Hadis riwayat Muslim).

Peristiwa tersebut jelas membuktikan bahawa, setiap peniaga Muslim wajib menjalankan perniagaan secara jujur dan amanah. Allah sentiasa memberkati dan menolong hamba-Nya yang melakukan kebaikan dan menghindarkan daripada melakukan keburukan.

Firman Allah bermaksud: “Jangan kamu berbuat bencana di muka bumi, sesudah baiknya. Mintalah kepada-Nya dengan ketakutan dan harapan. Sesungguhnya rahmat Allah dekat dari orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah al-Araf, ayat 56).

Peniaga yang jujur pasti disenangi oleh pembeli. Hal ini kerana pembeli merasakan mereka dihargai dan dihormati oleh peniaga. Hubungan mereka sentiasa akrab dan saling menghormati antara satu sama lain. Pembeli akan mengikat kesetiaan untuk berurusan dengan peniaga yang jujur. Hal tersebut memberikan keuntungan berterusan kepada peniaga. 

Nabi Muhammad adalah contoh peniaga yang jujur. Baginda sentiasa berterus terang dan mementingkan hubungan baik dengan pelanggannya. Sekiranya ada barang mengalami sedikit kecacatan, Rasulullah tidak menyembunyinya. Sebaliknya, ditunjukkan kepada pelanggan akan kecacatan itu. Jika pelanggan masih inginkan barang itu, maka dijual dengan harga berpatutan.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak halal bagi seorang Muslim menjual sesuatu yang ada aibnya (rosak) kepada saudaranya, kecuali dengan menyebutnya (menyatakan kerosakan itu)” (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Oleh sebab itu ramai pelanggan suka berurusniaga dengan Nabi Muhammad. Dengan itu biarpun keuntungan untuk setiap barang dijual kecil, tetapi jika banyak yang berjaya dijual, keuntungan yang diperoleh tetap banyak. 

Peniaga yang menyembunyikan kecacatan barang sama sifatnya dengan menipu. Secara tidak langsung urusan jual beli itu tidak sah, atau hilang keberkatan jual beli.

Sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud: “Jual beli dilakukan dengan tawar menawar, jika kedua-duanya jujur dan nyata, maka mereka diberkati, tetapi jika kedua-duanya dusta dan merahsiakan, maka keberkatannya akan terhapus.”

Barang yang hendak dijual mesti dipamerkan seperti mana apa yang akan diserahkan kepada pembeli, itulah prinsipnya. Biasanya, peniaga akan meletakkan barang yang elok di bahagian atas bagi mengelirukan pembeli. Tetapi apabila pembeli setuju membeli, maka barang tidak elok turut dicampurkan bersama.     

Mempamerkan barang jualan samalah dengan iklan sama ada melalui media elaktronik, bahan bercetak, maka iklan itu perlu dilakukan dengan jujur. Hal ini demikian kerana pembeli banyak bergantung kepada iklan untuk membuat pilihan. 

Iklan yang tidak tepat bermakna penjual melakukan penipuan. Sememangnya penjual dibenarkan mengolah, merekabentuk, dan mempamerkan kehebatan barangan mereka, tetapi mesti sebagaimana sebenarnya. Maka sesuatu yang mungkin mengelirukan pengguna perlu dielakkan dipamerkan dalam iklan.  

Satu fenomena perlu diberi perhatian, berkaitan produk tiruan dalam pasaran di negara kita. Barang tiruan tidak menepati piawaian kualiti barang tulen. Barang tiruan dijual dengan harga lebih murah untuk menarik pembeli. 

Tetapi persoalan sebenar mengenai barang tiruan bukan kualitinya. Pengguna tidak ditipu kerana mereka sudah mengenali barang tiruan. Penjual juga tidak berniat untuk menipu kerana awal-awal lagi sudah meletakkan harganya terlalu murah berbanding barang tulen. 

Tetapi persoalan sebenar mengenai barang tiruan ialah hak cipta. Barang itu dihasilkan secara menyalahi peraturan dan undang-undang. Pengeluar barang tiruan tidak mendapat hak kebenaran untuk mengeluarkan barang itu daripada pengeluar atau pencipta asal. 

Walaupun penerbit barang tiruan ini tidak menipu pengguna, tetapi dia tidak jujur kepada pencipta asal. Selain bersalah kerana mengeluarkan semula barangan itu tanpa izin, dia telah menyebabkan pengguna tidak mahu membeli barangan asli. 

Secara konsepnya, barang tiruan adalah barang diperoleh secara ‘rompakan’.  Istilah ini biasanya digunakan untuk kes menyalin buku, kaset, VCD dan software. Individu atau pihak melakukan cetak rompak mencari keuntungan dengan cara mudah hasil usaha individu lain.

Cetak rompak berlaku berleluasa disebabkan mendapat ‘sokongan’ daripada pembeli. Ramai rakyat kita masih memilih bahan cetak rompak, disebabkan harga yang jauh lebih murah. Sikap pembeli biarpun mendapat keuntungan (harga murah), hakikatnya telah menggalakkan amalan tidak baik dalam perniagaan. 

Dalam hal ini, pengguna turut bersalah, memberi keuntungan kepada pihak yang tidak sepatutnya. Individu Muslim sepatutnya prihatin memberi barang tulen dan memberi keuntungan kepada yang berhak. Islam menegah memberikan hak kepada pihak yang tidak berhak menerimanya.    

Pembeli tidak sepatutnya menyokong aktiviti menyalahi undang-undang negara. Lanun cetak rompak dikenalpasti sebagai dalang yang turut melakukan perbuatan lain yang menyalahi undang-undang. Kepentingan dan keselamatan negara terancam dengan tindakan yang dilakukan kumpulan ini.

Dalam kontrak jualan serahan masa hadapan yang mana barang yang disediakan masih tidak wujud ketika akad atau persetujuan jual beli, masa serahan perlu ditepati. Selain itu kualiti dan kuantiti yang termaktub dalam akad jual beli juga perlu dilakukan sepenuhnya oleh penjual.

Kegagalan pemaju perumahan menyerahkan rumah kepada pembeli satu contoh masalah kontrek jualan serahan masa hadapan. Pembeli menanggung kerugian tidak dapat menduduki rumah yang dibeli, sedangkan bayaran ansuran terpaksa dijelaskan kepada institusi kewangan.

Selain kegagalan penyerahan, banyak kes pemaju gagal menyediakan rumah seperti mana ditetapkan dalam kontrek. Rumah yang diserahkan tidak berkualiti.  Paling menyedihkan keadaan itu boleh mendatangkan bahaya kepada penghuninya.

Pemaju yang gagal menyiapkan projek wajib memulangkan kembali wang kepada pembeli. Atau jika rumah yang diserahkan mengalami kecacatan, mesti dibaiki dalam tempoh perjanjian. Ramai pembeli rumah yang menanggung masalah kewangan akibat kegagalan pemaju menyerahkan rumah seperti yang dijanjikan baik masa, kualiti mahupun kuantiti.

Kejujuran hubungan antara peniaga dengan pembeli merupakan punca keberkatan urusan yang dijalankan. Dengan itu urus niaga akan berlangsung dengan perasaan saling menghormati, adil, harmoni, dan selesa. Yang pasti, peniaga dan pembeli berhak mendapat hak masing-masing.

Jiwa peniaga yang jujur sentiasa tenteram, gembira dan merasa puas hati dapat menjalankan perniagaan. Dia bukan sahaja mendapat keuntungan, tetapi turut menikmati kepuasan dapat membantu pembeli.

Menjalankan perniagaan yang menepati kehendak agama merupakan sebahagian daripada ibadat.  

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah: Sesungguhnya, sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku, semuanya bagi Allah, Tuhan semesta alam.”  (Surah al-Anaam, ayat 162).

Dalam hal ini, pengguna disarankan agar mengambil sikap lebih ‘cerewet’ memilih barang dan perkhidmatan. Sikap ini dapat mengelak ditipu peniaga tidak bertanggungjawab. 

Sikap pengguna yang secara kolektif tegas dan cerewet dapat membantu melahirkan pengeluar dan penjual yang lebih bertanggungjawab. Ingatlah, peniaga yang jujur dibangkitkan di akhirat dengan wajah berseri-seri. 

No comments:

Post a Comment