Friday 31 August 2018

FOKUS KEPADA CARA DIDIK ANAK

Kata Imam al-Ghazali, "Yang singkat itu waktu, yang menipu itu dunia, yang dekat itu kematian, yang besar itu hawa nafsu, yang berat itu amanah, yang sulit itu ikhlas, yang mudah itu membuat dosa, yang susah itu bersabar, yang sering kita lupa bersyukur."

Cuba kita renung kata-kata hikmah ahli tasawuf ini, semua yang disentuhnya adalah perkara yang berlaku dalam hidup kita, sama ada secara kita sedari atau tidak?  

Waktu yang singkat selalu membataskan kita melaksanakan tanggungjawab kita dalam mendidik anak-anak dan berasa amat berat memikul amanah itu. Kita selalu menyerahkan anak, yakni amanah Allah itu di tangan orang lain.

Hidup kita ini sejahtera kalau kita ikhlas, dan rasa keikhlasan itu datang dari hati. Sebab itu kita selalu mendengar orang berkata, "Apa-apa yang kita hendak buat mesti 'sampai ke hati', tidak pernah orang berkata 'sampai ke akal' dan itulah makna keikhlasan".

Keikhlasan memang sukar dilaksanakan bagi orang yang berpenyakit riak, sombong, menunjuk-nunjuk, dendam, marah dan takbur.

Tanyalah kepada diri kita, "Kita hendak ada anak untuk apa? Adakah kita hendak ada anak supaya anak itu dijadikan saham akhirat untuk kita, yang akan mendoakan kita apabila kita meninggal dunia nanti, atau hanya untuk memberikan kebanggaan duniawi kepada kita, ibu bapanya?

Sesiapa yang sudah ada anak, marilah merenung kembali sikap kita terhadap amanah Allah ini. Sudahkah kita mendidik anak-anak kita dengan bekalan ilmu duniawi dan akhirat yang cukup? Seandainya, kita mati hari ini agak-agaknya, apakah yang kita boleh harapkan daripada anak-anak kita? Adakah kita hanya mengharapkan anak-anak kita boleh menolong kita meneruskan perniagaan kita sahaja? Kalau perniagaan kita menjurus ke arah perniagaan yang mengajak ke arah kebaikan dan menjauhkan daripada perkara mungkar, Alhamdulillah.

Tetapi, kalau perniagaan itu hanya untuk duniawi sahaja dan kita tidak mendidik kerohanian anak kita agar menjadi "pencen kubur" kita, tentu kita menjerit-jerit menangis di dalam kubur, mengharapkan doa daripada mereka, apabila kita meninggal dunia. Adakah kita mahukan, anak-anak yang kita tinggalkan dengan harta benda yang bersusah payah kita mencarinya semasa hidup kita itu, tidak memberikan apa-apa makna buat diri kita di sana.

Ada sembilan tip untuk mendidik anak yang sejahtera dunia dan akhirat. Pertama, dalam mendidik anak-anak gunakan bahasa yang memberatkan kepada timbangan dosa atau pahala; taat atau maksiat, Allah reda atau Allah murka. Sentiasa KPI kita berfikir tentang dosa pahala. Jangan asyik risaukan anak kita tidak mahu makan dan tidak mahu belajar, tetapi lebih-lebihkan risau tentang akidah dan ibadah anak-anak kita yang tidak mencukupi. Oleh itu berikan penekanan tentang akidah dan ibadah kepada mereka.

Kedua, betulkan dan jaga kualiti solat anak-anak kita. Sebab orang yang menjaga solat, dia menjaga waktunya. Apabila anak-anak bersolat, roh dan hati anak bersih. Oleh sebab itu senang mereka mendengar kata ibu bapa.

Ketiga, tunjukkan contoh yang baik. Kawal hati dan akal anak-anak agar tindakannya betul. Anak-anak akan "ikut" apa yang ibu bapanya "buat" dan bukan "dengar" apa yang ibu bapanya "cakap". Jika kita seorang ibu dan bapa yang baik dari segi akidah dan akhlak, anak kita akan membesar dengan ketakwaan dan mengikut apa yang kita amalkan dan lakukan.

Keempat, jangan marah anak tetapi nasihatkan anak. Jangan menghukum dan melabelkan serta mencerca anak dengan kata-kata yang kesat. Marah anak merosakkan imej diri anak. Tingkatkan imej diri anak dengan puji-pujian.

Kalau sebelum ini kita suka berkeras dan memarahi anak, minta maaf kepada anak, tolong bertaubat serta ajak anak bertaubat dan sama-sama betulkan kesilapan diri. Orang yang bijak dia tidak akan menyalahkan orang tetapi dia melihat kesilapan diri sendiri.

Kelima, menjaga niat. Berapa orang daripada kita menjaga niat kita, hendak mendidik dan menjaga dengan baik kerana Allah, yakni memegang amanah Allah dengan sebaiknya. Orang yang bijak dia sentiasa menjaga niat dalam setiap kerja yang dilakukannya.

Keenam, pastikan siapakah kawan anak-anak kita? Anak kita akan pilih kawan yang sama dengan perangainya dan kita akan dapat apa yang kita buat kepada orang. Maknanya kalau anak-anak kita positif sikapnya, magnet positifnya itu akan menarik kawan-kawan yang positif sama sepertinya, dan demikianlah sebaliknya. Kalau kita membuat jahat kepada orang, kita akan mendapat balasan yang buruk juga daripada orang.

Ketujuh, kalau ibu bapa hendak memanjakan anak, dengan memberi mainan yang dimintanya, beritahu anak, bahawa dia berhak mendapat imbuhan itu kerana sebagai penghargaan kerana sikap baiknya yang menjaga hubungan dengan sesama manusia dan Allah.

Maknanya anak-anak tahu dengan sebab dia baik serta menjaga akidah dan amalan ibadahnya, dia dapat balasan yang baik daripada ibu bapanya. "Fokus kepada akhirat dunia datang dengan sendiri," ajar selalu kepada anak konsep ini, supaya akan mendahului dan mencintai hal-hal akhirat.

Kelapan, jika ayah mendidik anak dengan tegas dan ibu pula mendidik anak dengan lembut, untuk mengelakkan anak-anak naik kepala atau keliru, ayah mesti beri tahu kepada anak, bukan dia tidak sayang anak sehingga dia memarahi anak, tetapi dia cuma marahkan perangai anak. Ibu pula mesti menjelaskan hal yang sama, yakni sama seperti ayah. Setiap kali ibu atau bapa membuat sesuatu kekasaran kepada anak, niatkan untuk mendidik bukan melepaskan kemarahan dan tekanan perasaan. Bukan menghukum anak, tetapi menegur anak.

Kesembilan, gunakan cara metafizikal. Sebelum tidur sedekahkan surah al-Fatihah kepada roh anak dan bayangkan anak kita berada di hadapan kita, dan kita cakap kepada anak apa yang kita hendak anak kita buat seperti yang kita harapkan.

Kualiti hidup kita bergantung kepada emosi kita. Emosi kita adalah di hati kita. Berikhlas hatilah menjaga anak-anak di rumah, sebagai tanda kita bersyukur dengan anugerah besar Allah itu.  

Fokuslah kepada apa yang kita ada, bukan fokus kepada apa yang kita tidak ada.  Dengan cara itu kita menjadi orang yang bersyukur. Sebenarnya emosi yang paling bagus dalam kehidupan manusia ini adalah bersyukur dan kasih sayang.

Kajian menunjukkan emosi yang paling besar di dunia ini adalah kasih sayang. Marilah kita menyemarakkan kasih sayang seisi keluarga kita. Kualiti emosi kita bergantung kepada kualiti fokus kita. Maknanya kalau kita fokus kepada perkara yang membahagiakan kita, dan apabila kita boleh bersyukur maka emosi kita lebih kepada kesyukuran.

No comments:

Post a Comment