Saturday 11 August 2018

Kasih sayang wujudkan masyarakat harmoni

Hidup dalam masyarakat memang mudah terdedah kepada selisih faham, keretakan hubungan dan perpecahan yang biasanya berpunca daripada perkara kecil seperti pergaduhan anak-anak, binatang ternakan, sifat dengki, umpat, tuduh menuduh dan perbezaan taraf hidup.

Namun jika tidak diatasi secara bijak, permulaan kecil itu boleh berlarutan menjadi perbalahan besar dan ada yang berterusan ke akhir hayat. Hal ini perlu mendapat perhatian semua pihak untuk mengatasinya. Jangan pandang mudah perkara yang boleh memecah belahkan masyarakat.  

Hidup bermasyarakat umpama keluarga besar yang mana semua ahli keluarga perlu berperanan menjamin keutuhan semangat kekeluargaan, mengelak perasaan marah, saling bermaafan dan mementingkan semangat tolong menolong sebagai sendi kehidupan yang membawa kesejahteraan.   

Masalah kecil dapat diselesaikan dengan mudah jika dapat menahan perasaan marah dan mudah memaafkan di antara satu sama lain. Kedua-dua sifat itu tanda keimanan yang mana Allah mencintai sesiapa berbuat kebaikan serta menghalang daripada berlaku kejadian tidak baik. 

Firman Allah bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah mencintai orang yang berbuat kebajikan.” - (Surah Ali Imran, ayat 134).

Amalan permusuhan dan perpecahan tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kepada pihak yang terlibat. Semakin lama permusuhan berlangsung, lebih banyak kerugian dan penderitaan terpaksa ditanggung. 

Allah memberikan nikmat kebahagiaan hidup melalui ikatan persaudaraan yang baik. Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 103 bermaksud: “Berpegang teguhlah kamu dengan tali (agama) Allah dan jangan kamu berpecah belah. Dan ingatlah nikmat Allah dahulu ketika kamu dahulu (masa Jahiliah) bermusuh-musuhan, lantas Allah menjinakkan hati kamu dan jadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara.”.

Perselisihan dan bercerai berai sesama Islam akan menyebabkan kekuatan umat Islam lemah yang membawa kerugian sesama sendiri sehingga berlarutan kejadian pembunuhan dan kemusnahan harta yang banyak. Keadaan sedemikian memudahkan musuh Islam mengambil kesempatan untuk memusnahkan umat Islam. 
         
Sebarang masalah perlu diatasi dengan muafakat dan bersabar bagi mengelak daripada hilang terus kekuatan yang sudah terbina sebelum ini. Perbuatan saling menyalahkan pihak lain tidak akan menyelesaikan masalah, bahkan semakin kusut dan tiada titik penyelesaian.  

Firman Allah bermaksud: “Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu suka berselisih faham kerana ia akan menyebabkan perpaduan dan kekuatan kamu hilang dan hendaklah kamu bersabar. Sesungguhnya Allah berserta orang yang bersabar.” - (Surah al-Anfal, ayat 46).

Rasulullah membandingkan hubungan mukmin dengan mukmin lain seperti batu-batu yang saling menguatkan satu sama lain membina sebuah bangunan.

Jika ada mana-mana batu yang roboh, maka kekuatan bangunan itu akan tergugat. Maka, setiap batu perlu kekal sebagai sebahagian daripada bangunan itu bagi mengelak keseluruhan bangunan roboh.

Tolong menolong adalah sendi kekuatan hidup bermasyarakat. Golongan kaya dan berkemampuan hendaklah sentiasa mengambil berat menghulurkan bantuan kepada golongan miskin dan memerlukan bantuan.

Firman Allah bermaksud: “Dan sentiasalah tolong menolong dalam kebaikan dan yang mendorong kepada takwa serta jangan tolong menolong dalam perkara membawa dosa serta permusuhan.” - (Surah al-Maidah, ayat 3).

Sesiapa bersifat bongkak, sombong, mementingkan diri dan takbur dengan kedudukan yang dicapai, maka bukanlah dia dari kalangan orang Islam. Allah melaknat mereka yang bersifat dengan sifat-sifat tersebut.

Firman Allah dalam surah Luqman, ayat 18 bermaksud: “Dan janganlah kamu palingkan pipimu daripada manusia dan jangan berjalan di atas muka bumi dengan bongkak. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong lagi bongkak.”

Sebarang bantuan yang diberikan dengan ikhlas pasti diberikan balasan kebaikan di sisi Allah. Rasulullah menjelaskan pada hari dibangkitkan, Allah akan berseru kepada sesiapa yang ketika hayatnya sentiasa menjalinkan perasaan kasih sayang dan saling membantu sesama sanak saudara, jiran tetanga dan orang ramai.

Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim bermaksud: “Allah berseru: “Di manakah mereka yang berkasih sayang dengan kebenaran mengenai hari akhirat? Aku memberi perlindungan kepadanya dalam keadaan tiada lagi perlindungan selain daripada perlindungan-Ku.”

Memahami dan penghayatan konsep silaturahim yang dianjurkan oleh Islam perlu dipertingkatkan bagi mengelak perpecahan dan seterusnya mencari keredaan Allah. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Allah telah reda kepadamu terhadap tiga perkara iaitu apabila kamu menyembah-Nya tanpa mensyirikkan-Nya dengan sesuatu, apabila kamu berpegang teguh dengan agama Allah dan tidak berpecah-belah dan apabila kamu suka menasihati orang yang telah ditakdirkan menjadi pemimpin kamu.” - (Hadis riwayat Muslim). 

Perbalahan sesama sendiri hanya memberi keburukan kedua-dua pihak. Menang jadi arang, kalah jadi abu. Sebaliknya, pihak musuh pula mendapat keuntungan di atas kemusnahan pihak bermusuhan.

Justeru, cara menjaga agama yang terbaik ialah melalui perpaduan seluruh umat Islam. Firman Allah bermaksud: “Tegakkanlah Din (agama) dan janganlah kamu berpecah-belah mengenainya.” - (Surah asy-Syura, ayat 13).

No comments:

Post a Comment